Muafakat Nasional (MN): Terpulang kepada Pas

PETALING JAYA: Terpulang kepada Pas untuk menjalinkan kerjasama dengan sesiapa sahaja yang parti itu suka khususnya Perikatan Nasional (PN), namun tidak boleh memaksa UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan sesiapa yang mereka mahukan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Komunikasi BN, Datuk Isham Jalil berkata, soal itu termasuklah meletakkan syarat agar UMNO menyerahkan kerusi miliknya kepada Bersatu.

“Jika Pas ingin teruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), itu keputusan mereka dan kita tidak akan halang.



“Sebab jika kita terima dan bekerjasama dengan mereka (Bersatu), rakyat akan hukum kita pula dalam PRU15 sebagaimana rakyat telah menghukum pelompat-pelompat parti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini,” katanya.

Isham mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menjelaskan pihaknya menolak gagasan MN sekiranya hanya dibelenggu antara UMNO dan parti itu.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, semua pihak perlu menghormati pendirian Pas untuk menolak MN sekiranya pembentukan gagasan itu hanya di antara Pas dengan UMNO tanpa PN dan Bersatu.

Katanya, ia seperti mana pendirian UMNO yang menghormati keputusan Pas untuk bersama PN dan menolak BN dalam PRN Melaka baru-baru ini.



“UMNO dan BN ada cara tersendiri dalam membuat keputusan demi masa depan parti dan negara. Misalnya PRN Melaka, keputusannya adalah konsisten dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO dan Majlis Tertinggi yang dibuat pada sebelum ini,” jelas beliau.

Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, Pas wajar mengambil iktibar kekalahan dalam PRN Melaka kerana perkara itu berpunca akibat tindakan mereka yang menyebelahi Bersatu berbanding MN.

Katanya, tindakan berkenaan secara tidak langsung menyerlahkan wajah sebenar Pas kerana sanggup mengkhianati perjanjian MN sedangkan gagasan itu telah diwujudkan terlebih dahulu sebelum PN ditubuhkan.

“Tindakan itu mempengaruhi sokongan pengundi dan akar Pas terhadap sikap Pas yang sanggup mengkhianati MN. Ia menjadi titik tolak kesedaran rakyat terhadap Pas yang bermain banyak kolam yang akhirnya penyokong mereka sendiri menolak Bersatu dalam PRN Melaka baru-baru ini,” jelasnya.



Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, , piagam MN yang dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini adalah untuk membuka penyertaan MN kepada semua pihak yang memiliki visi sama, iaitu berkehendakkan kepada penyatuan ummah lebih besar.

“Kewujudannya sama sekali tidak mempunyai agenda untuk menyelamatkan UMNO atau menguatkan Pas. Sebaliknya MN merupakan muafakat untuk mengukuhkan kedudukan umat Islam,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menggesa kepemimpinan tertinggi UMNO dan Pas kembali ke meja rundingan untuk memperkasakan semula MN selari dengan kehendak akar umbi kedua-dua parti.

Beliau percaya jika perkara itu dapat dilakukan, tidak mustahil hasrat untuk menguburkan terus PH dalam PRU15 akan tercapai.



Beliau berkata, perkara itu jelas apabila akar umbi kedua-dua parti yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan dalam banyak pilihan raya kecil (PRK) ketika kedua-dua parti menjadi pembangkang dahulu. – UTUSAN ONLINE

Muafakat Nasional (MN): Terpulang kepada Pas


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Bila Ketua Pemuda PAS nak ajak Amanah sertai penyatuan ummah?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker