Penduduk Gaza tolak pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin

Penduduk Gaza tolak pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin

Penduduk Gaza tidak mahu wilayah itu diambil alih Pihak Berkuasa Palestin (PA) seperti dicadangkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Seorang penduduk, Mohamed, 25, berkata dia tidak fikir pengambilalihan Gaza oleh PA akan menjadi satu penyelesaian selepas melihat apa yang berlaku di Tebing Barat.



“Saya menolaknya kerana saya dapat melihat apa berlaku di Tebing Barat yang berada di bawah kawalan PA. Selalu ada serbuan di banyak bandar dan orang ramai sering ditahan di kawasan ini yang dianggap berada di bawah pemerintahan PA.

“Mereka tidak mengubah apa-apa, inilah sebab mengapa pemerintahannya tidak akan menguntungkan Gaza dalam apa cara sekalipun. Saya mahu terus dengan kerajaan perpaduan nasional (termasuk Hamas, Fatah dan puak Palestin yang lain),” katanya seperti dilaporkan Al-Jazeera.

Kelmarin, Abbas, menggesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan memaklumkan bahawa PA bersedia kembali ke enklaf yang dikepung sebagai sebahagian daripada penyelesaian politik masa depan.

Abbas berkata, pihaknya akan memikul sepenuhnya tanggungjawab dalam rangka penyelesaian politik komprehensif yang merangkumi Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza.



Abbas berkata demikian kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken seperti dilaporkan agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Dalam pada itu, reaksi yang sama diutarakan oleh Kamal, 53, yang memaklumkan bahawa PA tidak akan melindungi Gaza kerana sering mengambil bahagian dalam pengepungan wilayah itu serta menindas penduduk Gaza kerana berselisih pendapat dengan Hamas.

“Kami tidak percaya ia boleh berlaku adil di Gaza. Presiden dalam ucapannya sentiasa bercakap mengenai Gaza dan tanggungjawab terhadapnya, tetapi dia tidak melakukan apa yang dia katakan.

“Buktinya ialah kepungan dan letupan yang berlaku di Gaza. Jika PA itu baik untuk Tebing Barat, ia mungkin bagus di Gaza.



“Tetapi kita dapat melihat bahawa pengembalian PA adalah mustahil. Ia hanya boleh datang sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan nasional yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Somaia, 25, berkata Tebing Barat sudah cukup menjadi contoh bagaimana kehidupan rakyat Palestin di bawah pemerintahan PA.

“Pendudukan Israel mempunyai kuku besi yang menyerang hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki. Satu-satunya penyelesaian atau sebarang langkah seterusnya yang perlu dibincangkan sekarang harus mengutamakan cara bagaimana merungkai pendudukan dan pemerintahan tentera di seluruh wilayah yang diduduki.

“Itu akan membantu sesiapa yang mengendalikan Gaza dari kalangan puak Palestin bagi melakukan yang terbaik kepada rakyat dan untuk rakyat sahaja,” katanya.



Bagi Abu Hakeem, 45, sama ada PA mampu mengambil alih kuasa dua juta rakyat di wilayah itu kini bukan lagi keutamaan rakyat.

“Apa yang sedang dibincangkan oleh AS dan PA sekarang, walau apa pun, tidak cukup untuk menjamin keselamatan keluarga saya atau ribuan orang lain yang kini berada di Gaza di bawah serangan pesawat pejuang Israel,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata Israel akan mentadbir keselamatan Semenanjung Gaza untuk satu tempoh yang tidak ditentukan selepas perang yang berterusan.

Ia sebagai reaksi yang datang di tengah-tengah perdebatan yang semakin meningkat mengenai keadaan wilayah yang dikepung itu selepas perang.



Israel dan sekutu terbesarnya, Amerika Syarikat menegaskan bahawa Hamas yang kini berkuasa di Gaza tidak dibenarkan untuk terus memerintah semenanjung itu, berikutan serangannya ke atas Israel selatan pada 7 Oktober yang mana dianggarkan 1,400 orang terbunuh. BH

Penduduk Gaza tolak pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Boikot syarikat pro Israel di Malaysia sehingga mereka lakukan ini

Janna tanya Ruhainies datang majlis nak menyondol ke?

Irene dedah status hubungan dengan Syamsul Yusof

Cikgu Siva buat kolam Deepavali bendera Palestin (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker