Dana 1MDB: Kenapa kerajaan membisu mengenai Zeti, SD, tanya Zaid


Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mempersoalkan sikap ‘membisu” pihak kerajaan terhadap laporan suami dan dua anak bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, yang didakwa menerima dana 1MDB.

Zaid berkata reaksi ‘dingin’ kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin terhadap laporan berkenaan yang bertebaran adalah “mengejutkan”.

Baru-baru ini, blog MalaysiaToday, yang dikendalikan Raja Petra Kamarudin, menyiarkan akuan berkanun menyatakan suami dan dua anak lelaki Zeti, menerima dana daripada Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa mendalangi skandal 1MDB.

SD itu, yang dilihat FMT, adalah dokumen tulen, menurut syarikat peguam yang menandatangani dokumen itu, Shaharudin, Sham Sunder & Partners.



Zeti menafikan tuduhan itu namun tidak memberikan penjelasan mengenai kewujudan akuan berkanun yang ditandatangani suami dan dua anaknya itu.

Zaid berkata sekirannya akuan berkanun itu palsu, Zeti, ahli keluarga terbabit dan peguam berkenaan seharusnya membuat laporan polis.

Beliau berkata dakwaan ahli keluarga Zeti menerima dana daripada Jho Low menuntut penjelasan telus daripada pihak berkenaan.

“Ia adalah perkara yang amat serius. Masyarakat awam patut dimaklumkan butiran bayaran itu,” kata beliau.



“Adalah tidak mustahil, Low turut membayar berjuta-juta ringgit kepada pegawai kanan kerajaan yang lain atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh beliau,” kata Zaid.

Kemungkinan itu menimbulkan tanda tanya sama ada wujud pengaruh asing dalam pentadbiran kerajaan, kata beliau.

Justeru, kata Zaid, beliau mendapati ucapan sesetengah pemimpin menguar-uarkan perpaduan Melayu-Islam sebagai “memualkan.”

“Apakah yang boleh dicapai menerusi persekongkolan parti-parti Melayu berbanding dengan sebuah kerajaan pimpinan Melayu yang progresif.



“Sanggupkan parti Melayu dalam kerajaan mengarahkan siasatan komprehensif ke atas kes Zeti? Sanggupkan mereka melakukan pembaharuan GLC dan perkhidmatan awam?”

“Mampukah mereka mendorong lebih ramai rakyat membayar cukai atau memperkenalkan semula GST serta menambah hasil kerajaan?” kata Zaid.

Zaid berkata Malaysia memerlukan pemimpin politik yang berupaya melakukan perubahan nyata seperti bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein; bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew; and pemimpin China, Deng Xiaoping.

“Apa yang ada sekarang adalah pemimpin yang bercakap banyak tetapi tidak menawarkan penyelesaian yang amat diperlukan rakyat.



“Mereka bercakap mengenai perpaduan ethnik, tetapi apa manfaatnya?” kata Zaid.

Beliau berkata institusi awam negara ini hanya boleh meraih kepercayaan awam untuk beroperasi secara integriti dan mematuhi undang-undang jika pemimpinnya tiada cacat cela. FMT

Isu video seks sejenis : Ketua Polis Negara hentikan buat kenyataan politik – Zaid



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker