Israel gempur Gaza dari darat, laut dan udara habis habisan

KAHERAH: Tentera Israel menggempur tengah Gaza tengah melalui darat, laut dan udara, hari ini dan pihak berkuasa Palestin melaporkan puluhan kematian termasuk 20 orang hanya dalam satu serangan.

Israel semakin ganas untuk menghapuskan Hamas biarpun gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata semakin meningkat, di tengah-tengah krisis kemanusiaan dan Ketua Staf Israel, Herzi Halevi berkata pertempuran akan berlangsung ‘berbulan-bulan’ dan tidak akan ada ‘penyelesaian ajaib’ atau ‘jalan pintas’.

Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan, serangan udara Israel membunuh 20 rakyat Palestin, hari ini berhampiran Hospital Al-Amal di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza.



Bagaimanapun, setakat ini tiada komen segera daripada tentera Israel.

Gangguan telekomunikasi di kebanyakan kawasan enklaf menghalang usaha untuk menghubungi mangsa Palestin sejak malam tadi, tetapi talian beransur-ansur pulih sekitar tengah pagi.

Pegawai perubatan berkata, di daerah Al-Maghazi, lima rakyat Palestin terbunuh dalam satu serangan udara manakala di utara di Gaza City, pegawai kesihatan berkata, mayat tujuh rakyat Palestin yang terbunuh tiba di Hospital Al Shifa.

Penduduk juga melaporkan pertempuran hebat terjadi di timur dan utara daerah Al-Bureij dan di kampung berhampiran Juhr Ad-Deek, di mana mereka berkata, terdapat kereta kebal Israel.



Tentera Israel, hari ini melaporkan tiga askar mereka terbunuh dalam aksi di Gaza, menjadikan seramai 166 orang, sejak operasi darat bermula pada 20 Oktober.

Hamas berkata, pejuangnya menyerang empat jentolak Israel dan sebuah kereta kebal di bahagian utara Khan Younis, lokasi pertempuran sengit selama beberapa hari.

Israel memperhebat serbuannya minggu ini, terutamanya di kawasan tengah laluan air yang membelah jalur pantai yang sempit.

Mereka menyuruh orang awam untuk meninggalkan kawasan itu, namun tiada tempat selamat lagi untuk penduduk pergi.



Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengeluarkan rakaman, yang kebanyakannya diambil pada hari Isnin dan Selasa di beberapa hospital Gaza, dengan penyelaras pasukan perubatan kecemasan WHO, Sean Casey berkata, kapasiti kesihatan Gaza adalah 20 peratus berbanding 80 hari lalu.

“Terdapat darah di mana-mana di hospital pada masa ini.

“Kami melihat hanya kes trauma yang datang melalui pintu dan pada skala yang agak sukar untuk dipercayai. Ia adalah pertumpahan darah seperti yang kami katakan sebelum ini, adalah pembunuhan beramai-ramai,” kata Casey, sambil berkata, tiada tempat di Gaza yang selamat.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, tentera Israel sudah membunuh 195 rakyat Palestin dan mencederakan 325 dalam tempoh 24 jam yang lalu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 21,110 maut dan 55,243 cedera sejak 7 Oktober lalu. – REUTERS



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah sudah disunting?



Pelakon biadap, rasa diva sebab ramai followers – Kismah Johari

Muhammad nama paling popular di UK bagi tahun 2023



Aplikasi Al-Inarah menjawab segala kemusykilan agama anda

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker