Berpakat menaikkan harga, MyCC denda RM415 juta kepada 5 syarikat pengeluar makanan ayam

5 syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan dikenakan penalti bernilai RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, bagi ayam untuk pasaran tempatan.

Syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dinding); FFM Berhad (FFM); Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin); Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup); PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

Lima daripada 29 syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan di seluruh negara itu dianggarkan menguasai sehingga 40 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini.



Suruhanjaya Persaingan (MyCC) dalam keputusannya berkata, mereka didapati melanggar Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010 kerana membuat perjanjian mendatar atau menegak dilarang antara perusahaan dengan matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran barang atau perkhidmatan.

Katanya, kelima-lima perusahaan itu didapati bersalah kerana berpakat menaikkan harga makanan ternakan ayam menerusi beberapa platform, termasuk hubung kait rekod komunikasi bersama pengurusan tertinggi, nota mesyuarat dan keterangan saksi, di antara Januari 2020 hingga Jun 2022.

Dinding dikenakan penalti bernilai RM70.02 juta, FFM (RM42.69 juta); Gold Coin (RM97.51 juta); Leong Hup (RM157.47 juta) dan PK Agro (RM47.8 juta).

MyCC juga mendapati wakil perusahaan terbabit menghadiri mesyuarat Persatuan Pengeluar Makanan Ternakan (MFA) yang mencadangkan terdapat perjanjian dan/atau amalan bersama mengenai kenaikan kuantum harga makanan ayam, biarpun tidak direkodkan secara rasmi.



“Bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa antara perusahaan terbabit dikenal pasti antara Januari 2020 hingga Jun 2022, selain mereka didapati menggunakan strategi menyatakan kenaikan kos disebabkan peningkatan perbelanjaan bahan mentah.

“Walaupun terdapat variasi komposisi bahan utama dalam formula makanan ayam setiap perusahaan, namun mereka melaksanakan kuantum kepada harga yang sama secara serentak.

“Pemeriksaan menyeluruh saluran komunikasi digunakan wakil perusahaan melalui aplikasi WhatsApp dan log panggilan ditemui semasa penyiasatan juga menunjukkan hubung kait ketara dengan tarikh pengumuman harga.

“Ketersamaan konsisten antara rekod komunikasi dan keputusan harga, mencadangkan usaha yang sengaja untuk menyelaraskan tindakan mereka, sekali gus menjejaskan persaingan dalam pasaran ayam,” katanya di sini, hari ini.



Sementara itu, MyCC turut mengenal pasti berlaku kenaikan antara RM1 hingga RM4 bagi setiap guni makanan ayam seberat 50 kilogram, sepanjang tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, semua perusahaan terbabit turut diarah menjalani Perintah Berhenti dan Hentikan, selain menghantar laporan bulanan harga makanan ayam, mulai Julai 2022 serta melaksanakan kajian dan pemerkukuhan program latihan pematuhan.

Semua perusahaan itu juga diarah melaksanakan program pematuhan, selain melakukan pengiktirafan pelanggaran undang-undang persaingan sebagai salah laku.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata jumlah penalti dikenakan ke atas lima syarikat terbabit terbesar sejak agensi berkenaan ditubuhkan pada 1 April 2011.



“Kartel adalah kejahatan tertinggi dalam undang-undang persaingan, selain ia adalah antara bentuk sabotaj ekonomi di peringkat tertinggi, terutama bagi kes berkepentingan awam.

“MyCC ditugaskan akan meneruskan usaha bagi menghapuskan kartel, seiring matlamat penubuhan agensi ini, tanpa rasa takut atau pilih kasih. Kita berharap semua pihak mengambil iktibar daripada kes ini,” katanya.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

SPRM sita Menara Ilham milik Tun Daim Zainuddin



Mini Dhaka di KL diserbu

Malaysia terima pujian antarabangsa halang kapal Israel berlabuh

CEO Starbucks merungut apa tu?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker