Ulang Tahun Ke-80: Asas Pembangunan Negara Berakar Daripada Perjuangan UMNO – Ruzaini
Ulang Tahun Ke-80: Asas Pembangunan Negara Berakar Daripada Perjuangan UMNO – Ruzaini

PADANG BESAR, 13 Mei — UMNO tidak dapat dipisahkan dengan peranannya dalam membentuk asas pembangunan negara sejak era sebelum merdeka hingga kini.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, perjalanan panjang UMNO bukan sekadar catatan sejarah politik, tetapi juga sebuah perjuangan yang menurutnya telah membentuk asas kepada pembangunan negara moden hari ini.
Beliau berkata sambutan ulang tahun kali ini membawa makna besar kerana ia mengingatkan semula pengorbanan generasi terdahulu dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat bersama-sama menyambut ulang tahun UMNO yang ke-80. Satu perjalanan panjang yang sarat dengan sejarah, pengorbanan dan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
“Sejak penubuhannya pada tahun 1946, UMNO lahir bukan sekadar sebagai sebuah parti politik, tetapi sebagai suara kebangkitan orang Melayu yang bangkit mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan tanah air.”
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- UMNO Ke-80: Memperbaharui Iltizam Perjuangan Demi Masa Depan Malaysia
- Sesi Fotografi: Ahmad Zahid Sifatkan Peristiwa Signifikan, Kenang Sejarah Penubuhan UMNO
- ‘UMNO Bukan Lahir Kerana Musim, Tetapi Atas Dasar Tanggungjawab’ – Dr Akmal
UMNO 80 Tahun: Dari Istana Kembali Ke Istana, Mengangkat Sejarah Perjuangan Bangsa
Katanya, penyatuan orang Melayu di seluruh negara ketika itu menjadi kekuatan utama yang membawa kepada kejayaan rundingan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah pada tahun 1957.
“Inilah kekuatan sebenar UMNO. Kekuatan penyatuan. Dengan semangat itulah UMNO membangkitkan kesedaran dan seterusnya memimpin rundingan kemerdekaan sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tanpa pertumpahan darah.”
Selepas kemerdekaan, beliau berkata UMNO terus memainkan peranan dalam membentuk dasar negara termasuk memperkukuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan hak Bumiputera.
“Selepas mencapai kemerdekaan, perjuangan UMNO tidak pernah berhenti. UMNO terus menjadi tunjang kepada pembangunan negara dengan memastikan kedudukan agama Islam terus dimartabatkan sebagai agama Persekutuan, hak orang Melayu serta Bumiputera terus dipelihara dan institusi Raja-Raja Melayu dipertahankan sebagaimana termaktub kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.”
Ruzaini turut menegaskan bahawa banyak pembangunan negara hari ini tidak boleh dipisahkan daripada dasar-dasar awal yang diperjuangkan UMNO.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Lapan Dekad Berjuang, UMNO Tidak Pernah Luntur Demi Rakyat – Azman Ismail
- Keresahan Melayu Mesti Diurus Dengan Hikmah dan Penyelesaian – Ahmad Zahid
- RIMBUN 2.0 Himpun Suara Anak Muda, 25 Resolusi Dibawa Ke MKT UMNO
Ulang Tahun Ke-80: UMNO Tunjang Utama Pembentukan Negara – Samasuddin
“Kita juga tidak boleh menafikan bahawa banyak kejayaan negara hari ini dibina atas asas perjuangan UMNO. Daripada sebuah negara pertanian yang serba kekurangan, Malaysia berkembang menjadi sebuah negara membangun yang dihormati dunia.”
Beliau berkata pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, sekolah, universiti dan hospital menjadi antara bukti perubahan besar negara hasil perancangan jangka panjang.
“Infrastruktur seperti jalan raya, sekolah, universiti, hospital dan pelbagai kemudahan rakyat dibangunkan demi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.”
Menurutnya lagi, penubuhan institusi seperti MARA dan FELDA serta pelaksanaan agenda ekonomi Bumiputera telah memberi kesan besar kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa UMNO tidak pernah menafikan hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ruzaini turut mengakui cabaran semasa lebih kompleks, khususnya dalam kalangan generasi muda yang berdepan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan serta perubahan teknologi yang pantas.
“Anak muda kini berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang mencabar, ledakan teknologi dan pengaruh media sosial yang pantas berubah. Dalam keadaan ini, UMNO harus terus menjadi sandaran kepada generasi muda.”
Beliau menambah bahawa UMNO perlu kekal relevan sebagai parti yang stabil, berpengalaman dan mampu menawarkan perancangan masa depan yang jelas.
“Parti ini perlu dilihat bukan sekadar menjaja sejarah, tetapi membina masa depan. UMNO parti yang boleh diharapkan atas pengalaman pentadbiran, mempunyai perancangan yang jelas serta jaringan yang luas.
“Sesungguhnya, usia 80 tahun bukan dilihat tanda keuzuran tetapi lambang kematangan sebuah perjuangan. UMNO telah jatuh dan bangun, diuji dan dicabar, namun tetap berdiri kerana kekuatannya terletak pada kesetiaan ahli dan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti ini.”
“Kita percaya, selagi UMNO berpegang teguh kepada prinsip membela agama, bangsa dan negara, selagi itulah UMNO akan terus berjuang dan tidak akan pernah lelah berjuang,” katanya lagi. – UMNO Online
Ulang Tahun Ke-80: Asas Pembangunan Negara Berakar Daripada Perjuangan UMNO – Ruzaini
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- TVET Jadi Kunci Malaysia Terajui Industri EV Dan Tenaga Baharu — Ahmad Zahid
- Program Ekonomi MADANI ATM Fokus Pembangunan Sosio-Ekonomi Keluarga Tentera
- Ahmad Zahid Hargai Dedikasi Jururawat, Penggerak Utama Penjagaan Kesihatan Negara
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Azalina Tinjau Cadangan Penempatan Mahkamah Komersial Baharu, Perkukuh Sistem Kehakiman
You must be logged in to post a comment.