PN berebut pula Speaker Dewan Rakyat

PETALING JAYA: Perebutan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat dijangka hangat setelah Perikatan Nasional (PN) dipercayai akan menghantar cadangan nama ke Parlimen hari ini.

Perkembangan itu menyaksikan bakal berlaku proses pengiraan undi untuk memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat apabila melibatkan dua calon masing-masing daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Sekiranya ada satu nama sahaja, maka pemilihan tidak perlu dilakukan sekali gus calon tunggal itu terus terpilih menjadi Speaker Dewan Rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, Majlis Tertinggi PN akan menghantar nama sebelum tarikh tutup hari ini.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu tidak mendedahkan cadangan nama dikemukakan pihaknya.

“MT PN Pusat akan hantar nama sebelum tarikh tutup hari ini (Isnin) sebelum waktu pejabat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Difahamkan hari ini adalah hari terakhir bagi pemakluman dan pemberian notis berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat sebelum persidangan Parlimen berlangsung 19 Disember ini.

Bagaimanapun, usaha menghubungi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk mendapat jumlah senarai nama telah dihantar tidak berjaya kerana beliau tidak menjawab panggilan telefon dan membalas kiriman mesej.

Sebelum ini, timbul desas-desus berhubung dua cadangan nama daripada kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Md. Yusof.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, beliau sehingga kini tidak dimaklumkan berhubung pencalonan namanya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Katanya, berdasarkan pe­ra­­turan mesyuarat Dewan Rakyat, pihak mencadangkan perlu mendapat persetujuan calon terlebih dahulu sebelum mengemukakan nama ke Parlimen.

“Tetapi saya tidak tahu berhubung perkara ini. Saya pun tidak tahu jadi calon atau tidak, tiada orang pun hubungi saya,” katanya.

Jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat kini disandang oleh Azhar Azizan yang dilantik menduduki jawatan itu ketika pentadbiran Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN.

Berdasarkan Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan, Yang DiPertua Dewan Rakyat boleh dilantik dalam kalangan seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat atau bukan anggota ahli Parlimen iaitu orang luar yang berkelayakan.

Pada minggu lalu, Azhar Azizan mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang dengan Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat. – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker