Laki kau suami aku

Laki kau suami aku

Lebih romantis, penyayang, pandai mengawal emosi dan mempunyai kedudukan kewangan yang stabil menjadi ‘resepi paling mujarab’ untuk lelaki berstatus suami orang sehingga menjadi buruan segelintir wanita.

Wanita berkenaan yang rela digelar ‘perampas’ serta ‘perosak rumah tangga’ tidak menghiraukan gelaran berkenaan sebaliknya mencari kehidupan yang sempurna apabila berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang ini.



Keterampilan serta personaliti yang ditonjolkan lelaki berstatus suami ini lebih membuatkan segelintir wanita terpesona, sekali gus tidak menghiraukan mengenai status lelaki berkenaan.

Perkara itu didedahkan oleh Pakar Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh yang pernah berdepan lebih 20 kes seumpama itu membabitkan perkahwinan isteri muda sebelum tercetus sesuatu konflik.

Hushim yang mempunyai klinik kaunseling persendirian berkata, kes berkenaan pernah dirujuk di kliniknya oleh pasangan membabitkan isteri muda.

Menurutnya, ‘laki orang’ ini mempunyai sifat simpati dan empati yang tinggi serta kebiasaannya sangat romantis kerana sudah biasa melayan pasangan mereka.



Katanya, kebanyakan pasangan ini bernikah di negara jiran berikutan ia perkahwinan yang disembunyikan daripada isteri pertama sehingga timbul pelbagai konflik dalam satu tempoh masa selepas mendirikan rumah tangga.

“Wanita yang memburu suami orang ini kebanyakan sudah berusia lewat 20-an ke atas dan kebanyakannya mempunyai kerjaya yang sangat stabil sehingga lelaki bujang takut untuk mendekati mereka.

“Golongan dalam kategori ini juga sangat mudah tertarik dengan personaliti lelaki berstatus suami orang ini kerana kebanyakannya adalah lebih matang berbanding bujang dan sangat mengambil berat.

“Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa suami orang ini pandai mengambil hati wanita berkenaan dengan perhatiannya, sifat romantisnya, penyayang dan pandai mengawal emosi dalam apa juga keadaan,” katanya kepada Metro Ahad, semalam.



Beliau berkata, wanita ini akan mudah cair dengan personaliti lelaki berkenaan kerana mereka sudah mempunyai pengalaman berdepan dengan rumah tangga, isteri dan melayan anak.

Katanya, wujud juga kes di mana pasangan ini berkahwin kerana mahu lelaki yang membimbing mereka dan si isteri muda tidak kisah tentang status lelaki itu.

Menurutnya, ketika sesi kaunseling berkenaan berlangsung, ada wanita bergelar isteri muda ini mengakui berkahwin dengan pasangannya kerana tertarik dengan sifat serta keprihatinan lelaki berkenaan selain daripada faktor memiliki kewangan yang stabil.

“Ada juga kes yang saya temui si isteri muda mengaku berkahwin dengan suaminya dulu kerana mahu lelaki berkenaan membimbingnya dan sifat kepimpinan berkenaan kurang kelihatan pada lelaki berstatus bujang.



“Pada peringkat awal, perkahwinan itu indah, namun selepas beberapa tempoh masa akan wujud konflik dan pasangan ini datang ke klinik kaunseling saya untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Lelaki bujang suka ikut emosi

“Lelaki bujang tidak pandai memberikan perhatian yang sewajarnya kepada wanita macam kami dan kurang keupayaan membimbing atau menjadi pemimpin.

“Kebanyakan lelaki bujang lebih mengikut emosi dan itu adalah berasaskan kepada pengalaman percintaan saya sendiri sebelum mengambil keputusan untuk bernikah dengan lelaki berstatus suami orang.”



Demikian pengakuan seorang wanita mahu dikenali sebagai Lisa, 35, yang mendirikan rumah tangga dengan lelaki berusia 47 tahun walaupun terpaksa menyembunyikan perkahwinan mereka daripada pengetahuan orang lain.

Katanya, dia mendirikan rumah tangga dengan suami orang itu kira-kira empat tahun lalu.

“Saya akui, kehidupan saya tidak boleh macam pasangan berkahwin lain iaitu pergi membeli-belah atau keluar makan bersama-sama namun bagi saya cukup kalau saya ada lelaki yang mampu membimbing saya.

“Selepas empat tahun berkahwin, saya terbuka untuk mendedahkan perkahwinan, namun suami meminta sedikit masa bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada isteri pertama.



“Bagaimanapun, apa yang penting ialah saya tidak melakukan dosa sebaliknya hubungan saya dan suami sah di sisi agama,” katanya.

Seorang lagi wanita dikenali sebagai Marlia, 32, mengakui keputusannya berkahwin dengan lelaki yang sudah berumah tangga adalah atas dasar kewangan.

“Pasti kita sebagai wanita mahu mencari kestabilan dan itu adalah alasan terbesar saya untuk berkahwin dengan suami.

“Suami tahu hal itu kerana sebelum berkahwin, saya berterus terang bahawa saya mahukan kestabilan daripada sudut ekonomi rumah tangga dan soal rupa bukan isu besar,” katanya.

Rahsia nikah lain di sempadan

Setiap lima pasangan berkahwin di sempadan, tiga pasangan mahu menyembunyikan perkahwinan daripada isteri pertama.

“Apabila ditanya lebih lanjut kepada wanita berkenaan, skrip jawapan setiap pasangan ini hampir sama iaitu tertarik dengan lelaki berkenaan kerana menunjukkan sifat kasih sayang dan perhatian yang lebih, jadi tidak kisah bergelar isteri muda atau perkahwinan yang dirahsiakan,” kata Ali (bukan nama sebenar).

Itu antara pengalaman Ali, 47, yang juga ejen nikah sempadan ketika berdepan pasangan yang mahu berkahwin di sempadan semata-mata mahu menyembunyikan ‘masjid baru’ itu daripada pengetahuan isteri pertama.

Khidmat orang tengah atau lebih mesra dipanggil pemudah cara kepada prosedur pernikahan sempadan menjadi jalan terakhir khususnya kepada pasangan yang bermasalah.

Bercerita lanjut, Ali berkata, kos perkahwinan nikah sempadan ini memerlukan sekitar RM7,000 ke atas dan ia termasuk kos perjalanan, penginapan dan beberapa bayaran lain ketika di negara jiran.

“Untuk yuran perkahwinan di pejabat agama adalah RM650, itupun bergantung kepada kadar tukaran wang semasa manakala kos pendaftaran di konsulat RM120.

“Sepanjang pengalaman saya sudah lebih enam tahun ini, kebanyakan pasangan mahu berpoligami, namun takut untuk melakukan mengikut prosedur di negara ini dan alternatif lain berkahwin di negara jiran tanpa memerlukan tandatangan persetujuan isteri pertama,” katanya.

Katanya, setiap nikah sempadan ini akan dilakukan di Pejabat Agama Wilayah Songkhla (Thailand) dan itu adalah satu-satunya tempat untuk melaksanakan urusan pernikahan.

Tiga seksyen terpakai

Ada tiga seksyen undang-undang dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor terhadap individu yang mengganggu keharmonian sesebuah rumah tangga.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, tiga seksyen itu antara lain menyatakan, memujuk lari perempuan yang bersuami, menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan mana-mana kewajipannya.

“Dari segi undang-undang sivil, pihak mangsa melalui peguam, boleh menuntut perintah injunksi di Mahkamah Sivil bagi menghalang pihak ketiga daripada mengganggu, mengancam, mengugut atau mengeluarkan sebarang kata-kata unsur gangguan atau mendekati pihak mangsa.

“Tindakan sivil juga membolehkan pihak mangsa, melalui tuntutan perintah injunksi, boleh menghalang pihak ketiga daripada mencemarkan, menjejaskan atau menjatuhkan reputasi, nama baik atau status mangsa, pasangan mangsa atau ahli keluarga mangsa,” katanya.

Mahmud berkata, pihak pertama iaitu lelaki atau wanita yang berasakan rumah tangga mereka diancam atau diganggu boleh menuntut ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk daripada pihak ketiga.

Menurutnya, tuntutan itu boleh dibuat sekiranya, akibat tindakan pihak ketiga, ia mengakibatkan mangsa mengalami gangguan daripada segi emosi atau mental serta menyebabkan hubungan mangsa dan pasangannya menjadi runcing.

Katanya, bagi lelaki yang memikat isteri orang, perbuatan berkenaan adalah menyalahi Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu barang siapa yang memikat atau membawa pergi atau menahan isteri orang dengan niat jenayah sudah melakukan suatu kesalahan yang diboleh dihukum bawah seksyen ini.

“Sebaliknya, bagi wanita yang memikat suami orang, tiada peruntukan undang-undang jenayah yang boleh mendakwa pihak perempuan, namun ia menjadi satu kesalahan jenayah syariah bagi sesiapa yang menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

“Sekiranya ada dalam kalangan orang awam menjadi mangsa orang ketiga dan ingin membuat aduan, mereka boleh kemukakannya melalui langkah antaranya membuat laporan polis, membuat aduan di Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Negeri (Jain), perlu menyediakan sekurang-kurang seorang saksi atau bukti dokumentari untuk menyokong aduan.

“Mereka juga perlu memberi pengesahan dan pencerahan secara menyeluruh mengenai bentuk gangguan dan kesan serta akibatnya terhadap keruntuhan rumah tangga,” katanya. HM

Laki kau suami aku


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tak sempat ‘sedap’, polis tahan pengantin ketika majlis berlangsung

Lelaki pengsan akibat putus cinta [VIDEO]

Wanita terlalu cantik untuk bekerja sebagai tukang plaster [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker