Shahril Hamdan calon BN di Parlimen Jasin?

#PRU15


Shahril Hamdan calon BN di Parlimen Jasin?

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, antara nama yang disebut-sebut dicalonkan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Shahril, 36, yang Naib Ketua Pemuda UMNO dan Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, ‘muka baharu’ dalam politik tetapi dijangka menjadi calon popular apabila kerap menyuarakan beberapa isu berkepentingan rakyat dan politik.

Beliau mula dikenali pada PRU-14 apabila menjadi calon muda BN di Parlimen Kuala Langat, namun tewas kepada Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, yang menang dengan majoriti 17,112 undi.



Pencalonan Shahril dianggap satu tindakan yang tepat, tambahan pula beliau bukan ‘orang luar’ kerana dikatakan mempunyai keluarga rapat di Kampung Bukit Katong, Rim, Jasin.

Selain Shahril, beberapa nama lain turut disebut-sebut sebagai calon bertanding di kubu kuat BN itu, selepas penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRU kali ini bagi memberi peluang kepada BN menampilkan muka baharu dan membawa suara rakyat kawasan itu ke peringkat yang lebih tinggi.

Antara nama besar adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun kelmarin, Mohamad mengesahkan beliau akan bertanding di Rembau.

Kerusi Parlimen Jasin ini pastinya menjadi tumpuan ramai, susulan beberapa nama lain yang dilihat berpotensi sebagai calon dan keputusan PRU-14 yang menyaksikan kemenangan tipis BN di kubu kuatnya itu.



Pada PRU-14, Ahmad hampir tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, selepas hanya mendapat majoriti 219 undi.

Untuk PRU-15 ini, Ketua UMNO Bahagian Jasin, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dan timbalannya, Datuk Roslan Ahmad, bekas ADUN Merlimau, juga disebut-sebut berpotensi sebagai calon di Parlimen itu.

Kedua-duanya tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tahun lalu.

Selain itu, ADUN Merlimau, yang juga Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Penerangan UMNO Jasin, Datuk Sharul Azuwar Abd Aziz, turut disebut-sebut layak dicalonkan.



Namun, keputusan pencalonan terletak di tangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengambil kira sokongan kepada BN yang dijangka pulih susulan perubahan suasana politik ketika ini.

Sementara itu, pada Persidangan UMNO Bahagian Jasin semalam, Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, meminta semua pihak untuk menerima siapa sahaja calon yang dinamakan pucuk kepemimpinan parti untuk kerusi Parlimen Jasin.

“Jangan kita sabotaj calon yang dinamakan oleh pucuk kepemimpinan parti. Yang penting, BN mesti menang, sekali gus mempertahankan kerusi Jasin daripada jatuh ke tangan pembangkang.

“Jangan ada dalam kalangan kita yang menjadi `gunting dalam lipatan’ sehingga menyebabkan calon kita kalah. Individu yang menjadi pengadu-domba ini perlu disingkirkan segera daripada parti,” katanya. BH



Shahril Hamdan calon BN di Parlimen Jasin?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Zahid Hamidi Sindir Hadi Awang “Jangan ‘Main-Main’ Dengan Durian”



Ismail Sabri adalah calon PM muktamad dari UMNO – Presiden UMNO

Nurul Nazihah yang retung dalam kemalangan baru pulang umrah seminggu



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker