Orang bukan Islam dengan al-Quran

Raja Charles 111 juga beberapa kali petik ayat Al-Quran di dalam ucapannya.

Orang bukan Islam dengan al-Quran

oleh Mohsin Abdullah

Saya tidak kenal secara peribadi Howard Lee, Ahli Parlimen Ipoh Timor dari DAP. Pun begitu pada hemat saya beliau pemimpin muda yang ada masa depan politik cerah kerana dilihat bijak, punya banyak idea bagus dan rajin.



Lee juga petah. Ucapannya menarik pada segi kandungan juga persembahan. Bila berucap dalam bahasa Melayu sering juga loghat Perak digunakan. Suke bebenor teman.

Lee sekarang sedang disiasat polis berhubung video memaparkan beliau memetik terjemahan al-Quran yang dimuat naik di media sosial. Siasatan dilancarkan susulan laporan dibuat NGO Jalinan Bersatu Sahabat Perak. Ertinya polis sudah buka kertas siasatan dan menjalankan tugas dengan segera.

Tetapi Menteri Besar Kedah Sanusi Nor selaku panglima perang PAS masih mahu “menggesa” polis menjalankan siasatan ke atas Lee yang beliau anggap melakukan kesalahan “begitu besar” serta “sangat sensitif” buat masa depan negara, seperti dilapor Malaysiakini semalam.

Dakwa Sanusi lagi, jika tindakan tidak diambil ke atas Lee, kemarahan akan meningkat dan mungkin mendorong orang ramai turun ke jalan raya. “Jangan sampai rakyat marah dan berhimpun di Kuala Lumpur berjuta juta (orang). Pada masa itu kami pula jadi salah”.



Banyak lagi yang Sanusi katakan yang saya tidak mahu huraikan di sini. Namun rumusannya Sanusi desak polis buat kerja yang polis sudah buat, yakni menyiasat meski pun Sanusi ketika mendesak berkata “terima kasih kepada polis” diikuti gesaan “siasat betul betul”.

Pelik tetapi apabila melaporkan kata-kata beliau, “kepelikan” mesti dihadapi. Tak apa. Saya ulangi Sanusi mahu polis siasat Lee ketika polis sudah pun menjalankan siasatan. Adakah beliau mahu “ajar” polis macam mana jalankan tugas?

Adakah kata-kata beliau boleh disifatkan provokasi? Terhadap polis dan juga orang ramai yang beliau dakwa akan “berjuta-juta” turun ke jalan raya di Kuala Lumpur? Apa perlunya Sanusi berkata demikian? Jawapannya bagi saya boleh didapati dengan mengambil kira di mana beliau berkata.

Sanusi berucap pada ceramah di Simpang Pelangai pada malam 23 Sept lalu di depan kira-kira seribu orang. Itu hari kedua kempen rasmi sempena PRK Pelangai. Hari pengundian ditetapkan 7 Okt ini. Pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian Allahyarham Johari Harun dari BN pada 17 Ogos lalu.



Ertinya Sanusi berkempen menggunakan kes Lee untuk meraih undi. Lebih soal politik daripada soal agama. Pada hari pertama kempen rasmi dijalankan pun Sanusi telah membangkitkan kes Lee semasa berceramah di Felda Kemasul.

Antaranya beliau dilapor berkata “Sekarang tak nampak kesan (tapi) 10 tahun akan datang apek pakai seluar pendek yang mengajar al-Quran di masjid”. Boleh timbul kemarahan dan kebimbangan orang Melayu Islam.

Hakikatnya Sanusi dan PAS tangkas mengambil kesempatan dengan timbulnya kes Lee. Cekap. Kena angkat songkok kepada mereka.

Berbalik soal pokok isu ini. Media melaporkan NGO yang membuat laporan polis terhadap Lee berpandangan pemimpin DAP itu “sengaja menghina Islam” memandangkan beliau bukan beragama Islam tetapi mentafsir ayat al-Quran justeru “menyentuh perkara 3R iaitu membabitkan agama, raja dan kaum”.



Semuanya dikatakan dipersembahkan melalui video. Saya tidak pasti sama ada video lama yang pernah dipertontonkan atau video baharu yang dihasilkan Lee. Apa pun Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno Mohd Khairuddin Aman Razali berpendapat tidak salah bagi orang bukan Islam berhujah dengan al-Quran sebagaimana huraian alim ulama.

Menurut Khairuddin beliau telah dengar rakaman video seorang Ahli Parlimen bukan beragama Islam yang menyebut tentang ketaatan kepada pemimpin dengan memetik firman Allah. “Tiada yang salah dalam hujahan beliau kerana itulah yang telah dihuraikan oleh para alim ulama Islam tentang kepentingan ketaatan kepada ulil amri dalam Islam.”

Tidak dapat ditentukan sama Kharuddin merujuk video Lee kerana beliau tidak menyebut nama sesiapa selain berkata “video rakaman Ahli Parlimen bukan Islam”. Mungkin atau pasti di kalangan golongan pro Gelombang Hijau mempertikaikan pendapat Khairuddin kerana beliau “dulu PAS kini Umno”.

Maka elok juga diimbas kembali apa yang berlaku pada April 2009. Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming ketika itu berceramah menggunakan ayat al-Quran. Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat menegaskan tindakan itu tidak mempunyai apa apa kesalahan.



“Siapa pun nak guna ayat al-Quran patutnya dia guna lama dah. Ini kesan gelombang kebangkitan Islam”, kata Allahyarham Nik Aziz ketika itu. Komennya masih boleh diikuti menerusi YouTube.

Kesimpulan saya ialah apabila orang bukan Islam menggunakan ayat al-Quran ia sepatutnya digalakkan dan jika orang itu silap mestilah ditegur dan diajar cara yang betul.

Turut mengulas kes Nga 14 tahun lalu ialah pesuruhjaya PAS Perak ketika itu Ahmad Awang. Kata beliau “kalau salah betulkanlah. Kalau salah baca terus suruh hentikan, bila seseorang itu nak fasih dan nak jadi pandai”. Nasihat yang sentiasa relevan.

Bolehkah istilah “gelombang kebangkitan Islam” yang digunakan Nik Aziz dulu diibaratkan “gelombang hijau” yang dikaitkan dengan kemaraan PAS masa kini? (sekurang-kurangnya bila bercakap mengenai prestasi parti itu pada PRN di enam negeri tidak lama dulu).



Jika boleh PAS seharusnya berbangga Lee menggunakan al-Quran kerana itu “kesan” gelombang dan tidak membuat bising. Tetapi bisinglah yang menjadi pilihan kerana seperti dikatakan tadi ia peluang untuk mendapat sokongan politik.

Disamping menyerang balas kerana Lee dalam memetik ayat al-Quran turut mengkritik keras kepimpinan PAS. FMT

Orang bukan Islam dengan al-Quran

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Noor Nabila, Engku Emran sah bakal bercerai

Malu apa Ketua Pembangkangku

Bakal suami Puteri Sarah?

Nelissa trauma diraba di set penggambaran

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker