Bunuh wanita dalam kebun sawit, lelaki dipenjara 30 tahun

Bunuh wanita dalam kebun sawit, lelaki dipenjara 30 tahun

TAWAU: Seorang lelaki warga Filipina dipenjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah membunuh wanita di kawasan semak Ladang Ample Land Tingkayu, Kunak, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Roger Pasague Cullano, 54, selepas menerima pengakuan salah tertuduh terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Jun 2025.

Mahkamah turut memerintahkan pemandu jentera angkut itu dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara, manakala tiada perintah sebatan dikenakan mengambil kira faktor usianya.

Ketika rayuan mitigasi, peguam bela, Kamarudin Mohmad Chinki, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum 30 tahun dengan mengambil kira pengakuan bersalah, penyesalan tertuduh, latar belakang keluarga serta peluang untuk menjalani pemulihan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Minit Lembaga Pengampunan: Dap Jangan Heret Institusi Raja Ke Medan Politik


Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fellanny Siji, berhujah hukuman berat wajar dikenakan memandangkan perbuatan tertuduh menyebabkan kehilangan nyawa seorang ibu selain trauma terhadap anak mangsa yang menemui mayat ibunya.

Pendakwaan turut memohon hukuman penjara antara 30 hingga 35 tahun dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh pada peringkat awal prosiding.

Mengikut fakta kes, mangsa, Abigail Diego Mandi, 32, yang juga warga Filipina, ditemui anak lelakinya dalam keadaan tertiarap di bawah timbunan pelepah kelapa sawit dan semak samun pada kira-kira jam 10 pagi, 13 Jun 2025.

Sebelum itu, anak mangsa dikatakan menghubungi ibunya kira-kira jam 9.26 pagi untuk memintanya mengutip tandan kelapa sawit di tempat berkenaan.

Bagaimanapun apabila tiba di lokasi, anak mangsa tidak menemui ibunya sebaliknya terserempak dengan tertuduh yang berada berhampiran kawasan itu dalam keadaan badan berlumpur, mempunyai kesan darah pada pipi serta memegang sebilah parang panjang.

Ketika ditanya mengenai keberadaan mangsa, tertuduh menunjukkan ke arah lain sebelum anak mangsa beredar dan mendapatkan bantuan orang awam untuk mencarinya.

Selepas 20 minit mencari, anak mangsa menemui ibunya dalam keadaan pakaian terbuka serta mempunyai beberapa kesan kecederaan pada bahagian kepala dan muka.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Rakyat Diutamakan, ADUN Behrang Tangani Risiko Banjir Dan Kerosakan Jalan


Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi forensik, mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan akibat tetakan pada bahagian dada, kepala, wajah dan kedua-dua tangan selain kecederaan tikaman serta lebam pada tubuhnya.

Pakar mengesahkan punca kematian mangsa ialah kecederaan pada pembuluh darah utama aorta toraks (stab wound to the thoracic aorta).

Tertuduh ditangkap di kawasan Ladang Briian Tingkayu, Kunak, pada 14 Jun 2025 sebelum mengaku membunuh mangsa kerana tidak berpuas hati terhadapnya.

Sebilah parang dan pakaian yang dipakai tertuduh turut dirampas di lokasi berasingan hasil maklumat serta pandu arah tertuduh sendiri, sebelum kedua-duanya dikenal pasti oleh anak mangsa.

Bunuh wanita dalam kebun sawit, lelaki dipenjara 30 tahun


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dedah Dokumen Sulit: UMNO Kedah Gesa Tony Pua, Dap Segera Disiasat

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker