Lagi pemandu bas buat hal, aksi memandu dalam keadaan tidak ‘stabil’ tular

Lagi pemandu bas buat hal, aksi memandu dalam keadaan tidak ‘stabil’ tular

Lagi pemandu bas buat hal, aksi memandu dalam keadaan tidak 'stabil' tular
Tangkap layar video tular pemandu bas dipercayai memandu dalam keadaan berbahaya dengan mengawal stereng hanya sebelah tangan.

ALOR GAJAH: Polis sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres yang disyaki memandu secara berbahaya selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar, berkata siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selepas video berdurasi 1 minit 20 saat tular jam 1.05 tengah hari tadi.

Beliau berkata, rakaman itu memaparkan pemandu bas ekspres terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang serta hanya menggunakan sebelah tangan untuk mengawal stereng ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.

“Siasatan awal dipercayai nombor pendaftaran bas itu adalah BSB 4999 dan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

“Lokasi kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 196.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, namun masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Agama Bukan Alat Untuk Raih Sokongan Politik Murahan – Shaiful Hazizy


Ahmad Abu berkata, perlakuan individu itu boleh menjejaskan kawalan kenderaan selain mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

“Polis meminta pemandu bas itu tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Alor Gajah bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011 25435507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, syarikat Billion Stars Express dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pemandu bas terbabit digantung tugas serta-merta susulan video tular yang mendakwa dia memandu dalam keadaan tidak stabil.

Menurutnya, pihak syarikat memandang serius insiden itu yang dikaitkan dengan bas bernombor BSB 4999 milik syarikat berkenaan.

“Pihak syarikat menerima aduan orang awam semalam, sebelum siasatan dalaman dijalankan serta-merta. Pemandu itu sudah diarahkan hadir ke pejabat bagi membantu siasatan serta menjalani ujian saringan keselamatan, namun didapati tidak memberikan kerjasama sepenuhnya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

UMNO Cawangan Perlu Jadi “Rumah Bangsa”, Dekat Dengan Isu Rakyat


“Sehubungan itu, pemandu terbabit digantung tugas serta-merta sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan syarikat dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.

“Pihak kami juga ingin memohon maaf atas sebarang kebimbangan yang timbul kepada penumpang dan orang awam.

“Kami komited untuk menambah baik prosedur operasi termasuk pemantauan lebih ketat dan latihan berterusan kepada semua pemandu,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, syarikat berkenaan memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk APAD dan JPJ bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin,” katanya.

Lagi pemandu bas buat hal, aksi memandu dalam keadaan tidak ‘stabil’ tular

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jangan Perlekeh Keadaan Semasa, Simpati Nasib Rakyat – Mohd Razlan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker