Kit Siang kepada Ismail, anda lulus ‘ujian pertama’, kini ada ‘ujian kedua’

Kit Siang kepada Ismail, anda lulus ‘ujian pertama’, kini ada ‘ujian kedua’

Hantaran Twitter Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan bahawa “tiada siapa yang terkecuali daripada garis undang-undang” susulan kematian pengawal keselamatan di Ipoh mendapat pujian veteran DAP Lim Kit Siang.

Katanya, bagaimanapun Ismail berdepan dengan “ujian kedua” selepas Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang akhir tahun ini.

Lim berkata kenyataan Ismail itu memberi keyakinan bahawa beliau akan menegakkan kedaulatan undang-undang dan prinsip tadbir urus yang baik selain menyifatkan ia memberi prospek cerah untuk mengadakan perjanjian kepercayaan dan perbekalan antara kerajaan dan pembangkang.

“Saya sedih dan terkejut dengan musibah yang melanda ini. Tiada siapa terkecuali daripada garis undang-undang. Keadilan harus ditegakkan. Terima kasih YB atas keprihatinan anda,” tulis Ismail di Twitter.

Lim berkata ia adalah hantaran balas kepada Ahli Parlimen Ipoh Barat daripada DAP, M Kula Segaran yang berterima kasih atas keprihatinan beliau mengenai kematian pengawal keselamatan S Thava Sagayam yang diserang di sebuah kondominium di Ipoh, Disember lalu.

“Saya telah berkata bahawa kes Thava akan menjadi ujian terhadap komitmen perdana menteri baharu dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan pengakhiran kepada ‘double standard’ (dua darjat) di negara ini. Jika Ismail mengikut apa yang dikatakan dalam hantaran itu, beliau akan lulus ujian ini.”

Thava diserang oleh seorang penyewa sebuah kondominium selepas dikatakan cuba menghalang penyewa terbabit membenarkan anaknya mandi di kolam renang kerana ia melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pengawal keselamatan itu dilaporkan meninggal dunia minggu lalu, kira-kira lapan bulan selepas terlantar sakit akibat kejadian terbabit.

Mengenai keputusan Undi18, Lim menggesa kerajaan tidak membuat rayuan memandangkan Ismail bersama 10 menteri dan empat timbalan menteri dalam barisan Jemaah Menterinya yang baharu telah mengundi pada 16 Jun 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.

“Sudah tentu, kita tidak boleh mempunyai situasi di mana perdana menteri, menteri dan timbalan menteri boleh mengatakan sesuatu di Parlimen dua tahun lalu ketika berada dalam pembangkang dan lupa mengenai undang-undang sama yang diundi mereka ketika berada dalam kerajaan.”

Lim mengingatkan Ismail bahawa dia adalah ketua pembangkang dalam sesi perbahasan ketika itu dan telah menyokong perubahan dalam ucapannya dan kini kerajaan harus berpegang terhadap apa yang dikatakan.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata sekiranya SPR tidak boleh melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik selepas 30 bulan, ia perlu melantik seorang pengerusi baharu yang lebih cekap dan mahir menggunakan teknologi maklumat. FMT

Kit Siang kepada Ismail, anda lulus ‘ujian pertama’, kini ada ‘ujian kedua’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Dr Sandra : Hang tak tau pikat isteri hang, mai i ajar

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker