Penyebaran Minit Mesyuarat: Pihak Berkuasa Perlu Beri Penjelasan Rasmi

Penyebaran Minit Mesyuarat: Pihak Berkuasa Perlu Beri Penjelasan Rasmi

Penyebaran Minit Mesyuarat: Pihak Berkuasa Perlu Beri Penjelasan Rasmi

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan rasmi berkenaan penyebaran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Rabu.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata perkembangan tersebut telah menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dokumen, proses penyahklasifikasian dan tatacara pengendalian rekod rasmi negara.

”Penerangan UMNO Negeri Melaka memandang serius pendedahan dan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Perkembangan ini telah menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dokumen, proses penyahklasifikasian dan tatacara pengendalian rekod rasmi negara. Kami senada dengan pendirian yang dinyatakan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, YB Datuk Seri Azalina Othman Said, bahawa pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan rasmi berhubung status dokumen berkenaan.

“Perkara ini bukan sahaja menyentuh soal ketelusan pentadbiran, malah turut melibatkan pematuhan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Minit Lembaga Pengampunan: Dap Jangan Heret Institusi Raja Ke Medan Politik


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan menegaskan segala urusan berkaitan prosiding dan rekod Lembaga Pengampunan hendaklah dikendalikan secara tertib, bertanggungjawab dan menurut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kami turut mengambil perhatian terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri pada 12 November 2026 yang menyatakan kesediaan membawa cadangan penyahklasifikasian kepada Jemaah Menteri.

“Pada 13 November 2026 pula, jurucakap kerajaan dilaporkan memaklumkan bahawa cadangan tersebut belum dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses berkaitan sedang diatur.

“Justeru, penjelasan rasmi perlu diberikan bagi menjawab persoalan adakah dokumen berkenaan telah dinyahklasifikasikan secara sah menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88)?” soalnya.

Di samping itu, beliau turut mempersoalkan kesahihan dokumen yang tersebar dan siapakah yang telah membuat keputusan untuk menyahklasifikasikannya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Rakyat Diutamakan, ADUN Behrang Tangani Risiko Banjir Dan Kerosakan Jalan


“Kedua, pihak manakah yang mempunyai kuasa dan telah membuat keputusan tersebut? Bilakah keputusan itu dibuat dan apakah asas perundangan serta tatacara yang digunakan?

“Adakah dokumen yang tersebar merupakan salinan sahih dan lengkap daripada rekod rasmi atau hanya sebahagian daripada minit mesyuarat berkenaan? …dan adakah semua prosedur berkaitan pengendalian dan pendedahan dokumen telah dipatuhi, termasuk sebarang keperluan perkenan diraja sekiranya terpakai?

“Penerangan UMNO Negeri Melaka menegaskan bahawa prinsip ketelusan dan akauntabiliti hendaklah sentiasa berjalan seiring dengan kedaulatan undang-undang. Kebebasan bersuara dan hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, tanpa mengabaikan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa berkaitan memberikan penjelasan yang menyeluruh mengenai status penyahklasifikasian, kesahihan dokumen serta pematuhan prosedur yang ditetapkan.

“Kami berpandangan bahawa urusan pengampunan diraja tidak seharusnya dijadikan bahan pertikaian politik yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap peranan dan kedudukan institusi negara. Sebarang persoalan yang timbul wajar diperjelaskan berasaskan fakta, rekod rasmi dan kerangka perundangan yang sah.

“Sehubungan itu, kami menggesa Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa berkaitan memberikan penjelasan yang menyeluruh mengenai status penyahklasifikasian, kesahihan dokumen serta pematuhan prosedur yang ditetapkan.

“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau ketidakpatuhan prosedur, tindakan sewajarnya hendaklah diambil berdasarkan hasil siasatan dan proses undang-undang.

“Penerangan UMNO Negeri Melaka akan terus menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan, menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dalam setiap perkara yang melibatkan kepentingan negara. Institusi Raja mesti dihormati. Perlembagaan mesti dijunjung. Kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan,” katanya lagi. – UMNO Online

Penyebaran Minit Mesyuarat: Pihak Berkuasa Perlu Beri Penjelasan Rasmi


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dedah Dokumen Sulit: UMNO Kedah Gesa Tony Pua, Dap Segera Disiasat

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker