Anwar arah siasat perbelanjaan RM600 bilion semasa era PN

Anwar arah siasat perbelanjaan RM600 bilion semasa era PN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan perbelanjaan mencecah hampir RM600 bilion tanpa tender yang dikatakan berlaku semasa era kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Kementerian Kewangan telah memaklumkan tentang beberapa pelanggaran melibatkan perbelanjaan yang tinggi itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyerahkan kepada badan siasatan untuk melihat sejauh mana pelanggaran, rasuah atau penyelewengan berlaku.



“Saya telah mengarahkan untuk disemak semula sebab ia tidak dibuat secara telus, tiada proses tender yang lengkap.

“Jadi, kita perlu menyemak semula utuk memastikan kita mematuhi prosedur kewangan yang ketat untuk memastikan semuanya dilakukan dengan betul,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Pada 30 November lalu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion yang dikatakan berlaku semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Muhyiddin hari ini menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan beliau tidak takut untuk disiasat.



Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan bahawa pentadbirannya tidak berkompromi dalam isu tatakelola dan antirasuah serta menempelak pemimpin tertentu yang lantang menggunakan istilah kleptokrasi walhal ahli keluarga mereka turut disyaki terlibat dalam urus niaga yang besar.

Beliau turut mengingatkan mereka agar bersedia untuk bersikap telus dan disiasat sekiranya mahu isu tersebut ditangani.

“Siasatan tidak boleh dilakukan secara terpilih. Itu pendirian kami. Saya percaya pasukan Kabinet saya bersunggguh untuk memastikan kami mengikut peraturan yang ketat dan prinsip tata kelola yang baik,” jelasnya.

Anwar berkata, setakat ini Kabinet belum membincangkan tentang penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan RM600 bilion tanpa tender itu.



“Setakat yang saya tahu dan diberi maklumat oleh pegawai-pegawai, ada beberapa pelanggaran yang agak serius terutama bila perolehan terlalu banyak.

“Jadi bila kita luluskan projek, jadi mark up itu terlalu tinggi dan dana itu sampai kepada parti-parti tertentu yang memperlihatkan keupayaan mereka berbelanja luar biasa,” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan cabutan khas perjudian dikembalikan kepada kekerapan yang terdahulu iaitu lapan kali setahun mulai 1 Januari depan.

Dengan keputusan itu, Anwar membatalkan keputusan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu awal tahun ini yang menaikkan kekerapan cabutan khas perjudian kepada 22 kali setahun.

“Begitu dengan isu perjudian ini, sebahagiannya digunakan untuk membiayai kempen pilihan raya, perlu siasat itu, parti Melayu, parti Islam tetapi dana datang dari syarikat perjudian,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, secara peribadi, beliau tidak mahu terlalu banyak menumpukan kepada perkara-perkara lama kerana mahu lebih fokus terhadap menguruskan ekonomi negara dan memberi keyakinan kepada pelabur.

“Sekarang ini nampak sambutan sangat baik. Ramai yang telah minta temu janji, syarikat-syarikat pelaburan dari India, China, Amerika Syarikat dan Eropah untuk minggu akan datang.

“Saya akan tumpu lebih banyak untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan esok pagi saya akan ke Kementerian Kewangan,” katanya. MG

Anwar arah siasat perbelanjaan RM600 bilion semasa era PN


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan siasat perbelanjaan RM600 billion Muhyiddin Yassin

Myvi RM25,000: Magik Rafizi ‘Si Raja Formula’ yang ditunggu-tunggu rakyat

Ogy bakal berkahwin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker