Warga emas diserang di tapak glamping, penyerang ditahan

Seorang wanita warga emas di Melaka yang dilaporkan mengadu mengenai pihak dari tapak perkhemahan glamping yang membakar sampah diserang oleh seorang pemuda yang mempunyai kaitan dengan pemilik tapak tersebut.

Serangan itu dirakam CCTV, dan menjadi tular selepas cucu warga emas itu menyiarkannya di media sosial.

Polis telah menahan penyerang yang mempunyai kaitan dengan pemilik tapak perkhemahan The Baruh Glamping.



Dalam video itu, lelaki berusia 26 tahun yang tidak dinamakan, dilihat meluru ke arah wanita berusia 76 tahun itu, merampas kayu daripadanya, dan memukulnya beberapa kali sehingga terjatuh.

Warga emas itu, yang mempunyai nama keluarga Tan, kemudiannya membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Tan mengenal pasti penyerangnya sebagai anak kepada pemilik The Baruh Glamping. Polis secara berasingan mengenal pasti lelaki itu sebagai cucu kepada pemilik tapak.

Dalam satu kenyataan, polis mengenal pasti lelaki berusia 26 tahun itu sebagai cucu kepada pemilik tapak perkhemahan berkenaan, manakala laporan polis yang difailkan mangsa menyatakan pemuda itu adalah anak kepada pemilik tapak.



Polis berkata, wanita warga emas itu turut mengalami kecederaan tisu lembut akibat serangan berkenaan.

Tan dan The Baruh Glamping menduduki lot yang berdekatan di Tanjung Kling, Melaka.

Menurut salinan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, serta cucu perempuan Tan – yang hanya mahu dikenali dengan nama keluarganya Tai – terdapat pertikaian antara warga emas itu dan The Baruh Glamping berhubung dakwaan pembakaran terbuka oleh pihak dari tapak perkhemahan berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Tai mendakwa bahawa pihak dari tapak perkhemahan tersebut telah membakar sampah secara terbuka sepanjang tahun.



Dia berkata bahawa neneknya menghidap kanser dan tidak sihat, dan asap yang disebabkan oleh sampah jiran yang terbakar secara terbuka akan memudaratkan kesihatannya.

Dia berkata pada mulanya, mereka cuba berkomunikasi dengan jiran mereka, dan juga cuba melaporkannya kepada polis dan Jabatan Alam Sekitar, tetapi jiran mereka terus membakar sampah.

Tai berkata, walaupun Jabatan Alam Sekitar dilaporkan telah mengeluarkan surat amaran kepada tapak perkhemahan itu, ia tidak membawa perubahan besar.

Sebaliknya, dia mendakwa bahawa pihak tapak perkhemahan itu telah meningkatkan aktiviti membakar sampah dari dua kali seminggu pada awalnya kepada membakar sampah hampir setiap hari.



“Kami cakap baik-baik pada awalnya dan mahu menyelesaikannya dengan cara yang lebih beradab, dan kami telah bersabar.

“Biasanya kami juga akan menasihati nenek supaya tidak memarahi mereka dan memberitahunya supaya tidak keluar sendiri.

“Tetapi semalam kami tiada di rumah, dan asap yang dibakar mereka bertiup ke dalam rumah. Sebab itu nenek pergi bersemuka dengan mereka dan menyuruh mereka berhenti membakar sampah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Christopher Patit dalam satu kenyataan hari ini berkata, serangan itu bermula selepas Tan bersemuka dengan pemilik tapak perkhemahan berkenaan.



The Baruh Glamping, bagaimanapun, mempertikaikan dakwaan Tai dan Tan.

Dalam satu hantaran media sosial pagi ini, ia menuduh wanita warga emas itu menyerang seorang wanita berusia 70 tahun yang bekerja untuk mereka.

The Baruh Glamping berkata mereka hanya mempertahankan diri dan bertindak menghalau warga emas itu serta merampas kayunya bagi mengelakkannya daripada mendatangkan lebih banyak bahaya.

Hantaran itu tidak mengulas mengenai dakwaan pembakaran terbuka.



Sebaliknya, The Baruh Glamping berkata bahawa sampah domestik mereka dikutip oleh majlis tempatan setiap hari.

The Baruh Glamping juga berkata mereka mahu memastikan tapak perkhemahan mereka bersih bagi memastikan tiada ular atau haiwan liar untuk keselamatan bersama.

“Sebaliknya kami dituduh membuang sampah,” keluh mereka.

Ketika dihubungi, The Baruh Glamping memberitahu Malaysiakini melalui mesej teks bahawa mereka juga telah membuat laporan polis dan akan menyerahkan perkara itu kepada polis.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Senarai 71 aset Daim yang tidak disytihar

Video lucah ‘Dark Side’ Malaysia serendah RM35

Uqasha ditinggalkan sendirian ketika hamil

Gol Faisal Halim dipertimbangkan untuk merebut Anugerah Puskas FIFA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker