Naimi berani demi bakat

Naimi berani demi bakat

Kisah pemain dram, iaitu remaja perempuan berusia 17 tahun yang beraksi bersama band ikonik, Search, pada Nusa Fest 2023 di Bandar Malaysia, awal bulan lalu, pantas viral.

Tiba-tiba, Naimi Daini, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menjadi sebutan gara-gara skil hebat ditunjukkan gadis ini. Malah, ada yang menyamakan kehandalan Naimi mengetuk dram persis pukulan Allahyarham Yazit ketika bersama Search.



Tidak hairanlah, aksi sulung Naimi atau nama sebenar, Hanifah Naimi Daini di pentas Nusa Fest 2023 memukau vokalis Search, Datuk Amy.

Sebelum sesi fotografi eksklusif B*POP bersama Naimi berlangsung di Studio MK milik gitaris, Man Kidal di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini, remaja itu turut mempersembahkan skil bermain dram secara spontan.

Pada pertemuan lebih dua jam itu, Naimi berkongsi kisah bagaimana dirinya ‘disunting’ Search yang dianggap band legenda, untuk beraksi di pentas Nusa Fest.

Kisah bermula apabila bakat gadis ini dikesan gitaris Search, Hillary Ang yang menonton video di saluran YouTube milik Naimi, yang dibangunkan sejak dua tahun lalu.



“Uncle Hillary hubungi melalui mesej. Beliau bertanya sama ada mahu bermain dengan Search atau tidak. Saya masih ingat, ketika itu, saya baru pulang dari sekolah. Saya terus tanya ayah dan beliau izinkan.

“Uncle Hillary kemudian suruh saya datang uji bakat. Saya mainkan dua lagu iaitu single kegemaran saya, Pelesit Kota dan Diari Habil & Qabil.

“Uji bakat itu dilakukan Ramadan lalu. Kumpulan Search berpuas hati melihat saya bermain dan terima saya sebagai ‘sessionist’.

“Secara jujur, sebelum ini, saya tidak pernah dengar lagu-lagu Search. Tetapi, saya belajar dan bersyukur mereka suka pukulan dram saya.



“Saya sangat bersyukur kehadiran saya mendapat maklum balas positif. Tetapi, masih banyak perkara yang saya perlu belajar,” katanya.

Selepas menjayakan Nusa Fest 2023, Naimi tampil di pentas Konsert Fantasia Bulan Salju di Arena of Stars (AOS), Genting Highlands, pada 12 Ogos lalu. Ini disusuli Konsert Hausboom Music 2023 yang bakal menghangatkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selama dua hari, pada 9 September lalu.

Bersama Search yang dianggotai Amy, Nasir Daud yang bermain bes dan Hillary serta Man Kidal masing-masing bermain gitar, kehadiran Naimi mengisi kekosongan posisi pemain dram selepas Yazit meninggal dunia pada 26 September 2019.

Mendekati remaja ini, Naimi tidak menafikan cabaran besar menanti, namun, dia mahu membuktikan wanita mampu bermain dram dengan baik, biarpun terpaksa menongkah arus dalam dunia dram yang dikuasai lelaki.



“Kalau hendak setaraf dengan pemain dram lelaki, mungkin tidak boleh. Tenaga perempuan berbeza berbanding lelaki.

“Namun, bagi saya, kita kena terus berlatih. Apabila kita tidak putus berlatih, kita boleh jadi sebaik mereka atau mungkin lebih baik.

“Saya juga tidak nafikan ada yang membandingkan cara saya bermain dram dengan lelaki. Tetapi saya tidak hiraukan dan ambil perkara positif.

“Saya mahu buktikan bukan lelaki sahaja boleh bermain dram, sebaliknya, perempuan. Dari situ, saya mahu tarik lebih ramai perempuan untuk memberanikan diri bermain dram,” katanya.



Naimi berkata, minat bermain dram diasah sejak berusia sembilan tahun.

“Saya masuk kelas belajar bermain dram. Kalau ditanya kenapa pilih alat muzik ini, saya sukakan ‘vibes’ dram.

“Saya pernah belajar bermain gitar, namun, jiwa saya lebih kepada dram. Lebih-lebih lagi, apabila saya berjaya main lagu susah, ia beri kepuasan.

“Alhamdulillah, ibu bapa saya sangat menyokong. Mereka selalu bimbing dan beri motivasi. Merekalah yang membuatkan saya terus bersemangat memilih haluan ini,” katanya.



Berkongsi perancangan masa depan, Naimi berkata, sebaik selesai menduduki SPM, dia berhasrat menyambung pengajian dalam jurusan muzik.

Bagaimanapun, akui Naimi, sebagai pelajar, tidak mudah untuk dirinya membahagikan masa, apatah lagi perlu berlatih bersama anggota Search hampir setiap hari.

“Saya ada jadual, sebelah pagi saya fokus dengan pembelajaran di sekolah dan kelas tambahan. Selepas pulang dari sekolah, saya berehat selama sejam sebelum berlatih dengan Search.

“Selepas itu, saya pulang ke rumah dan siapkan kerja sekolah,” katanya.

Naimi berterima kasih kepada ibu bapanya yang banyak membantu menguruskan keperluan dan rutin hariannya.

“Merekalah yang menjaga saya termasuk dalam aspek pemakanan dan waktu tidur… Semuanya dijaga. Kalau bukan mereka, saya tidak tahu apa yang jadi kepada saya,” katanya.

Naimi berkata, apabila tiba masanya, dia mahu menubuhkan kumpulan muzik sendiri.

“Saya ada impian menubuhkan kumpulan sendiri. Saya juga mahu terus hasilkan lagu ‘cover’ untuk dikongsi bersama pendengar,

“Saya bukan hendak kejar populariti, sebaliknya, saya hanya minat bermain dram,” katanya mengakhiri perbualan.

Menjadikan pemain dram terkenal, Matt McGuire sebagai idola. Pada Nusa Fest 2023, Naimi memainkan lagu Search iaitu Diari Habil & Qabil, Gothik Malam Edan, Isi Atau Kulit, Cakap Memang Murah, Paranoid, Pelesit Kota, Pawana serta medley Rozana dan Isabella.

Ambil masa sebulan untuk mempelajari dan memahami struktur muzik 22 lagu Search. BH

Naimi berani demi bakat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Pelakon janda sondol suami orang

Allah nak tarik nikmat balik kejap saja – Syafiq Amzah

Ruhainies ditegur pakai seksi nampak lurah

Nur Nilam dedah video intim Azlan Komeng

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker