Dua warga emas rugi RM2.7 juta, diperdaya scammer pelaburan dalam talian

Dua warga emas rugi RM2.7 juta, diperdaya scammer pelaburan dalam talian

Dua warga emas rugi RM2.7 juta, diperdaya scammer pelaburan dalam talian
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail. – Foto fail BERNAMA

GEORGETOWN: Dua warga emas termasuk seorang bekas pengarah syarikat kerugian keseluruhan hampir RM2.7 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi platform pelaburan berasingan, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata kes pertama melibatkan lelaki berusia 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga jentera dan mengalami kerugian RM1.294 juta selepas terjerat dengan skim pelaburan dalam talian dikenali Global Finance Trends XA.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menerima laporan daripada mangsa semalam dan lelaki itu dikatakan mula tertarik dengan skim berkenaan selepas melihat iklan pelaburan di aplikasi Facebook pada Mac lepas, sebelum dihubungi seorang suspek wanita menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek menawarkan pelaburan didakwa berasal dari China atas nama syarikat Citic Wealth Advisors Sdn Bhd dengan menjanjikan keuntungan tinggi dan pada peringkat awal, suspek hanya memberi tips pelaburan tempatan dan ramalan keuntungan yang diberikan didapati tepat hingga menyebabkan mangsa mula yakin terhadap skim tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Reezal Seru Semua Pihak Pertahan Empat Pasak Utama Negara


Azizee berkata mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi Global Finance Trends XA untuk pendaftaran dan urusan pelaburan sebelum membuat 28 transaksi pembayaran berjumlah RM1.397 juta ke akaun bank CIMB atas nama syarikat tersebut antara 6 April hingga 4 Mei lepas.

Beliau berkata lelaki itu hanya menerima pulangan RM103,000 sebelum menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM1 juta yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang bekas pengarah syarikat wanita berusia 72 tahun turut kerugian RM1.403 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian menggunakan nama Shanghai Futures Exchange.

“Mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga asing menerusi Facebook pada Julai 2023 sebelum hubungan diteruskan melalui aplikasi LINE. Suspek turut menghantar gambar kad pengenalannya bagi meyakinkan mangsa bahawa dirinya benar-benar wujud sebelum menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

UMNO Terus Relevan, Jadi Pilihan Generasi Muda – Suhaimi Nasir


“Wanita itu kemudian diminta melayari satu laman web menerusi pautan diberikan bagi tujuan pendaftaran keahlian dan urusan pelaburan dan antara 27 Nov tahun lepas hingga 5 Februari, mangsa melakukan 53 transaksi kemasukan wang berjumlah RM1.403 juta ke dalam 30 akaun bank berbeza termasuk 26 akaun individu dan empat akaun syarikat,” katanya.

Azizee berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan RM30 juta yang dipaparkan dalam aplikasi selain akaunnya disekat manakala suspek pula gagal dihubungi.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

– BERNAMA

Dua warga emas rugi RM2.7 juta, diperdaya scammer pelaburan dalam talian


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Pemuda UMNO Selangor Seru Rakyat Bersatu Pertahan Institusi Raja

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker