UMNO jangan leka terbuai

 

UMNO jangan leka terbuai. UMNO dijangka sukar membentuk kerajaan Pusat secara solo menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana akan bertembung dengan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Meskipun UMNO berpeluang menambah sehingga 20 peratus daripada jumlah 54 kerusi dimenangi dalam PRU-14, parti itu tidak mampu menjadi king maker dan menduduki jawatan Perdana Menteri kerana terpaksa melakukan jajaran politik bersama Pakatan Harapan (PH) ataupun PN.

Hakikatnya, PH atau PN menjadi menjadi ‘king maker’ sebenar dalam percaturan politik tanah air apabila mereka terdiri daripada pelbagai parti komponen berbanding UMNO selaku entiti tunggal.

Jika diukur keputusan PRU-14, UMNO hanya memenangi 54 kerusi (sebelum ditolak ahli Parlimen melompat) berbanding PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan 88 kerusi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (​UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Sabah menjadi kayu ukur bahawa UMNO masih tidak mampu menang pilihan raya tanpa kerjasama dengan mana-mana parti politik.

Katanya, indikator itu dilihat setelah UMNO merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh pembangkang menerusi Muafakat Nasional (MN) bersama Pas.

“Namun, paling penting adalah sentimen semasa yang memainkan peranan untuk mencorak sokongan rakyat dalam kertas undi. Jika beberapa PRK sebelum ini, sentimen rakyat tidak suka kepada kerajaan PH ketika itu, jadi mereka memilih UMNO dan BN.

“Namun perkara ini tidak boleh menjadi asas kepada UMNO untuk terus leka dibuai mimpi bahawa mereka telah diterima rakyat termasuk mengatakan kekalahan mereka pada PRU-14 berpunca daripada permainan fitnah dan janji manis manifesto PH.

“Jadi, adalah sukar bagi UMNO untuk bergerak sendiri tanpa sokongan parti gabungan. Sama ada ia berlaku sebelum atau selepas PRU-15, UMNO tidak boleh tidak memerlukan jajaran politik untuk menjadi kerajaan. Jika tidak, mereka akan mengulangi nasib PRU-14,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad membayangkan pertembungan tiga penjuru antara parti-parti dalam PN de­ngan pembangkang akan memberi peluang kepada PH untuk berkuasa semula pada pilihan raya umum akan datang.

Ujarnya, unjuran yang dibuat oleh bilik perang parti itu dengan mengambil kira keadaan UMNO memilih untuk meninggalkan PN.

Dalam pada itu, Mujibu berkata, kegagalan kerajaan PN mengurus negara menangani Covid-19 menjadi punca UMNO menarik sokongan kerana tidak mahu terpalit sama dan boleh menyebabkan mereka bakal tersungkur sekali lagi pada PRU-15.

Justeru, katanya, UMNO perlu ada ‘faktor wow’ dengan mengetengahkan manifesto dan calon-calon muda sekira­nya mahu menarik lebih banyak sokongan dan akhirnya mampu menambah bilangan penguasaan Parlimen.

“Jika mereka bersikap masih sama sebelum ini iaitu imej elit dan hulubalang, tidak tolak kemungkinan UMNO kalah lebih teruk daripada PRU-14,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan turut berpendapat, UMNO perlu melakukan kerjasama dengan mana-mana gabungan politik sama ada PN atau PH jika mahu memegang tampuk kepemimpinan kerajaan meskipun berpeluang menambah kerusi daripada jumlah sedia ada.

Katanya, situasi semasa berbeza dengan sebelum PRU-14 yang menyaksikan parti itu terpalit dengan pelbagai isu sehingga tumbang untuk pertama kalinya selepas 60 tahun memerintah negara.

UMNO jangan leka terbuai


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pelajar UiTM Jengka Meninggal Dunia Lepas Mengadu Sakit Kepala [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker