Anggota Kabinet wajib hadiri kursus pengurusan kerajaan, elak salah laku

Anggota Kabinet wajib hadiri kursus pengurusan kerajaan, elak salah laku

Setiap anggota Kabinet perlu diwajibkan untuk menghadiri kursus pengurusan kerajaan bagi memastikan etika dan integriti dalam pengendalian pentadbiran kerajaan, termasuk berkaitan pengurusan tender.

Antara elemen penting yang perlu didedahkan kepada menteri, timbalan menteri serta pegawai kanan seperti setiausaha politik adalah mengenai kes rasuah berprofil tinggi, yang dilihat masih menyelubungi pentadbiran kerajaan seperti kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata kursus untuk anggota Kabinet bukan perkara remeh, sebaliknya penting untuk memastikan kelancaran tadbir urus yang bagus serta mengenal pasti tindakan yang boleh mencetuskan salah laku rasuah dan penyelewengan, khususnya berkaitan isu perolehan serta tender.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu bertanggungjawab menjadi penganjur kursus itu untuk memastikan setiap anggota Kabinet hadir tanpa sebarang alasan.

“Tiada apa yang salah untuk anggota Kabinet menyertai kursus pemantapan etika dan integriti kerana kerajaan baharu hari ini mesti memulakan proses pendidikan terhadap mereka mengenai kesan dan bahaya rasuah kepada negara.

“Perlu ditonjolkan ‘cases study’ (kajian kes) lalu, yang memberi kesan kepada ekonomi, rakyat dan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan Perpaduan hari ini perlu mempromosikan ‘good governance’ (tadbir urus yang bagus) khususnya berkaitan penjimatan kos, keadaan ekonomi dunia dan cara perbelanjaan terbaik,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan BH, hari ini mengenai campur tangan ahli politik, termasuk menteri dan timbalan menteri dalam urusan perolehan dan tender kerajaan, yang mengakibatkan banyak kontrak kerajaan berdepan pelbagai kesulitan untuk diselesaikan.

Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomati (Alumni PTD), Tan Dri Abdul Halim Ali, dilaporkan berkata keadaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa membayar jumlah yang lebih tinggi daripada kos sepatutnya.

Mengulas lanjut, Jais berkata, kursus itu perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hari dua malam bagi memastikan setiap pihak faham dengan pentadbiran kerajaan.

Di akhir kursus, katanya, setiap anggota Kabinet perlu membuat tiga ikrar iaitu ikrar pengisytiharan harta, yang disahkan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN); ikrar kepentingan peribadi dan ikrar bebas rasuah.

“Inilah yang rakyat mahu lihat. Seorang pemimpin yang komited memerangi rasuah dan tidak mengambil kesempatan apabila mempunyai kuasa,” katanya.

Jais berkata, peraturan dalam kerajaan sudah cukup lengkap untuk memastikan salah guna kuasa tidak berlaku, mengawal ketirisan dan salah salah guna kuasa.

Namun, katanya, ramai yang melanggar atau tidak mengendahkan peraturan itu salah laku dan rasuah berlarutan.

“Menteri Kewangan (MOF) sendiri sudah memperkenalkan ePerolehan dan ia cukup baik untuk mengelak campur tangan politik dalam memproses tender. Tetapi, masih ada ‘lubang-lubang tikus’ yang dimanipulasi pihak tertentu untuk mendapat keuntungan,” katanya.

Beliau berkata, corong utama ketirisan tender adalah kehadiran surat sokongan yang diberikan ahli politik kepada kroni tertentu.

“Surat sokongan menjadi punca atau corong utama ketirisan tender ini apabila mereka mahu membalas budi bantuan yang diberikan oleh syarikat atau pihak tertentu dalam karier politik mereka. Disebabkan itulah ada syarikat yang langsung tidak menepati kelayakan pemilihan tender, mendapat projek berbanding syarikat yang mempunyai kelebihan modal serta kepakaran,” katanya. BH

Anggota Kabinet wajib hadiri kursus pengurusan kerajaan, elak salah laku


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Perlantikan kabinet, Annuar Musa kini ‘bertukar nada’

Bila Formula Rafizi Akan Mula Dilaksanakan?

Ronaldo bakal berhijrah ke Arab Saudi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker