Faizal akui Istana Raja Muda dijual oleh pentadbirannya

Faizal akui Istana Raja Muda dijual oleh pentadbirannya

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan keputusan penjualan Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan dekat sini, dilakukan selepas tidak menerima sebarang bantahan ketika itu.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, keputusan menjual istana berkenaan ketika itu sudah mendapat kata putus secara bersama.



“Kita bercadang menjual istana itu, isu yang timbul dalam kalangan orang ramai baru-baru ini membabitkan bangunan itu.

“Kita bukan mahu merobohkan kawasan itu, tender untuk menjual kawasan itu dibuka dan memang benar keputusan dibuat ketika saya menjadi Menteri Besar.

“Ketika itu, Menteri Besar sekarang ini pun duduk di sebelah saya bermesyuarat dan bersama-sama buat keputusan, saya tidak boleh buat keputusan bersendirian,” katanya di sini, semalam.



Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri akan mempertimbangkan semula keputusan menjual Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan secara tender terbuka untuk laluan pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.

Tindakan menjual istana itu mengejutkan pelbagai pihak kerana ia dianggap warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan serta dipulihara.

Ahmad Faizal berkata, keputusan penjualan Istana Raja Muda perlu melalui beberapa proses termasuk hebahan umum dan membuat bantahan jika projek mahu dilaksanakan.

“Perkara ini sudah melalui banyak proses, semua pihak dimaklumkan dan mempersetujuinya, malah tiada bantahan diterima daripada orang awam ketika itu.



“Apabila keluar tender dan proses itu berjalan ketika kerajaan sekarang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, orang tidak bersetuju dan mahu memelihara bangunan itu sebagai bangunan warisan,” katanya.

Susulan itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau bersetuju bangunan itu dipelihara dan ditambah baik, sekali gus membangunkan kawasan sekeliling bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat.

“Saya harap usaha menjaga dan memelihara warisan bangunan itu perlu dilakukan. Pembangunan untuk kemajuan rakyat juga perlu kita utamakan, ia perlu berjalan seiring,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan sedia ada diharap tidak menuding jari terhadap keputusan yang sudah dibuat secara bersama-sama.



“Jadi saya harap kerajaan sekarang jangan kata saya membuat keputusan seorang, semua duduk dalam mesyuarat dan buat keputusan secara bersama, jadi jangan tuduh orang lain kerana keputusan kita buat secara bersama,” katanya. BH

Faizal akui Istana Raja Muda dijual oleh pentadbirannya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Ustaz Kazim Dedah Disihir Punca Kaki Membengkak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker