‘Suara kaset’ Mamat, Ezad memukau

‘Suara kaset’ Mamat, Ezad memukau

Kejayaan Konsert Exists X Orkestra di Megastar Arena Kuala Lumpur membuktikan kumpulan popular era 1990-an itu masih utuh biarpun kini perlu bersaing dengan ramai bakat baharu.

Sudah 32 tahun bertapak dalam industri muzik, namun kehebatan Exists ketika membuat persembahan secara langsung sukar dinafikan, malah setiap lagu yang disampaikan masih mampu membekas di hati pendengar.



Untaian lagu malar segar daripada kumpulan berasal dari Johor Bahru, Johor ini terus menjadi dambaan peminat sehingga menjadikan mereka antara watak penting dalam industri muzik tempatan yang akan terus diingati.

Dengan usaha dan kepelbagaian karya yang dihasilkan, maka keberadaan Exists sesuai dengan namanya yang bermaksud ada atau wujud di mana mereka mahukan kumpulan ini kekal popular dan terus wujud sampai bila-bila.

Selain Search dan Wings, Exists juga boleh dilabel sebagai ‘otai’ dalam kalangan peminat, terutama penggemar muzik era 1990-an apabila populariti dilihat kukuh hingga kini dengan untaian lagu malar segar.

Justeru, tidak hairan Konsert Exists X Orkestra di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember lalu mendapat sambutan hangat kira-kira 6,000 peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.



Disebabkan teruja dengan konsep orkestra yang julung kali disajikan selepas 32 tahun bertapak dalam dunia muzik, Exists menepati janji untuk memberikan aksi istimewa pada konsert berkenaan.

Malah, peminat yang hadir ke Konsert Exists X Orkestra menjadi saksi lagu pertama yang dirakam Exists, iaitu Rahsia Pohon Cemara dipersembahkan secara orkestra.

Walaupun tiada single baharu dihasilkan Exists, apa yang pasti lagu ‘evergreen’ mereka tetap banyak dan ada antaranya tular dalam media sosial kerana dinyanyikan semula oleh bakat muda dari Indonesia dengan lirik berbeza.

Menerusi konsert dipersembahkan dengan diiringi 30 pemuzik daripada Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dua vokalis Exists iaitu Ezad Lazim dan Mamat secara bergilir naik ke pentas untuk membuat persembahan.



Ezad tampil dengan memakai sut lengkap rona hijau terlebih dahulu membuka tirai konsert dengan mempersembahkan lagu Jangan Gentar, Seperti Dulu, Masih Terserlah Ayumu dan Hilang Dalam Ramai, lantas menggamatkan suasana lokasi acara.

Momentum persembahan kemudian diteruskan dengan aksi bertenaga daripada Mamat ketika menyampaikan Sebelum Terlewat, Nota Di Lautan Sepi dan Untukmu Ibu yang sememangnya menyentuh hati pendengar.

Peminat terus dihiburkan oleh dua bekas vokalis yang disifatkan mempunyai ‘suara kaset’ itu dengan untaian lagu hit lain seperti Rahsia Pohon Cemara, Jesnita, Janji Padamu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Langkah Seiringan dan ditutup dengan Alasanmu.

Bukan itu sahaja, aksi bertenaga daripada anggota Exists lain iaitu Ajai selaku pemain keyboard, Musa (bes), Along (gitar) dan Ujang (dram) turut memberi nilai tambah kepada mutu persembahan mereka pada Konsert Exists X Orkestra.



Biarpun purata usia anggota Exists kini sudah mencecah 40 tahun, tetapi lagak mereka persis bakat baharu yang mempunyai semangat tinggi untuk memberikan persembahan terbaik.

Pengalaman Exists ‘membeli’ jiwa peminat juga tidak dapat dinafikan kerana rata-rata yang hadir seolah-olah tidak mahu berganjak selepas dihidangkan dengan persembahan yang sangat hebat.

Konsert anjuran Persatuan Global Malaysia itu turut mengetengahkan konsep berhibur sambil beramal apabila sebanyak 10 peratus hasil jualan tiket bernilai RM20,000 disumbangkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bagi membantu artis kurang berkemampuan. BH

‘Suara kaset’ Mamat, Ezad memukau



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sumpah 2 mahaguru silat ternama, Allahyarham Omardin dan Meor Abdul Rahman



Akhirnya Daim disiasat atas dakwaan rasuah & pengubahan wang haram

Mercedes ‘Avatar’ hanya pandu pakai ‘niat’

Pakar bedah tumbuk pesakit semasa pembedahan [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker