WHO isytihar darurat kesihatan antarabangsa

WHO isytihar darurat kesihatan antarabangsa

WHO isytihar darurat kesihatan antarabangsa
GAMBAR fail 2018 menunjukkan petugas kesihatan mengiringi seorang budak perempuan yang yang disyaki menghidap Ebola di sebuah pusat kesihatan di Beni, timur laut DRC. – AFP

KINSHASA – Lebih 80 orang terbunuh akibat wabak demam berdarah Ebola di Republik Demokratik Congo(DRC) dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan antarabangsa hari ini.

Sebanyak 88 kematian dan 336 kes disyaki penyakit sangat mudah berjangkit itu telah dilaporkan, demikian menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Afrika) dalam kemas kininya semalam.

WHO berpangkalan di Geneva berkata, wabak berpunca daripada virus Ebola jenis Bundibugyo itu merupakan ‘kecemasan kesihatan awam yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa’. Ia adalah amaran tahap kedua tertinggi di bawah peraturan kesihatan antarabangsa.

Menurut WHO, skala sebenar jumlah kes dan penyebaran masih tidak jelas tetapi belum sampai ke tahap pandemik, iaitu peringkat amaran tertinggi diperkenalkan pada 2024.

Kumpulan bantuan perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) berkata, pihaknya sedang menyediakan ‘tindak balas berskala besar’, menyifatkan penularan pantas wabak itu sebagai ‘amat membimbangkan’.

“Virus ini mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi,  mencecah 50 peratus,” kata Menteri Kesihatan DRC, Samuel-Roger Kamba.

Strain pertama kali dikenal pasti pada tahun 2000 itu turut membunuh seorang rakyat DRC  di negara jirannya,  Uganda.

Vaksin hanya tersedia untuk strain Zaire  yang dikenal pasti pada tahun 1976 dan mempunyai kadar kematian lebih tinggi iaitu 60 hingga 90 peratus.

Pihak berkuasa mengesahkan wabak terbaharu itu kelmarin  di wilayah Ituri,  timur laut DRC yang bersempadan dengan Uganda dan Sudan Selatan, demikian menurut CDC Afrika.

“Kami melihat  seorang demi seorang mati sejak dua minggu lalu.

“Tiada tempat untuk mengasingkan pesakit. Mereka mati di rumah dan mayat diuruskan  oleh ahli keluarga masing-masing,”  kata wakil masyarakat tempatan,  Isaac Nyakulinda kepada AFP melalui panggilan telefon.

Gejala penyakit tersebut termasuk demam, pendarahan dan muntah.

Ebola mengorbankan sekitar 15,000 orang di Benua Afrika sejak 50 tahun yang lalu.- AFP

WHO isytihar darurat kesihatan antarabangsa


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Gerak Solo, Tawaran BN Johor Kestabilan Politik Asli – Najib

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker