Anwar restu Farhash untuk singkirkan Menteri Besar Selangor di Gombak?

SHAH ALAM – Tindakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mahu merebut jawatan Ketua Cabang PKR Gombak, dalam pemilihan parti pada April nanti, membuktikan wujudnya gerakan besar-besaran bagi menyingkir pengaruh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Farhash juga berani meletak jawatan sebagai Pengerusi PKR Perak dan Ketua Cabang PKR Kuala Kangsar, kerana sudah mendapat restu daripada pucuk pimpinan tertinggi terutama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dikatakan merestui ‘Langkah Gombak’ diketuai oleh Farhash kerana melihat tindakan berkenaan secara tidak langsung membantunya menyingkirkan saki baki pengikut bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih ada dalam PKR termasuk Amirudin yang sebelum ini namanya dikaitkan.

Penganalisis politik dan pakar geostrategis, Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, tindakan Farhash menentang Amirudin menunjukkan ada pertembungan antara proksi Anwar dan Mohamed Azmin bagi menentukan ‘survival’ dan masa depan politik kedua-dua kumpulan terbabit.



Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, Farhash berani menentang Amirudin kerana beliau mengetahui bahawa Menteri Besar Selangor berkenaan tidak satu kepala dan bukan berada dalam kem sama dengan Presiden PKR.

Azmi percaya, faktor berkenaan menyebabkan berlakunya pertembungan antara Farhash yang mewakili kem Anwar dan Amirudin mewakili kumpulan pro Azmin.

“Apabila ada tentangan terhadap Menteri Besar Selangor maka saya melihat ini adalah satu rancangan, strategi dan langkah amat besar bukan sekadar didalangi kumpulan kecil dalam PKR tetapi ia mesti mendapat restu daripada pucuk pimpinan tertinggi parti (Anwar).

“Bila cabaran terhadap Menteri Besar mestilah sesuatu yang tidak kena atau masalah dalaman PKR bukan hanya di peringkat Selangor malah di peringkat pusat,” katanya kepada Sinar Premium.



Mengulas lanjut, Azmi berpandangan, tindakan Farhash membuat pengumuman awal itu akan menjejaskan dan memberi impak besar kepada kempen PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Malah katanya, tindakan Farhash berkenaan juga menunjukkan perpecahan dalam PKR kini semakin merebak sehingga tidak dapat dibendung lagi kerana Presiden gagal mengawalnya.

“Bukan hanya dalam PKR tetapi parti lain seperti UMNO juga mempunyai masalah perpecahan dalaman namun Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih mampu mengawalnya dengan baik.

“Bagaimanapun, dalam kes PKR perpecahan dalaman tidak boleh dibendung kerana ia membabitkan pemimpin tertinggi termasuk Presiden PKR sendiri. Jadi ini tidak baik untuk masa depan dan kempen PKR dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Johor nanti,” katanya.



Ditanya mengenai impak kemasukan semula Rafizi Ramli ke dalam parti itu, Azmi berkata, beliau sukar meramalkan sejauh mana kehadiran bekas Naib Presiden PKR itu mampu membantu meningkatkan semula imej dan sokongan rakyat kepada PKR kerana beliau sudah terlalu lama tidak aktif berpolitik selepas berehat beberapa tahun lalu.

Terdahulu, media melaporkan Farhash mencipta kejutan apabila mengesahkan menentang Amirudin merebut jawatan Ketua Cabang PKR Gombak, pada pemilihan parti April depan.

Selain itu, Farhash juga mahu menentang Ahli Parlimen kawasan itu, Mohamed Azmin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Farhash yang juga bekas setiausaha politik Anwar berkata, keputusannya mencabar Amirudin bukan bertujuan melenyapkan sebarang “kartel Azmin” atau mencerminkan prasangka terhadap Amirudin.

“Tak ada kartel (lagi) dalam PKR, kalau ada pun saki-baki orang yang mungkin bersama Azmin. Tapi saya tidak nampak Amirudin bersama Azmin, saya nampak dia jadi ‘party-man’ (orang parti),” katanya.

Mengulas lanjut, Farhash berkata, Menteri Besar Selangor itu juga tidak perlu mencurigai hasratnya untuk bertanding di Gombak pada pemilihan PKR.

“Saya tak nampak kenapa Menteri Besar harus takut atau pasukannya harus takut kerana mereka sudah buat kerja di situ bertahun-tahun dan saya ahli biasa,” katanya.

Farhash juga tidak melihat wujud konflik hasil tindakan itu, sebaliknya berpendapat ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

Pada pemilihan PKR 2018, Amirudin menang jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Gombak menewaskan pencabarnya Mohamed Nizam Md Saad dengan majoriti 1,115 undi.

Farhash mengesahkan meletak jawatan sebagai setiausaha politik kepada Anwar Disember tahun lalu.

Bagi menghadapi PRU15, Farhash berhasrat untuk menentang Azmin dan Hilman yang melompat daripada PKR untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Dalam kalangan pemimpin PKR melihat Azmin sebagai dalang utama yang mencetuskan perbalahan dalaman parti yang menyaksikan beliau dan sekumpulan Ahli Parlimen PKR lain menyertai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menumbangkan kerajaan PH.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Penyanyi Tersohor Negara Datuk Sheila Majid Sambut Menantu Sulung [VIDEO]

Doktor ‘cabut lari’ selepas pelanggan sukar buka rahang

Sanusi serang UMNO setiap hari

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker