Mike Tyson bidas pemimpin Melayu UMNO, Bersatu dan PAS

Sebaran :

SHAH ALAM – “Jangan salahkan sesiapa kalau ketiga-tiga parti dalam kerajaan kalah teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November ini kerana perpecahan mereka bukti ketidakcerdikan pemimpin Melayu dalam bermain politik.”

Demikian amaran Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) susulan kedua-dua koalisi parti Melayu berkenaan memutuskan untuk bergerak secara solo.

Keputusan itu diumumkan Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu, sekali gus menyaksikan pertandingan lebih dua penjuru dengan Pakatan Harapan (PH) pada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Jelas bekas Menteri Besar Selangor itu, semua parti Melayu berkenaan terdiri UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, sepatutnya belajar daripada kekalahan Parti Perikatan pada tahun 1969 yang disebabkan perpecahan undi Melayu.



“Pada tahun 1969, perpecahan undi Melayu menyebabkan calon Parti Perikatan, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu kalah kepada Pas susulan calon Pas ketika itu disokong oleh pengundi bukan Melayu yang menjadi ‘kingmaker’.

“Situasi sama berulang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila parti-parti Melayu kecil dalam PH, Bersatu dan Parti Amanah Negara (Amanah) menang banyak kerusi, sekali lagi berpunca pertembungan BN dan Pas.

“Pas sendiri juga perlu sedar, mereka menang banyak kerusi DUN di Selangor pada PRU12 disebabkan menerima sokongan pengundi bukan Melayu sewaktu bersama koalisi Pakatan Rakyat (PR).

“Bila mereka bersendiri pada PRU13, mereka hanya mampu menang satu kerusi DUN Telok Panglima Garang sahaja,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.



MUHAMMAD MUHD TAIB
MUHAMMAD MUHD TAIB

 

Mengulas lanjut, Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Tyson turut menjangkakan peluang PH untuk menakluki semula kerajaan negeri Melaka adalah amat besar pada PRN Melaka.

Selain itu, beliau meramalkan jangka hayat kerajaan UMNO-PN dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin lebih pendek daripada jangkaan sehingga Julai 2022, sekalipun kerajaan sudah menandatangai memorandum kerjasama gencatan politik dengan PH.

“Apabila UMNO dan Bersatu sudah memuktamadkan keputusan untuk bertembung antara satu sama lain, secara jelasnya hubungan keretakan antara dua parti Melayu itu sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

“Implikasi paling nyata adalah kerajaan Ismail Sabri akan berisiko musnah lebih awal. Bersatu pastinya bakal menarik sokongan terhadap kerajaan Pusat sekiranya parti itu dan PN menerima kekalahan teruk akibat sikap UMNO dan BN,” katanya.



ISYARAT PRU15 JUGA MILIK PH?

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berpandangan BN dan PN masing-masing berdepan risiko tersendiri dalam mencatur peluang kemenangan pada PRN Melaka kelak.

Dr Zainal Kling
Dr Zainal Kling

 

Bagaimanapun, beliau melihat koalisi BN memiliki sedikit kelebihan setelah keputusan berani parti itu mengetengahkan adunan calon muka baharu, muda dan bersih dengan calon veteran yang popular dalam kalangan rakyat Melaka, dianggap satu strategi ampuh.

“Namun begitu, isu pemimpin UMNO di peringkat negeri dikaitkan kes rasuah pasir serta kes mahkamah di peringkat pusat dijangka akan terus dimainkan bukan sahaja pemimpin PH, bahkan PN bagi mengalihkan kepercayaan pengundi kepada mereka.

“Namun perkara paling penting adalah parti-parti bertanding perlu mencari jalan terbaik untuk menjelaskan tawaran politik mereka kepada pengundi Melaka kerana kekangan kempen pilihan raya yang tidak boleh diadakan secara fizikal menyukarkan lagi keadaan,” katanya.

Zainal turut bersetuju dengan pandangan Muhammad bahawa kekalahan BN dan PH pada PRN Melaka akan memberi isyarat PRU15 juga bakal menjadi milik PH.

“Kekalahan BN atau PN pastinya akan memberi implikasi besar dalam menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan tahun hadapan.

“PH akan memberi isyarat jelas kepada pengundi di seluruh negara bahawa koalisi itu kembali menerima sokongan rakyat dan lebih berpengaruh berbanding kerajaan Ismail Sabri jika mereka menang kelak,” katanya.

Mike Tyson bidas pemimpin Melayu UMNO, Bersatu dan PAS


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Sebaran :

Leave a Reply