Imbauan: 10 tinta politik tumpuan 2023

PETALING JAYA: PRN enam negeri, kes mahkamah melibatkan ahli politik ternama, pemergian menteri, dan penukaran sokongan Ahli Parlimen pembangkang antara kejadian terpahat sepanjang 2023.

Berikut 10 tinta politik mencuri tumpuan.

‘Pembersihan’ Umno



Umno mengenakan tindakan terhadap ahlinya yang dikenali pada Januari kerana berselisih pendapat dengan pimpinan tertinggi.

Susulan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Setiausaha Umno ketika itu Ahmad Maslan mengumumkan penggantungan bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan, Maulizan Bujang, dan Salim Sharif selama enam tahun.

Dua lagi pemimpin utama dalam Umno, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen tiga penggal di Rembau, dan Ketua Umno Selangor, Noh Omar, pula dipecat kerana melanggar disiplin parti ketika PRU November 2022.

Keahlian Khairy juga dipersoal selepas dakwaannya berkait “delegasi luar” dibawa masuk untuk memanipulasi pengundian pada Perhimpunan Agung Umno, yang menyaksikan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan.



Beberapa lagi ahli Umno disingkirkan kerana bertanding sebagai calon bebas pada PRU15 atau mewakili parti lain, termasuk membantu parti lawan.

Mahathir keluar Pejuang, bantu PN

Pada 10 Feb, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang mengasaskan Pejuang pada 2020 mengumumkan keluar parti kerana perbezaan aspirasi.

Menjelaskan langkah meninggalkan parti bersama 12 lain, beliau berkata Pejuang telah menyimpang dengan objektif asal sejak penubuhannya.



Beliau merujuk tindakan Pejuang menolak nasihatnya menyertai gabungan Gerakan Tanah Air, yang mana dipengerusikannya sebagai tanda menolak dirinya.

Selepas keluar Pejuang, Mahathir dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pembangkang di Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis.

Sanusi didakwa menghasut

Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor ketika berceramah pada kempen PRN di Selangor didakwa mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor berkait pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar, pada 11 Julai di Gombak.



Susulan itu, Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis terhadap menteri besar Kedah itu, sehingga membawa kepada penahanan dan tuduhan menghasut pada 18 Julai. Perbicaraan dijadual berlangsung pada 18 Jan.

Kematian Salahuddin Ayub

Pemergian Salahuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup mengejutkan negara selepas pelopor program Rahmah kerajaan perpaduan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, selepas jatuh sakit pada 21 Julai.

Allahyarham turut menjalani pembedahan akibat pendarahan otak, namun meninggal dunia. Kematian Salahuddin diumumkan anak perempuannya di Facebook, pada 23 Julai. Salahuddin berusia 61 tahun.



PRN enam negeri

PRN enam negeri berlangsung pada 12 Ogos selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, dan Pulau Pinang, antara 22 Jun dan 1 Julai.

Pilihan raya itu dilihat sebagai medan ujian antara dua blok terbesar: kerajaan perpaduan melibatkan dua gabungan – PH dan BN – menentang Perikatan Nasional (PN), merangkumi PAS, Bersatu, dan Gerakan.

PRN berkenaan sememangnya dinanti bagi melihat sejauh mana keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan yang dibentuk penghujung 2022. Bagaimanapun, kedua-dua gabungan berseteru itu kekal mempertahankan negeri masing-masing apabila kerajaan perpaduan menang di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, manakala PN di Kelantan, Terengganu, dan Kedah.



Secara perbandingan, parti kerajaan perpaduan hanya menang lima kerusi di Kelantan dan Kedah, namun tewas sepenuhnya di Terengganu, sekali gus menyaksikan kerajaan negeri itu memerintah tanpa kehadiran pembangkang.

Zahid lepas tanpa bebas

2023 turut menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan berhubung pertuduhan rasuah.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi mengarahkan Zahid membela diri terhadap semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang melibatkan jutaan ringgit Yayasan Akalbudi, selain didakwa menerima habuan daripada pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Sepanjang 77 hari perbicaraan, 114 saksi dipanggil memberi keterangan. Pada 4 Sept, Zahid dilepas tanpa bebas semua 47 pertuduhan dikenakan.

Syed Saddiq disabit bersalah

Pada 9 Nov, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan denda RM10 juta selepas didapati bersalah bersubahat dalam pecah amanah jenayah, penyelewengan aset, dan pengubahan wang.

Ahli Parlimen Muar itu juga dikenakan tiga tahun penjara dan dirotan sekali bagi tuduhan pecah amanah jenayah, manakala dua tahun bagi dan satu sebatan bagi penyelewengan aset milik Pemuda Bersatu, menjadikan beliau wakil rakyat pertama diarah disebat bagi jenayah kolar putih di bawah Kanun Keseksaan.

Kedua-dua hukuman diarah berjalan serentak, menjadikan beliau dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. Hakim Mahkamah Tinggi turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun setiap satu bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram, dan denda RM5 juta setiap satu.

Bagaimanapun, Syed Saddiq diberikan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan. Beliau juga

Lima Ahli Parlimen Bersatu sokong Anwar Ibrahim

Debat berkait dana pembangunan diagih sama rata antara isu hangat ditimbulkan pembangkang dengan perdana menteri komited memberi peruntukan itu kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Justeru, lima Ahli Parlimen pembangkang dari Bersatu bertindak menyokong Anwar dan kerajaan perpaduan, namun masih setia bersama PN, sambil mereka menegaskan kepentingan membela kebajikan rakyat di kawasan diwakili.

Pertama menyatakan sokongan adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, pada 12 Okt. Disusuli Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim, masing-masing pada 30 Okt dan 7 Nov.

Kemudian, dua lagi Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik, pada 8 Nov and Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, 28 Nov. Suhaili dan Iskandar Dzulkarnain bagaimanapun digantung Bersatu masing-masing enam dan empat tahun.

‘Pusingan U’ Muhyiddin

Spekulasi penukaran pucuk pimpinan Bersatu dari Muhyiddin Yassin kepada Setiausaha Agung Hamzah Zainudin membawa kepada pengumuman presiden Bersatu pada 24 Nov, yang enggan bertanding mempertahankan jawatan disandang.

Pengumuman pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu itu mengejutkan sambil perwakilan hadir menolak keputusannya. Sentimen penolakan berkenaan dipanjangkan dalam perbahasan 20 perwakilan.

Sehari selepas itu, bekas perdana menteri tersebut menarik balik keputusannya sambil menyatakan sebagai menghormati permintaan isterinya untuk kekal sepenggal lagi.

Rombakan Jemaah Menteri

Cakap-cakap rombakan Jemaah Menteri sepanjang tahun lalu akhirnya berlaku pada 12 Dis menyaksikan 31 menteri dan 29 timbalan menteri dilantik, sedikit bertambah berbanding pembentukan Jemaah Menteri awal iaitu 28 menteri dan 27 timbalan menteri.

Dua portfolio kementerian dipecah dengan Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai menteri kewangan II. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dipecah kepada dua – Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam diterajui Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam diketuai Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kementerian Komunikasi dan Digital dipecahkan dengan Kementerian Komunikasi diketuai Fahmi Fadzil, sementara Kementerian Digital ditunjangi Gobind Singh Deo. Selain itu, Dzulkefly Ahmad kembali menerajui Kementerian Kesihatan, mengambil alih jawatan Dr Zaliha Mustafa, sambil Johari Ghani dilantik menteri perladangan dan komoditi.

V Sivakumar menjadi satu-satunya menteri digugurkan daripada menteri sumber manusia, manakala Ramkarpal Singh tidak lagi dilantik sebagai timbalan menteri bagi portfolio undang-undang dan reformasi institusi.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

“Awak berhijab tapi berpakaian seolah terlanjang”

Senarai artis bercerai 2023

Pusinglah selagi boleh pusing, jumpa di mahkamah

Rita Rudaini mengamuk dituduh perampas

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker