3 banduan lari dari PKRC diburu polis

3 banduan lari dari PKRC diburu polis

Tiga tahanan warga asing diburu polis selepas melarikan diri ketika dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Arena Belia, Tawau, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, tahanan terbabit dikatakan mengumpil kunci pagar sebelum memecahkan pintu tandas dan memanjat pagar pusat kuarantin terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas, berkata dua daripada mereka adalah warga Indonesia yang dikenali dengan nama Niko Matheus, 25, dan Hasyim Mubamada Syata, 34, manakala seorang lagi warga Filipina, Jimnajir Amnor, 23.

Katanya, polis melancarkan ‘Op Tutup dan Kesan’ di beberapa jalan utama sekitar daerah ini termasuk laluan laut bagi mengesan tahanan terbabit.

“Beberapa pasukan turut ditubuhkan untuk mengesan mereka membabitkan pelbagai jabatan iaitu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Narkotik untuk memburu mereka,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, dua suspek itu adalah banduan yang telah didakwa dan dihukum atas kesalahan jenayah termasuk Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen manakala seorang lagi masih dalam perbicaraan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (reman).

“Seramai 16 tahanan ditempatkan di PKRC untuk menjalani kuarantin selepas didapati positif Covid-19 sebelum dihantar ke penjara Tawau. Kita masih lagi berusaha mengesan mereka termasuk mendapatkan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-772 121 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. FMT

3 banduan lari dari PKRC diburu polis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sekolah tetap dibuka 3 Oktober – Radzi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker