Waris minta mahkamah bekukan RM10 juta – Pengetua Tahfiz

Sebaran :

KUALA LUMPUR: Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood, menjelaskan sumbangan berjuta ringgit daripada orang ramai kepada pusat hafazan itu dibekukan atas arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau mengulas keluhan waris mangsa kebakaran tidak menerima “walau sesen” derma RM10 juta susulan kebakaran di pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru pada 2017.

Keadaan itu, antara lain, memaksa waris mangsa tragedi berkenaan mengambil tindakan saman terhadap Zahid, isterinya dan Majlis Agama Wilayah Persekutuan pada tahun berikutnya.

“Yang di ‘viral’ di surat khabar dan sebagainya, ‘Mana perginya wang RM10 juta’ yang dipersoalkan pihak waris.



“Jadi seolah-olah ada pihak melarikan duit itu. Yang sebenarnya duit RM10 juta itu telah diminta dibekukan oleh mahkamah oleh pihak waris. Benda itu (wang sumbangan) memang dibekukan, jadi memang tak boleh nak buat apa,” kata Zahid.

Beliau kesal atas tindakan waris memberikan gambaran tersasar sehingga menimbulkan prasangka terhadapnya.

“Jadi kenyataan sebegini seolah-olah ingin memburukkan, mencemarkan nama, dan merupakan satu fitnah yang besar. Seolah-olah mahkamah ini tidak relevan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin FMT melaporkan keluhan Zamzuri Zakaria, ayah kepada anak berusia 10 tahun yang rentung dalam tragedi itu.



Antara lain, Zamzuri mengimbau keadaan yang memaksa beliau dan waris lain mangsa kebakaran memfailkan tindakan saman itu setelah gagal mencapai persetujuan dengan pihak pusat tahfiz mengenai sumbangan orang ramai itu.

Beliau juga kesal kerana tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak pusat tahfiz atas kebakaran yang meragut nyawa anaknya.

“Dari hari anak saya meninggal sampai ke hari ini, langsung tak pernah datang jenguk. Nak minta maaf macam mana? Jumpa kami pun tidak pernah,” kata beliau.

Bagaimanapun, Zahid menjelaskan, susulan tragedi itu, beliau mengatur empat majlis tahlil dengan dihadiri pelbagai NGO, jabatan kerajaan, serta syarikat swasta yang memberi sumbangan wang secara terus kepada waris mangsa.



“Selepas kejadian, kita ada buat program tahlil selama empat kali di surau madrasah Ittifaqiyah, yang mana setiap malam itu ada sumbangan daripada NGO yang telah saya sendiri kumpulkan. (Ini semua) kawan-kawan NGO saya.

“Sedikit sudah diberi, bukan daripada bahagian saya tetapi (oleh) NGO-NGO, daripada jabatan kerajaan, daripada syarikat-syarikat. Jumlahnya (saya) tak pasti sebab ia (sumbangan luar daripada akaun derma) sudah bermula sejak 2018.

“Yang ada dalam akaun itu, kita serah pada mahkamah untuk buat keputusan,” jelas Zahid.

Peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Zahid berkata pihaknya akan akur kepada apa saja keputusan mahkamah berhubung saman sivil itu.

“Biar mereka (waris) cakap apa sahaja. Faktanya, biar mahkamah yang tentukan apa yang mereka (waris) mahukan dan berapa (sumbangan orang ramai) yang mahkamah boleh beri,” katanya kepada FMT.

Perbicaraan saman sivil itu akan bersambung semula pada 12 Jan.

Pada 17 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke atas seorang remaja selepas didapati membakar pusat tahfiz berkenaan.

Waris minta mahkamah bekukan RM10 juta – Pengetua Tahfiz


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Myvi tahan lasak – Kecut Perut Lihat Pokok Tumbang Mengejut (Video)

LPPR bersih nama Azam Baki daripada salah laku pembelian saham


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published.