Hukum faraid tidak adil?

Hukum faraid tidak adil?

Hukum faraid dikatakan tidak adil kerana lelaki dapat lebih banyak daripada wanita.

Assalamualaikum, saya pernah dengar ada sesetengah orang cakap yang hukum berkaitan harta pusaka dalam Islam ini tidak adil kerana banyak beri kelebihan kepada orang lelaki. Benarkah begitu? Mohon pencerahan.

Jawapan: Dakwaan bahawa hukum faraid tidak adil adalah tidak wajar dan mungkin dakwaan tersebut dibuat kerana kurangnya kefahaman terhadap syariat Islam secara menyeluruh yang melibatkan hak dan tanggungjawab.
Mereka juga mungkin kurang memahami hikmah-hikmah di sebalik pensyariatan faraid ini.

Bahagian lebih banyak yang diberikan kepada lelaki datang dengan tanggungjawab besar. Ini kerana, lelaki perlu menanggung nafkah untuk isteri, anak-anak dan kaum kerabat lain.

Oleh itu, wajar dan adil untuk mereka mendapat bahagian lebih banyak berasaskan tanggungjawab tersebut.

Tidak dinafikan bahawa isu yang sentiasa dibangkitkan berkenaan pusaka adalah waris lelaki sering mendapat kelebihan kerana mendapat bahagian lebih banyak berbanding waris-waris wanita.

Hal ini dilihat oleh sebahagian orang sebagai satu diskriminasi terhadap wanita. Natijahnya, tidak sedikit orang yang mentohmah dan merendah-rendahkan hukum faraid dan menyatakan hukum ini sudah tidak relevan pada zaman sekarang.

Bagi menjawab kepada persoalan menjadi polemik tersebut, maka perkara pertama yang perlu difahami adalah dengan memahami asal usul pensyariatan hukum faraid.

Kami datangkan firman Allah SWT seperti berikut: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak daripada harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).” Surah an-Nisa’ (7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka.

Ini kerana, pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka.

Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki daripada kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini. Pada masa sama, dia meninggalkan empat orang anak perempuan.

Namun, semua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya.

Oleh itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka, sekali gus memuliakan wanita. (Rujuk Tafsir Maqatil Bin Sulaiman 127/5; Tafsir al-Tabari 597/7; Tafsir al-Maturidi 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam 237/10)

Terdapat sebuah kajian yang menyatakan bahawa golongan wanita telah diiktiraf dalam Islam dengan diberikan taraf ahli waris yang sah dan mempunyai kadar tetap tertentu dalam harta pusaka.

Daripada 12 golongan ahli waris ashab al-furud, lapan daripadanya adalah untuk wanita.

Beliau turut menyatakan bahawa kedatangan Islam turut melakukan beberapa pembaharuan yang lain seperti berikut:

Hak pusaka mempusakai adalah berasaskan kepada hubungan nasab (kerabat), akad perkahwinan, wala’ dan Islam.

Tidak menafikan hak dalam pusaka antara lelaki dan perempuan, kecil atau besar, di mana semua mereka berhak menerima harta pusaka yang ditinggalkan oleh pewaris (si mati).

Ibu bapa dan anak-anak tidak digugurkan daripada menerima harta pusaka dalam apa keadaan sekalipun. Kemungkinan kadar bahagian mereka dalam pusaka boleh berubah sekiranya terdapat ahli -ahli waris yang lain.

Saudara-saudara lelaki dan perempuan tidak akan menerima harta pusaka sekiranya ada dua ibu bapa si mati. Kewujudan saudara-saudara boleh mengurangkan bahagian ibu daripada 1/3 kepada 1/6.

Apabila wujud ahli waris lelaki dan perempuan dalam satu kes, ahli waris lelaki akan mengambil dua bahagian ahli waris perempuan, atau dua bahagian untuk ahli waris lelaki dan satu bahagian untuk ahli waris perempuan.

Selain itu, terdapat pelbagai hikmah syariah membezakan kadar bahagian antara lelaki dan perempuan dalam hukum pusaka. Antaranya adalah:

Keperluan dan hajat seorang wanita sebenarnya mencukupi. Ini adalah kerana nafkah mereka ditanggung oleh suami, ayah, adik-beradik lelaki dan kaum kerabat yang lain.

Sebagai contoh, seorang lelaki wajib memberi mahar kepada isterinya serta nafkah dari sudut tempat tinggal, makanan dan pakaian.

Tanggungjawab ini bukan sahaja kepada isteri, bahkan kepada anak-anak juga. K Online

Hukum faraid tidak adil?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Umpama kembar ‘Ronaldo’ jadi perhatian ramai

Johan gosok baju saya – Ozlynn

Bekain pemain Arsenal Podolski kini jutawan kebab, ais krim

Hukum melakukan seks dengan patung (robot)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker