Ketidakpuasan hati antara PAS dan Bersatu

Ketidakpuasan hati antara PAS dan Bersatu

oleh Mohsin Abdullah

Semasa Asri Muda memimpin PAS, beliau secara ideologinya membawa partinya ke arah sebuah parti nasionalisme kanan yang memberi perhatian pada perlindungaan atau pembelaan hak serta kemajuan Melayu. Seakan ideologi Umno bunyinya.



Apabila golongan ulama yang mendapat inspirasi Revolusi Iran mengambil alih PAS pada 1982, parti itu menolak nasionalisme anjuran Umno dan Asri malah melihat ia sebagai falsafah ‘sempit dan jahil’ yang bertentangan dengan konsep ummah.

Setahun sebelumnya, Abdul Hadi Awang, yang waktu itu pemimpin pelapis yang sedang mengukir nama di pentas politik tanah air berkata “kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno… Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah”. Itu petikan ucapan Hadi pada satu ceramah di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terenggnau pada 7 April 1981. Ucapan itu kemudian dikenali sebagai Amanat Hadi.

Umno dianggap atau menganggap dirinya parti nasionalisme. Menurut perlembangaannya, Umno parti politik yang berjuang dan mendukung cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, Bumiputera, anak Sabah dan Sarawak, serta perpaduan Malaysia dan memperjuangkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Boleh dikata hampir semua itu ditolak PAS.

Hadi sekarang presiden PAS. Beliau dan partinya tetap mendakwa berjuang demi Islam. Malah orang kuatnya Nassuruddin Daud tempoh hari menyamakan perjuangan PAS dengan perjuangan Islam. Yang ingin ditanya ialah bagaimana PAS melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia? Atau apa pandangan PAS mengenai falsafah politik rakan kongsi PAS dalam Perikatan Nasional.



Boleh dikatakan idea penubuhan PN dicetus oleh Bersatu. Pertanyaan ini diaju kerana Bersatu punyai matlamat sama dengan Umno. Kalau tidak sama pun, seakan sama.

Matlamat perjuangan Bersatu antaranya ialah menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan menhormati hak orang bukan Islam menganut dan mengamal agama masing-masing. Ia juga menjunjung kedaulatan institusi raja-raja Melayu. Bersatu juga mengaku mempertahankan hak istimewa orang Melayu serta anak Sabah dan Sarawak, di samping memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bukankah itu sama dengan dasar perjuangan Umno?

Bersatu seperti Umno ialah parti nasionalis. Asal Bersatu pun Umno iya tak? Ditanya sekali lagi – apa pandangan PAS mengenai falsafah Bersatu? Jika PAS tidak boleh terima Umno kerana falsafahnya, mengapa boleh terima Bersatu yang punyai falsafah yang sama dengan Umno?

Imbau sejarah PAS sebenarnya pernah menerima Umno. Ia menyertai BN pada 1973 antaranya kerana “perpaduan Melayu amat penting” terutama setelah tercetusnya rusuhan kaum 1969. Berikutan kekalahan BN pada PRU 2018 pula, PAS menjalin kerjasama dengan Umno dengan penubuhan Muafakat Nasional pada 2019. Ini pun atas nama perpaduan ummah (baca: Melayu). Pun begitu kerjasama tidak bertahan lama. Namun hakikatnya pada 1973 dan 2019, PAS bertindak seperti nasionalis.



Yang jelas semuanya ialah kerana kelangsungan politik. Dalam konteks kerjasama PAS–Bersatu masa kini, PAS lah yang berada di atas ‘singgahsana’. Gelombang Hijau pada PRU 15 November lalu dilihat kejayaan PAS. Begitu juga kemenangan PRN tempoh hari di Kedah, Terengganu, dan Kelantan serta banyak kawasan di negeri yang ditadbir Pakatan Harapan adalah kemenangan PAS bukan Bersatu. Ini realiti.

Malah ada pemerhati politik percaya the power behind the throne dalam PN ialah Hadi, bukan Muhyiddin Yassin. Wallahualam.

Baru-baru ini ada kekecohan mengenai pelantikan exco di negeri yang diperintah PN berikutan keputusan PRN 12 Ogos lalu. Diberitakan Bersatu tidak puas hati, mendakwa ia dapat the short end of the stick. Walaupun menang lebih banyak kerusi kali ini, Bersatu diberi hanya satu jawatan exco di Kelantan dan satu di Terengganu. Di Kedah, jawatan exco untuk Bersatu dikurangkan daripada lima kepada tiga.

Kata Bersatu Kedah isu tidak puas hati ‘selesai’ kerana majlis angkat sumpah sudah pun berlangsung dengan baik. Bagi saya, apa yang boleh Bersatu kata selain itu? Dalam lain perkataaan, kenalah puas hati… bising pun tak akan ubah apa-apa.



Saya setuju dengan pendapat pemerhati politik bahawa satu faktor yang mungkin jadi penyebab Bersatu diberi jawatan exco berkurangan di tiga negeri yang diperintah PN ialah PAS menang cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri dengan sendiri. On its own tanpa bantuan Bersatu. Lihat keputusan Kelantan dan Terengganu betapa besarnya kemenangan PAS.

PAS semakin keras berhubung interpetasinya mengenai Islam. Sehingga kini ia mengamalkan sikap toleransi terhadap ideologi atau falsafah politik Bersatu. Adakah Bersatu akan terus mempertahan ideologinya sebagai parti nasionalis, atau mengenepikan dasar nasionalisme mereka dan jadi macam PAS?

Tetapi PAS pula sejak kebelakangan ini banyak bercakap mengenai nasib bangsa dengan nada nasionalisme, serta menyokong proklamasi Melayu yang dibawa Mahathir Mohamad.

Pada hemat seorang kawan masanya akan tiba Bersatu bergaduh dengan PAS kerana parti pimpinan Hadi akan meneruskan dasar hardline mengenai Islam yang tidak sehaluan dengan ideologi asal Bersatu. Kata saya, itu tidak akan berlaku selagi kedua-dua parti berada di luar kerajaan selaku pembangkang.



Semua ketidakpuasan hati akan dipendamkan dahulu.

Ketidakpuasan hati antara PAS dan Bersatu

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Sajat sekolahkan Abang Tesla, terkedu dibuatnya

Isteri kedua Abang Tesla kena ‘sound’ dengan Noorkhiriah

10 tahun tunggu zuriat, isteri meninggal 3 bulan selepas bersalin [VIDEO]

Fasha Sandha galak bergoyang lepas ramping?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker