Dua Cabaran Besar Sistem Pendidikan, Ahmad Zahid Seru Pembaharuan Menyeluruh

Dua Cabaran Besar Sistem Pendidikan, Ahmad Zahid Seru Pembaharuan Menyeluruh

Dua Cabaran Besar Sistem Pendidikan, Ahmad Zahid Seru Pembaharuan Menyeluruh

KUALA LUMPUR, 1 Mei — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem pendidikan negara kini sedang diuji oleh dua tekanan utama iaitu cabaran masa depan dan warisan lama yang masih belum diselesaikan.

Menurut beliau, tekanan masa depan menyaksikan generasi muda bukan sahaja bersaing sesama sendiri, malah turut berdepan persaingan dengan teknologi, kecerdasan buatan (AI), automasi serta ekonomi global yang bergerak pantas.

“Kita berdepan realiti baharu dalam pasaran pekerjaan. Walaupun kadar pengangguran menurun kepada sekitar 2.9 peratus, hakikatnya lebih 1.6 juta graduan berada dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kalayakan.

“Ini bermakna cabaran hari ini bukan sekadar mencipta pekerjaan tetapi memastikan pendidikan selari dengan keperluan dunia sebenar. Banyak pekerjaan akan berubah. Banyak kemahiran yang akan menjadi usang. Dunia bergerak pantas dan sistem pendidikan tidak boleh ketinggalan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Undi 18 Perlu Diambil Kira, Jurang Generasi Jadi Cabaran BN – Dr Zambry


“Tekanan kedua ialah warisan lama yang merangkumi isu akses pendidikan berkualiti, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah. Masih ada anak desa yang jauh daripada akses pendidikan berkualiti, anak keluarga miskin yang terbatas oleh kos, serta bakat Bumiputera yang tidak mendapat peluang sewajarnya,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Konvensyen Pendidikan Bumiputera di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini. Turut serta Pengerusi Kongres Pendidikan Bumiputera, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Sekretariat Kongres Pendidikan Bumiputera, Datuk Dr Puad Zarkashi; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta pimpinan UMNO lain.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menegaskan bahawa pendidikan tahfiz dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak seharusnya dipinggirkan, sebaliknya perlu diperkasa sebagai sebahagian daripada arus perdana pendidikan negara.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

UMNO Hormati Keputusan ADUN Negeri Sembilan, Teliti Implikasi Politik – Ahmad Zahid


Beliau berkata pendidikan hari ini bukan sekadar isu akademik, sebaliknya melibatkan kelangsungan masa depan bangsa.

“Jika kita gagal menyediakan ilmu, nilai dan kemahiran yang betul, kita bukan sahaja kalahdalam peperiksaan, tetapi dalam kehidupan dan persaingan global,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga mandat utama pendidikan iaitu membina manusia berakhlak, memperkukuh ekonomi melalui tenaga mahir serta membentuk warganegara yang memahami sejarah dan identiti nasional.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menggariskan lima fokus pembaharuan dalam membina hala tuju pendidikan negara.

“Pertama sistem pendidikan pelbagai laluan. Tidak semua anak dilahirkan dengan bakat yang sama. Tidak semua kecemerlangan diukur dengan peperiksaan yang sama. Maka, sistem pendidikan kita mesti lebih anjal dan adil – memberi ruang kepada laluan akademik, TVET, tahfiz, digital, keusahawanan, seni, sukan dan inovasi secara seimbang.

“Kedua pendidikan pra-sekolah mesti diperluas. Pendidikan tidak bermula di universiti, atau di sekolah menengah. Pendidikan bermula sejak awal usia. Jika asas anak lemah di peringkat awal, kita akan mengejar kelemahan itu sepanjang hayat. Sebab itu akses kepada prasekolah berkualiti mesti diperluas, khususnya di luar bandar, kawasan miskin bandar, pedalaman Sabah dan Sarawak serta komuniti rentan.

“Ketiga Wakaf Pendidikan Bumiputera mesti diperkasakan. Dalam sejarah tamadun Islam, wakaf menjadi instrumen besar pembinaan ilmu. Tradisi ini mesti dihidupkan semula untuk membiayai biasiswa, membantu pelajar miskin serta mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tahunan kerajaan. Pendidikan memerlukan dana jangka panjang. Wakaf boleh menjadi jambatan antara kekuatan umat dengan masa depan bangsa,” ujarnya.

Selain itu tambahnya lagi martabat guru juga mesti diangkat kerana mereka bukan sekadar penyampai silibus, tetapi pembina manusia sejagat.

“Maka kebajikan guru, latihan guru, beban tugas dan kemudahan sekolah mesti menjadi keutamaan. Saya bersetuju Suruhanjaya guru dibentuk dan saya akan bawa ke kabinet.

“Seterusnya hala tuju pendidikan Malaysia mesti jelas. Pendidikan bukan sekadar untuk mengejar ranking antarabangsa atau melahirkan pekerja kepada pasaran. Pendidikan tidak boleh terjerumus dengan keputusan politik sehingga menjadi beban. Hala tuju pendidikan negara mesti jelas, inklusif, progresif dan berteraskan nilai,” ujarnya. – UMNO Online

Dua Cabaran Besar Sistem Pendidikan, Ahmad Zahid Seru Pembaharuan Menyeluruh

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Menjelang Ulang Tahun UMNO Ke-80: Pertandingan Pidato Piala AZH Bermula

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker