Adidas dijangka rugi buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun

Adidas dijangka rugi buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun

HERZOGENAURACH: Adidas akan mengurangkan dividen bagi 2022, kata pengeluar kasut sukan itu hari ini, selepas memberi amaran bahawa perpisahan dengan artis yang sebelum ini dikenali sebagai Kanye West akan mengakibatkan ia mencatatkan kerugian tahunan pertama dalam tempoh tiga dekad tahun ini.

Ketua Eksekutif Adidas, Bjorn Gulden, yang akan bercakap kepada pelabur lewat hari ini buat kali pertama sejak mengambil alih jawatan terbabit pada 1 Januari lalu, berikrar untuk membina semula jenama itu yang terjejas selepas mengakhiri kerjasama dengan West, kini dikenali sebagai Ye, yang menghasilkan pulangan besar daripada kasut Yeezy.



Adidas tidak menyatakan jumlah yang diperoleh daripada jenama Yeezy sejak kerjasama pertamanya dengan Ye bermula pada akhir 2013, namun penganalisis menganggarkan ia merangkumi kira-kira tujuh peratus daripada jualan keseluruhan dalam tahun-tahun terbaiknya.

Syarikat perlu memberikan tumpuan semula kepada perniagaan teras dan berdepan tahun ‘peralihan’ sebelum kembali untung pada 2024, dan akan kembali kepada asal iaitu berasaskan sukan, kata Gulden.

“Anda akan melihat kami melabur dalam lebih banyak sukan…kerana itulah DNA syarikat ini,” katanya kepada pemberita.

Syarikat itu akan mencadangkan dividen 0.70 euro sesaham, lebih rendah berbanding 3.30 sesaham pada 2021, pada mesyuarat agung tahunan 11 Mei ini, katanya.



Saham Adidas susut 2.1 peratus hari ini.

Syarikat itu, bagaimanapun mengatasi prestasi pesaingnya, Puma dan Nike sejak permulaan tahun ini, satu isyarat bahawa pelabur memberikan sokongan kepada Gulden.

“Kami percaya saham terbabit gagal untuk memberikan diskaun kepada masa yang akan diambil untuk membina semula jenama dan margin,” kata penganalisis Credit Suisse, Simon Irwin dalam satu nota.

Adidas memutuskan hubungan bersama Ye pada Oktober lalu, susulan beberapa siri kenyataan anti semitik yang dibuatnya di media sosial dan dalam beberapa temubual yang turut menyebabkan Twitter serta Instagram mengehadkan akaunnya dalam platform masing-masing.



Gulden berkata, Adidas perlu membuat keputusan dengan stok kasut Yeezy yang belum dijual.

Membakar kasut-kasut berkenaan akan menimbulkan isu kelestarian, katanya, manakala memberikannya kepada badan kebajikan adalah isu yang rumit disebabkan oleh nilainya jika dijual semula, yang telah melonjak sejak perpisahan itu.

Sepasang kasut Yeezy 350 ‘Zebra’ kini dijual antara AS$340 dan AS$360, berbanding kira-kira AS$260 empat bulan lalu, menurut John Mocadlo, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penjual semula kasut di Amerika Syarikat (AS), Impossible Kicks. BH

Adidas dijangka rugi buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Musa Hassan beri amaran jangan masuk campur urusan keluarga [VIDEO]



Logo rahsia beruang pada coklat Toblerone

Didakwa gigit ‘kemaluan wanita’, anak billionair dipanggil polis



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker