Kepulangan Rafizi dalam gelanggang politik ‘Madu atau Racun’

SETELAH lebih dua tahun ‘berehat’ daripada dunia politik, sejak beberapa hari lalu terdapat spekulasi ‘panas’ mengatakan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sedang dipujuk oleh akar umbi parti itu untuk kembali membuat ‘comeback’.

Diakui banyak pihak sebagai salah seorang arkitek penting berperanan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selain pengaruh bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu kemudiannya melepaskan jawatan dalam parti bersama-sama dengan seorang lagi tokoh muda PKR berpengaruh, Nurul Izzah Anwar sekitar tahun 2019 susulan masalah dalaman parti itu.



Desakan sebilangan akar umbi PKR untuk Rafizi kembali mengukuhkan parti itu sememangnya boleh difahami.

Menjelang pemilihan PKR April ini, kehadiran semula Rafizi, sekiranya dikehendaki beliau sendiri, berkemungkinan mampu memacu parti itu kembali ke landasan sebenar dalam mengekang pengaruh UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang semakin yakin mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara solo.

Hal ini susulan pengaruh PKR dan Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin merosot selepas peristiwa kejatuhan kerajaan PH menerusi ‘Langkah Sheraton’, di mana pelbagai masalah yang timbul menyebabkan status hubungan parti-parti dalam koalisi itu dikatakan semakin renggang.

Bahkan ramai dalam kalangan pemimpin PH sendiri tanpa segan-silu menuntut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Pengerusi PH susulan kekalahan teruk koalisi itu dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini iaitu Melaka dan Sarawak.



 

JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN UNTUK RAFIZI?

Bagi mengukuhkan lagi spekulasi itu terdapat ura-ura jawatan Timbalan Presiden PKR yang dikosongkan bekas penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan bertindak keluar parti sebelum ini, semacam sudah disediakan untuk Rafizi kelak sekiranya beliau bersetuju.

Lebih menarik, Rafizi dalam satu ciapan Twitternya beberapa hari lalu seolah-olah memberi reaksi positif dengan memaklumkan akan mengadakan solat istikharah dan berbincang dengan ahli keluarga serta rakan-rakan kongsi perniagaan beliau terlebih dahulu.



Sekiranya Rafizi mengesahkan penampilan semula beliau dalam dunia politik, ramai pihak percaya langkah sama juga akan diambil Nurul Izzah susulan kedua-dua pemimpin itu dianggap rakan ‘tag team’ dalam PKR.

Pertembungan antara kumpulan pro-Anwar dan kem pemimpin dikuasai Rafizi mungkin menyukarkan membantutkan usaha bekas Ahli Parlimen Pandan itu untuk membuat ‘comeback’ politik dalam masa terdekat.

 

RAFIZI, NURUL IZZAH MAMPU PERKUKUH PKR

Perkembangan terkini itu turut diakui oleh seorang penganalisis politik berpengalaman yang berpandangan agenda kemunculan semula Rafizi dan Nurul Izzah dalam radar politik PKR dan nasional sememangnya satu sentimen dilaung-laungkan akar umbi parti ketika ini.



Hal ini kerana kehadiran dua tokoh politik berpengaruh itu pastinya dapat mengukuhkan kedudukan PKR bagi menghadapi PRU15, selain memudahkan usaha parti membasmi saki-baki kelompok pemimpin dan ahli yang dikaitkan dengan ‘kartel’ Mohamed Azmin.

“Bagaimanapun, saya kira tidak timbul isu keperluan PKR memberi laluan istimewa kepada Rafizi untuk menggalas jawatan Timbalan Presiden parti tanpa perlu bertanding pada pemilihan PKR kelak.

“Sebagai sebuah parti demokratik, Rafizi perlu berada dalam kedudukan padang yang sama dengan orang lain untuk bertanding merebut sebarang jawatan dalam parti bagi menghormati proses demokrasi parti.

“Lagipun, Rafizi dan Nurul Izzah juga perlu kembali mendapatkan kepercayaan ahli bahawa mereka benar-benar serius untuk berkhidmat kepada parti setelah lama ‘berehat’ daripada dunia politik. Bertanding dalam pemilihan parti merupakan salah satu caranya,” ujar penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi kepada Sinar Premium.



 

CETUS KETERUJAAN GOLONGAN MUDA

Sentimen sama turut disokong Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania di Australia, Profesor Dr James Chin, meskipun beliau memiliki pendapat berbeza dalam beberapa aspek.

Mengakui kemunculan semula Rafizi akan mengundang keterujaan dalam kalangan kelompok penyokong muda PKR, kumpulan ini juga berpandangan Rafizi mampu menyuntik idea dan hala tuju parti yang baharu selain dianggap lebih mudah diterima pengundi berbanding Anwar sendiri.



“Bagaimanapun, saya berpandangan DAP mungkin tidak menyukai idea ini susulan mereka menyedari Rafizi tidak senang dengan tindak-tanduk parti itu terhadap PKR sebelum ini termasuk pernah bertelingkah dengan dua pemimpin kanan DAP iaitu Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming.

“Pada masa sama, sebilangan besar penyokong Anwar yang mengeliling beliau ketika ini juga tidak akan menerima kehadiran Rafizi dengan mudah.

“Hal ini memandangkan Rafizi sering mengkritik corak kepimpinan Anwar dalam PKR dan PH secara terbuka selain beliau turut dituduh cuba mewujudkan sebuah kartel baharu menyerupai kartel Azmin yang terdiri dalam kalangan bekas ahli-ahli Invoke,” katanya.

 

SUKAR RAFIZI SATUKAN PEMBANGKANG

Pada masa sama, James menjelaskan beliau turut yakin Rafizi sukar menyatukan kembali koalisi pembangkang yang agak berpecah ketika ini susulan tindakan beliau mengkritik DAP menuntut PH memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) gencatan politik dengan kerajaan BN-PN.

“Rafizi juga menyalahkan DAP kerana menyebabkan PKR kehilangan sokongan pengundi Melayu di atas beberapa tindakan politik yang dibuat sewaktu PH mentadbir kerajaan Pusat.

“Atas faktor itu, kemunculan semula Rafizi dalam persada politik tanah air tidak menjamin PKR, PH dan blok pembangkang akan kembali mencabar pengaruh UMNO-BN menjelang PRU15,” tegasnya lagi.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ajal dijemput ketika sujud solat Dhuha

Valentino Rossi beli nasi goreng di warung

UMNO tak takut saya, tak tahulah – Hamzah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker