Jangan Perlekeh Keadaan Semasa, Simpati Nasib Rakyat – Mohd Razlan

Jangan Perlekeh Keadaan Semasa, Simpati Nasib Rakyat – Mohd Razlan

Jangan Perlekeh Keadaan Semasa, Simpati Nasib Rakyat – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 16 April – Ketika rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi, parti-parti politik diingatkan supaya tidak terus terjebak dalam percaturan kuasa yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, menegaskan bahawa keadaan semasa menuntut semua pihak memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat, bukannya mencetuskan perebutan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Beliau berkata, cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk meletakkan calon di beberapa kerusi termasuk Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan disifatkan sebagai tindakan yang tidak sensitif terhadap realiti yang sedang dihadapi rakyat.

“Di saat rakyat sedang sesak nafas memikirkan kos sara hidup, janganlah ada pihak yang terus ghairah berpolitik demi kelangsungan ego sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, rakyat ketika ini memerlukan pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi mereka, terutama ketika ramai sedang berdepan peningkatan harga barang, kos kehidupan yang semakin tinggi dan ketidaktentuan ekonomi.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

UMNO Cawangan Perlu Jadi “Rumah Bangsa”, Dekat Dengan Isu Rakyat


Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata, sebarang usaha untuk mencetuskan pertembungan sesama rakan gabungan hanya akan menambah keresahan rakyat dan menjejaskan keyakinan terhadap kerajaan.

“Jangan perlekeh keadaan semasa. Rakyat hari ini tidak mahu melihat politik dijadikan gelanggang berebut pengaruh, sedangkan mereka sedang bertarung untuk meneruskan kehidupan setiap hari,” katanya.

Beliau menambah, parti-parti dalam kerajaan sepatutnya mengutamakan perpaduan dan bekerjasama mencari jalan terbaik bagi membantu Perdana Menteri memulihkan ekonomi serta memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan keperluan untuk bertanding di kawasan yang sudah mempunyai wakil sedia ada, sedangkan masih banyak lagi kawasan lain yang boleh diberi perhatian.

“Titiwangsa bukan medan eksperimen politik atau tempat untuk membuktikan siapa lebih kuat. Rakyat mahukan pembela yang konsisten, bukan mereka yang hanya muncul apabila bahang pilihan raya mula terasa,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerusi Parlimen bukanlah hadiah yang boleh dituntut sesuka hati, sebaliknya merupakan amanah besar yang menuntut komitmen, kerja keras dan keikhlasan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Aplikasi Persidangan Cawangan Untuk Raih Kembali Ahli Ke Rumah Bangsa – Tengku Adnan


Katanya, rakyat di Putrajaya dan Labuan mahukan wakil yang sanggup turun padang, mendengar masalah penduduk dan berusaha menyelesaikan isu setempat, bukannya sekadar tampil dengan retorik politik.

“Rakyat sudah muak dengan skrip lama yang hanya muncul setiap lima tahun sekali. Mereka mahukan wakil yang benar-benar simpati terhadap nasib rakyat dan sanggup berkhidmat tanpa mengira musim politik,” katanya.

Beliau berkata, alasan bahawa sesebuah parti perlu diberikan lebih banyak kerusi kerana parti lain sudah mempunyai banyak kerusi adalah hujah yang tidak wajar.

“Ini bukan soal membahagikan harta atau kuasa. Ini soal mandat rakyat. Sokongan rakyat tidak boleh dipaksa dan tidak boleh dibina atas konflik sesama sendiri,” katanya.

Mohd Razlan juga menyeru semua pihak supaya lebih peka terhadap kesusahan rakyat dan tidak terus memperlekeh keadaan semasa.

“Bersimpatilah dengan nasib rakyat. Politik sepatutnya menjadi wadah untuk berkhidmat, bukan alat untuk berebut pengaruh,” katanya lagi. – UMNO Online

Jangan Perlekeh Keadaan Semasa, Simpati Nasib Rakyat – Mohd Razlan

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Agama Bukan Alat Untuk Raih Sokongan Politik Murahan – Shaiful Hazizy

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker