Melayu dalam Jemaah Menteri Anwar

Melayu dalam Jemaah Menteri Anwar

Oleh Mohsin Abdullah

Kata Lim Kit Siang: “Jika kerajaan Anwar Ibrahim boleh bertahan lima tahun dan kita boleh jelaskan bahawa ketakutan ‘orang Melayu dan Islam sedang diturun taraf’ hanya khayalan propaganda dan politik toksik merangkumi pembohongan, penipuan, kebencian, yang dibawa politikus tidak bertanggungjawab di era informasi masa kini, kita punya peluang baik menjayakan misi kita untuk set semula prinsip dan dasar membangunkan negara seperti yang dirangka oleh pengasas kemerdekaan kita, termasuk empat presiden pertama Umno, untuk Malaysia menjadi cahaya dalam dunia yang susah dan terganggu.”

Kata beliau lagi: “Cabaran paling penting bagi kerajaan Anwar ialah untuk memastikan ia menandakan bermula era politik baharu untuk set semula agenda nasional kembali kepada prinsip asal membangun negara dan bukan sebuah fajar yang palsu.”

Sesungguhnya selain ekonomi, Anwar mesti beri perhatian rapi terhadap isu kaum dan agama. Beliau pasti tahu akan ini semua.

Menurut penganalisis politik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis, langkah awal Anwar mengendali situasi adalah dengan mengawal naratif Melayu-Islam menerusi komposisi Jemaah Menteri supaya mencerminkan kerajaan perpaduan berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ini sudah dilakukan Anwar. Jemaahnya dibarisi ramai pemimpin Melayu yang sebahagian besar muda. Selain Anwar dan dua timbalan perdana menteri, 18 daripada 25 menteri ialah Melayu, sekali gus bergama Islam.

Kata Mujibu, sudah tentu Anwar mengambil iktibar daripada apa yang terjadi ke atas kerajaan PH akibat gerak rampas kuasa Langkah Sheraton pada 2020, walaupun beliau tidak berada dalam kerajaan ketika itu.

Ringkasnya, tumbangnya kerajaan PH pimpinan Mahathir Mohamad disebabkan naratif bangsa dan agama yang menyaksikan timbulnya pentadbiran yang digelar “kerajaan Melayu-Islam” dianggotai Bersatu, PAS, dan Umno.

Sebelum kerajaan itu ditubuhkan, PAS dan Umno (ketika itu kawan baik) secara lantang menuduh kerajaan PH dikuasai DAP walaupun diketuai orang Melayu. Bersatu ketika itu mengulangi naratif itu secara senyap sehingga berlakunya Langkah Sheraton.

Secara peribadi saya tidak setuju kerajaan PH dikuasai DAP, namun tuduhan itu ditelan masyarakat Melayu. Oleh kerana saya tidak berbekalkan kaji selidik terperinci saya tidak dapat menghuraikan jumlah orang Melayu yang percaya akan tuduhan berkenaan. Memadai saya menegaskan “agak ramai” Melayu yang percaya.

Tuduhan kononnya “kerajaan dikuasai orang Cina” boleh atau sudah ditumpulkan dengan terbentuknya Jemaah Menteri Anwar yang dibarisi ramai menteri Melayu (pada satu sisi lain, Anwar mesti menyakinkan masyarakat bukan Melayu mereka tidak akan diabaikan).

Ditumpulkan tetapi tidak akan lenyap, kerana ada orang Melayu yang mahu percaya apa yang mereka mahu.

Tuduhan “Islam terancam” atau “Melayu dalam bahaya di tanah air sendiri” digunakan PAS dan Bersatu pada PRU15 lalu dengan jaya. Naratif itu tidak lagi digunakan Umno kerana ia sudah duduk dalam kerajaan perpaduan.

PAS dan Bersatu masih menggunakan taktik itu untuk menarik sokongan Melayu dan pasti akan diteruskan. Bukanlah memeranjatkan kerana menggunakan (atau salah guna) isu bangsa dan agama ialah jalan pintas meraih undi seperti ditunjukkan PRU 15, bak dikatakan tadi.

Anwar sendiri kerap dituduh ejen Yahudi walaupun Hamas musuh rejim Zionis antara yang terawal mengucapkan tahniah apabila beliau dilantik perdana menteri.

Berbalik kepada Mujibu. Kata beliau, dengan tertubuhnya kerajaan perpaduan (bukan kerajaan PH), DAP perlu kurangkan “nada” ketika membuat tuntutan dalam kerajaan.

Bagi saya, DAP selama ini tidak keterlaluan ketika membuat apa-apa tuntutan meskipun diakui ada dalam kalangan pemimpin pertengahan yang keras. Apa pun hakikatnya DAP kerap mengalah. Mereka akur jawatan perdana menteri mesti diisi orang Melayu-Islam. Mereka tidak “memberontak” apabila pemimpin Melayu dilantik menteri besar di negeri di mana DAP menang sejumlah besar kerusi DUN.

Pada PRU14 sebagai contoh, apabila PH berjaya memerintah Perak, DAP yang memenangi kerusi paling banyak memberi laluan walaupun mereka mempunyai seorang ADUN Melayu-Islam yang layak dilantik sebagai menteri besar Perak.

Itu cerita lama. Cerita baharu apabila Anwar membentuk Jemaah Menteri, DAP tidak membuat apa apa tuntutan mahupun desakan. Gobind Singh Deo mengakui beliau ditawar untuk jawatan menteri tetapi menolaknya. Dalam Jemaah Menteri, DAP diwakili empat menteri. Tidak ada bantahan meskipun diakui ada dalam kalangan pemimpin dan akar umbi yang tidak puas hati.

Bagi saya, DAP bertindak demikan “for the greater good” dan melihat “the big picuture”. Setuju atau tidak terpulang.

Bercakap mengenai “the big picture” – itulah yang ramai pengundi lPH lakukan setelah kecewa apabila Anwar menamakan pemimpin kontroversi dan yang kalah pilihan raya dalam Jemaahnya. Paling menonjol ialah pelantikan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang diberi satu daripada dua jawatan timbalan perdana menteri.

Sekarang, pada hemat saya, ramai antara pengundi PH dan penyokong Anwar terima realiti ini “kerajaan perpaduan” bukan “kerajaan PH”. Ertinya ada tolak ansur dan seperti yang disaran Yang di-Pertuan Agong – menang tidak menang semua, kalah tidak kalah semua.

Tetapi yang masih diperkatakan ialah pelantikan orang Umno yang juga bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz. Video Anwar berkempen di Kuala Selangor menjelang PRU15 tular. Ia menunjukkan Anwar berjanji “Insyaallah jika saya jadi perdana menteri, Tengku Zafrul tidak masuk senarai.” Disambut tepukan hadirin.

Bagi pembangkang dan golongan anti-Anwar ini bagai pucuk dicita ulam mendatang. Ini sedang mereka eksploitasi dan akan terus dijadikan bahan serangan.

Tentunya Anwar tahu kesan langkahnya itu. Beliau pasti ada sebab dan alasan tertentu untuk membawa masuk Tengku Zafrul. Selaku perdana menteri, beliau tidak boleh atau tidak perlu mengumumkan kepada khalayak mengapa beliau berbuat demikian.

Cuma yang pasti isu ini akan digunakan pembangkang untuk membuktikan kepada rakyat Anwar tidak tunai janji, lantas tidak boleh dipercayai. Ini akan dicanang setiap waktu di merata tempat, khususnya apabila pilihan raya beberapa negeri diadakan tahun depan.

Tidak perlu kita jadi pakar politik untuk tahu Anwar perlu lakukan sesuatu untuk tangani masalah ini tanpa memberitahu rahsia di sebalik pelantikan Tengku Zafrul.

Seperti yang ditulis pada artikel saya tempoh hari, Anwar mesti memastikan kerajaannya berjaya membawa kecemerlangan kepada negara dan rakyat, dan juga jika Tengku Zafrul sendiri menjalankan tugas dengan baik.

Saya akhiri dengan kata-kata yang saya gunakan untuk menutup artikel lalu – jika kerajaan jaga rakyat, rakyat akan jaga kerajaan. FMT

Melayu dalam Jemaah Menteri Anwar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Perlantikan kabinet, Annuar Musa kini ‘bertukar nada’

Bila Formula Rafizi Akan Mula Dilaksanakan?

Ronaldo bakal berhijrah ke Arab Saudi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker