MyCC digesa siasat ‘kartel beras’ selepas berjaya denda ‘kartel makanan ayam’

Selepas monopoli industri makanan ayam oleh lima syarikat, seorang aktivis pertanian menggesa Suruhanjaya Persaingan (MyCC) memfokuskan dakwaan kartel dalam sektor padi dan beras.

Koordinator Forum Kedaulatan Makanan, Nur Fitri Amir memberitahu FMT, siasatan itu penting untuk merungkai dakwaan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah (Pesawah) kemungkinan kartel campur tangan dalam menentukan harga belian padi hingga menyebabkan harga turun mendadak kepada RM1,200 satu tan ketika ini.

Ia berbeza dengan kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu pada 4 Okt lalu bahawa pesawah masih mendapat RM1,700 satu tan harga jualan padi memandangkan kerajaan kekal memberikan subsidi RM500 bagi setiap tan padi.



“Beri kuasa lebih besar kepada MyCC untuk menyiasat dakwaan wujudnya kartel ini.

“Difahamkan, kartel dalam padi dan beras, mereka di ‘backup’ Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta perjanjian monopoli Bernas.

“Walaupun tanda-tandanya cukup jelas, mereka kebal daripada penguatkuasaan,” dakwanya.

Krisis harga belian padi antara ancaman terbaharu dalam rantaian bekalan beras negara, walaupun isu “kehilangan” beras putih tempatan (BPT) di pasaran akibat eksploitasi di peringkat kilang dan borong masih gagal ditangani.



Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, wujud tindakan memanipulasi bekalan BPT dengan menukar bungkusannya kepada kampit beras import untuk meraih keuntungan tinggi.

Jumaat lalu, MyCC mengenakan penalti RM415.5 juta kepada lima syarikat yang didapati melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 melalui pembentukan kartel makanan ayam itu.

Ia adalah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd, FFM Berhad, Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.

Siasatan MyCC dari Januari 2020 hingga Mac 2022 membuktikan kenaikan kuantum harga makanan ayam sama antara perusahaan terbabit dari Januari 2020 hingga Jun 2022, selain mendapati lima syarikat itu menggunakan alasan kenaikan kos makanan ayam akibat peningkatan perbelanjaan bahan mentah.



Sementara itu, Fitri berkata, kewujudan kartel dalam sesuatu industri dapat dilihat sekiranya sering berlaku bekalan tidak mencukupi di pasaran sedangkan ia barangan asas.

“Berlaku turun naik di pasaran secara tiba-tiba untuk meningkatkan harga sedangkan ia adalah barangan asas atau biasa,” katanya sambil menambah kartel juga didakwa membuat sekatan dan pakatan sehingga menyukarkan pemain baharu bertapak dalam industri.

“Dengan cara menyukarkan bekalan, diskriminasi harga dan kontrak tidak munasabah berlaku.”

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘Dibikin’ selama 15 tahun, filem Syaitan Munafik bakal menyeramkan penonton



CEO Starbucks merungut apa tu?

Caprice dipanggil ke IPD, netizen sedia ‘backup’ demi keadilan



Dividen ASB 2023 5.25 sen seunit

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker