Pihak bermasalah tidak perlu ajak orang lain sertai mereka – MB Kelantan

Pas sekali lagi mengulangi pendirian bahawa agenda Gagasan Sejahtera dan Penyatuan Ummah adalah lebih baik daripada bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihak yang bermasalah seperti PH tidak perlu mengajak Pas menyertai mereka kerana kedua-dua agenda yang diperjuang sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) itu adalah lebih hebat dan dirangka untuk rakyat.

Beliau berkata, apa yang Pas dan rakan sekutunya tawarkan untuk rakyat adalah sesuai dengan suasana kini dan lanskap politik selepas PRU-14.

“Gagasan Sejahtera kita lebih hebat, lebih baik daripada PH yang kita lihat sudah pun bermasalah, jadi (kalau) perkara bermasalah nak pelawa (kita) masuk jadi tak payahlah.



“Kita ada Gagasan Sejahtera, kita ada kesatuan ummah, kita ada program sesuai yang kita rangka yang sesuai untuk rakyat dan parti lain, kita yakin apa yang kita ada adalah lebih baik walaupun dia (PH) yang memerintah,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Ahmad diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa dalam satu wawancara yang mempelawa Pas menyertai kerajaan PH.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru parti-parti Melayu menyertai Bersatu.



Sementara itu, ketika diminta mengulas kritikan Husam yang mendakwa kerjasama Pas dan UMNO perkara sia-sia, Ahmad berkata, apa yang nyata adalah PH sendiri yang tidak stabil.

“Nak kata sia-sia itu soal dia tapi kita ada program dan perancangan yang sesuai mengikut keadaan semasa.

“Apa yang berlaku hari ini, kita lihat PH sudah menampakkan bahawa tidak ada kestabilan dalam PH sendiri, insya Allah Gagasan Sejahtera adalah lebih baik,” katanya. UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker