Isu calon ADUN ‘katak’ buat PH retak menanti belah

Sebaran :

SHAH ALAM – Keputusan DAP mengadakan majlis penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Melaka secara berasingan dengan parti-parti dalam koalisi Pakatan Harapan (PH) memberi isyarat parti itu menunjukkan elemen protes secara terbuka terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berikutan itu, seorang penganalisis politik berpandangan peluang PH untuk memenangi PRN Melaka pada 20 November ini masih berliku sekalipun koalisi parti-parti dalam kerajaan Pusat, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sah tidak akan bekerjasama.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, sikap protes berkenaan dipercayai terdorong dengan pendirian DAP tidak bersetuju dengan pencalonan semula dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, bertanding atas tiket PH.

Hisommudin
Hisommudin

 

Jelas beliau lagi, pendirian terkini DAP yang bakal mempengaruhi sentimen pengundi Cina terhadap PH, pastinya akan mengganggu peluang koalisi itu, selain kebimbangan keterujaan pengundi Cina untuk keluar mengundi pada PRN Melaka semakin merosot berbanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).



“Saya berpandangan ini adalah isyarat tegas DAP ditujukan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mereka tidak akan berkompromi dan mengorbankan sebarang prinsip atau elemen yang boleh menganggu gugat pendirian atau ideologi parti itu.

“Walaupun dalam soal penerimaan dua bekas ADUN UMNO itu, Anwar dilihat lebih terbuka, tetapi DAP pun tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang keputusan yang dilihat bakal menghakis kepercayaan pengundi tegar mereka.

“Unjuran ketidaksepakatan dalam PH ini saya bayangkan mungkin akan berulang pada PRU15 jika isu berkenaan gagal dirundingi dengan baik dalam mesyuarat Majlis Presiden PH kelak,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas keputusan PH mengumumkan pencalonan Idris dan Nor Azman untuk bertanding pada PRN Melaka atas tiket koalisi itu dengan bekas Ketua Menteri Melaka itu kini menjadi ahli PKR, manakala Nor Azman menyertai Amanah.



Susulan itu, Idris bakal bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, manakala Nor Azman bakal mempertahankan DUN Pantai Kundor yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN).

CABARAN PERATUSAN KELUAR MENGUNDI RENDAH

DAP sebelum ini beberapa kali membuat teguran supaya empat bekas ADUN yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri – termasuk Idris dan Nor Azman – tidak diterima bertanding sebagai calon PH.

Kepimpinan tertinggi DAP juga tidak menghadiri majlis pengumuman calon secara maya yang turut disertai Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada Sabtu.



Anwar pada majlis itu menyatakan, pimpinan DAP tidak hadir kerana senarai nama lapan calon parti mereka sudah diumumkan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hisommudin menjelaskan selain faktor masalah kesepakatan PH, satu lagi perspektif yang mungkin menyukarkan koalisi itu untuk kembali menawan Melaka adalah berasaskan jumlah peratusan keluar mengundi pilihan raya yang dianggarkan lebih rendah berbanding PRU14.

Tambah beliau, berdasarkan keputusan PRU14, PH berjaya mengambil alih negeri Melaka dengan majoriti tipis adalah disebabkan jumlah peratusan keluar mengundi yang sangat tinggi, melebihi 88 peratus.

“Ketika itu, PH memperolehi undi bukan Melayu, terutama pengundi kaum Cina pada tahap maksimum susulan keterujaan mereka untuk mengundi pada ketika itu sangat tinggi.

“Namun, sentimen pengundi bukan Melayu terutama pengundi kaum Cina pada PRN Melaka pada peringkat awal tidak menunjukkan sebarang keterujaan.

“Jika benar sentimen ini diterjemahkan pada hari pengundian, ditambah jumlah peratusan keluar mengundi yang mungkin agak rendah, saya rasa PH akan menerima implikasi negatif paling besar pada PRN Melaka, bukan BN atau PN,” katanya.

Isu calon ADUN ‘katak’ buat PH retak menanti belah

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: Isu calon lompat terus hantui PH


Sebaran :

Leave a Reply