Sultan Johor kini pemegang saham kedua terbesar dalam Melaka Gateway

Sultan Johor kini pemegang saham kedua terbesar dalam Melaka Gateway

Selepas bertahun-tahun dilihat lesu, projek Melaka Gateway kini kembali seperti biasa.

Kerajaan kini memberi sokongan kepada projek berkenaan, dengan pemaju projek itu kini mempunyai penyokong berpengaruh iaitu Sultan Johor.

Semakan Malaysiakini ke atas rekod syarikat pemaju projek, KAJ Development Sdn Bhd mendapati Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kini ialah pemegang saham kedua terbesar syarikat itu.

Sultan Ibrahim memiliki 30 peratus kepentingan dalam KAJ dengan nilai RM6 juta, manakala rakan perniagaan lamanya, Daing A Malek Daing A Rahman mempunyai 10 peratus kepentingan bernilai RM2 juta.

Maklumat pemegang saham itu kali terakhir dikemas kini pada 11 Jan lalu.

Ketua pegawai eksekutif KAJ, Siow Yoke Foong kekal sebagai pemegang saham terbesar, dengan 35 peratus daripada saham bernilai RM7 juta.

Seorang lagi pemegang saham, Ong Tun Tse, memegang 19.98 peratus saham.

Malaysiakini mendapati Siow dan Ong mempunyai alamat yang sama dan dipercayai mempunyai kaitan.

Dua lagi pemegang saham ialah doktor pakar telinga, hidung dan tekak, Dr Siow Seng Choon (5 peratus) dan M Yahya A Hamid (0.0125 peratus).

Penyertaan Sultan Ibrahim dalam projek Melaka Gateway bermakna baginda mempunyai kepentingan dalam dua projek penambakan laut utama di sepanjang Selat Melaka – dengan satu lagi Maharani Energy Gateway di luar pantai Muar, Johor.

Keluarga Ong juga terlibat dalam kedua-dua projek itu.

Bagi projek Maharani Energy Gateway, selain Sultan Ibrahim dan Daing A Malek, rakan kongsi ketiga ialah K Energy Sdn Bhd – yang dimiliki bersama Eric Ong Zong Ren dan Valerie Ong Huei Zhen.

Kedua-dua mereka berusia 20-an ketika menjadi rakan kongsi perniagaan sultan, didaftarkan di alamat kediaman yang sama dengan Tun Tse dan dipercayai mempunyai pertalian dengan Ong.

Eric juga disenaraikan sebagai pengarah dalam dua anak syarikat KAJ – Melaka International Cruise Terminal Sdn Bhd dan MG Cruise Terminal Holdings Sdn Bhd.

Syarikat China sebagai kontraktor utama

Dilancarkan oleh perdana menteri Najib Razak pada 2014, projek Melaka Gateway bernilai RM43 bilion meliputi 246.45 hektar dan bertujuan mewujudkan tiga pulau buatan, antara lain, pelabuhan laut dalam, terminal pelayaran dan kontena, marina, perkhidmatan pembinaan dan pembaikan kapal, taman perindustrian maritim, hotel dan kondominium.

Projek itu pada asalnya dirancang untuk disiapkan pada tahun 2025.

Pada Mei 2017, semasa lawatan Najib ke China, Malaysia dan beberapa syarikat China menandatangani sembilan perjanjian komersial, dengan anggaran pelaburan AS$7.22 bilion (RM31.3 bilion).

Melaka Gateway adalah salah satu daripada projek yang dilaburkan.

Pada masa itu, satu memorandum persefahaman ditandatangani antara KAJ, China Electric Power Construction Group – anak syarikat milik kerajaan Power Construction Corporation of China – Shenzhen Yantian Port Group dan Shandong Rizhao Port Group untuk bersama-sama membangunkan Melaka Gateway.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang Pakatan Harapan ketika itu menyasarkan projek itu, dengan pengerusinya pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad mendakwa Najib menjual tanah negara.

Apabila PH berkuasa, projek itu dikaji semula.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, membatalkan projek itu pada 2020 selepas KAJ gagal menyiapkan kerja-kerja penambakan mengikut jadual.

KAJ kemudiannya menyaman kerajaan Melaka tetapi tidak berjaya.

Kelesuan projek itu tidak berlangsung lama lagi apabila saingan politik Sulaiman – exco Melaka yang bertanggungjawab dalam industri dan pelaburan, Rauf Yusoh – mengembalikan semula KAJ sebagai pemaju projek Melaka Gateway pada Mac tahun lepas.

Projek Melaka Gateway kini merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka yang melibatkan usaha penambakan yang diperluaskan melibatkan kawasan sepanjang 33km di garis pantai Melaka.

Pada Ahad lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan KAJ memohon untuk menghidupkan semula komponen terminal kapal persiaran projek itu dan ia dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kementerian.

Loke berkata, dia secara peribadi tidak mempunyai masalah untuk menyokong kesinambungan projekberkenaan tetapi akan berbincang dengan kerajaan negeri Melaka terlebih dahulu.

Dia berkata kerja-kerja penambakan itu sudah separuh siap dan jika terbengkalai, ia akan merugikan ekonomi negeri.

Projek itu adalah antara beberapa pelabuhan di sepanjang Selat Melaka yang telah dibina, sedang dalam proses, atau sedang dicadangkan. Mkini

Sultan Johor kini pemegang saham kedua terbesar dalam Melaka Gateway

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

“Ingat LRT bapak kau punya”

A Aida takkan beri ‘job’ kepada Hafidz Roshdi

Syamsul enggan cerai Puteri Sarah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker