Mengarut, jangan persoalkan kesetiaan MCA – Wee Ka Siong

 

Presiden MCA Wee Ka Siong mempertahankan kritikan parti itu terhadap Timbalan Menteri Pendidikan lim Hui Ying susulan kegagalannya untuk menyediakan jawapan ketika sidang Dewan Rakyat dua hari lalu.

Menurut Wee, walaupun MCA sebahagian dalam kerajaan bersama-sama DAP, parti itu masih boleh memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap cabang eksekutif kerajaan.

Wee berkata pihak dalam kerajaan seharusnya menerima kritikan secara terbuka dan membetulkan kesilapan yang dilakukan.

“Anda kata tubuh kami bersama kerajaan perpaduan tetapi jiwa kami bersama PN. Kenyataan jenis apakah ini?

“Pandangan bersifat non-partisan. Tidak sepatutnya kita tak boleh kritik (kerajaan) hanya kerana kita sebahagian daripada kerajaan. Kalau begitu, bagaimana kita boleh memainkan peranan semak dan imbang dalam kerajaan?

“Dalam parti yang sama pun ada suara yang berbeza. Ahli MCA boleh kritik pemimpin parti, termasuk presiden. Bagi saya, kritikan adalah peluang untuk membetulkan kesilapan dan bekerja lebih keras.

“Anda tak boleh guna ‘sudah lebih masa’ sebagai alasan untuk pertahan diri…Sejak bila Parlimen wajib hentikan (sesi soal jawab) pada pukul 11.30 pagi? Dalam bola sepak pun, ada kala perlawanan tamat pada minit ke-92. Jadi adakah gol yang dijaring pada minit ke-91 tak dikira?” katanya.

Wee mengulas kenyataan Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui yang berkata MCA tidak sepatutnya berkelakuan seperti sekutu PN dengan mengkritik kerajaan.

Ia selepas beberapa pemimpin MCA mengkritik Lim kerana tidak menyediakan jawapan untuk soalan yang dikemukakan ketika sidang Dewan Rakyat. soalan itu ditanya selepas sesi soal jawab sepatutnya tamat.

Sementara itu, Wee membangkitkan yang soalan parlimen dihantar sebelum sidang bermula pada 13 Februari.

Lazimnya, pelbagai jabatan sudah menyediakan jawapan bagi soalan tersebut. Menteri dan timbalan menteri biasanya akan menyemak jawapan itu sehari sebelum mereka perlu menjawab soalan daripada ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat.

Maka, kata Wee lagi, apa yang berlaku kepada Lim boleh disamakan seperti “pergi ke sekolah tanpa membawa kerja rumah”.

“Jika saya lupa bawa beg ke sekolah dan cikgu marah saya, adakah saya boleh salahkan cikgu?

“Jika jawapan anda tak cukup bagus, tak lengkap atau tak memuaskan, itu perkara lain. Tapi anda tak bawa pun jawapan itu, ini sikap apa? Datang ke sekolah dan gagal hantar kerja rumah,” soalnya lagi.

‘Mengarut persoal kesetiaan MCA’

Berhubung persoalan tentang kesetiaan MCA, Wee bertanya jika kesetiaan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor juga perlu dipersoalkan selepas dia menegur Lim berkenaan perkara itu.

“Bagi saya, kenyataan itu mengarut. Jika begitu, adakah anda juga nak serang Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga dicalonkan oleh kerajaan perpaduan?

“Ini tidak betul. Dia jalankan tugasnya, dan jika anda kata ini isu ‘lebih masa’, anda persoal yang dipertua. Perkara 99 Aturan Mesyuarat jelas menyatakan keputusan yang dipertua adalah muktamad,” katanya lagi.

Wee berkata ia “bukan isu besar” dan perlu dilihat sebagai pengajaran untuk lebih bersedia di masa akan datang.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda MCA Daniel Wa Wai How menyifatkan pihak yang terlalu sensitif dengan kritikan tidak sepatutnya menyertai politik.

Wa antara kalangan yang mengkritik Lim dua hari lalu, bersama sama timbalan presiden MCA dan bekas timbalan menteri pendidikan Mah Hang Soon.

“Ahli politik diperhati secara rapat oleh orang awam. Lim telah memohon maaf atas kesilapannya, tapi Chow masih ambil kesempatan daripada perkara ini. Saya nak tanya siapa sebenarnya yang cuba jadi sekutu PN?” soalnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker