PAS-Umno-Bersatu: Siapa tikam siapa?

PAS-Umno-Bersatu: Siapa tikam siapa?

Asalnya ada “intro” lain untuk artikel ini. Tetapi baru sahaja mula ketuk papan kekunci, muncul berita mengenai amaran terbaharu PAS bersabit masa depan Muafakat Nasional.

Lalu saya mulakan artikel ini dengan bercakap mengenai kata-kata Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, bahawa partinya “akan melakukan beberapa pertimbangan ‘serius’ sebelum putuskan hubungan dengan pasangannya dalam Muafakat Nasional” iaitu Umno.



Katanya pertimbangan dilakukan apabila tercetusnya “pengkhianatan” sebilangan pemimpin Umno termasuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional. Hanya selepas pertimbangan itu akan PAS putuskan hubungan dengan Umno. Tetapi, katanya, “kesabaran PAS ada hadnya”.

Bagi saya (dan tentu anda juga) ini bukan kali pertama “amaran” disuarakan oleh PAS. Begitu juga Umno. Kerap beri amaran dan mengancam. Tetapi sekurang-kurangnya parti pimpinan Ahmad Zahid Hamidi itu lebih jelas dengan hasrat mahu menamatkan hubungan dengan PAS.

Namun kedua-dua parti, walaupun mengeluarkan kenyataan keras, belum mengumumkan keputusan muktamad. ‘Kata pemutus’ tidak atau belum dihebahkan, seolah-olah mahu membuka ruang (mungkin sedikit dan sempit) untuk meneruskan hubungan.

Terutamanya, PAS yang mahu memberi gambaran selaku parti Islamik, ia mahu dilihat sedaya upaya cuba selamatkan hubungan dengan Umno “demi perpaduan ummah”. Tetapi pada masa yang sama menghentam Umno, dan Umno menghentam kembali.



Oleh itu apabila membaca laporan ancaman terbaharu PAS ini saya tidak dapat elak daripada meminjam kata-kata si Bujang Lapok – eeh eeh eeh berapa kali punya ancam dah? Berapa kali nak pertimbang dah?

Kesimpulannya – nak putus, putus lah. Nak teruskan hubungan, terus lah. Janganlah acah-acah. Mual dan membosankan.

Apa pun, kata Khairil si Ketua Penerangan PAS, merujuk kepada siri “pengkhianatan” puak tertentu dalam Umno; “Ada segentir pemimpin Umno bertindak keterlaluan seperti pembubaran DUN Melaka dan rampas kuasa di Perak. Sekarang berlaku di Johor,” katanya.

Lalu beliau mengeluarkan peringatan, “kesabaran PAS ada hadnya”. Garang tetapi ini bukan kata-kata baharu.



Susulan ‘amaran’ Khairil, Razlan Rafii, anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno tampil menjawab Ketua Penerangan PAS itu.

Razlan mahu Khairil tanya Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, “siapa pengkhianat sebenar yang menghalang penyatuan ummah antara Umno dan PAS”.

Perlu diingat sebelum ini, Khairuddin Aman Razali, pemimpin PAS yang digugurkan daripada Jawatankuasa PAS pusat tempoh hari, mendakwa “memang ada pihak tertentu yang kurang selesa dengan kerjasama dibentuk antara Umno dan PAS.”

Maka beliau “tidak pelik jika ada pemimpin tertentu dalam PAS yang cuba membakar jambatan antara PAS dengan Umno”.



Ringkasnya PAS dan Umno saling tuduh menuduh mengenai pengkhianatan. Soalnya siapa khianati siapa?

Muncul Najib Razak. Menurut bekas Presiden Umno itu, Umno “dikhianati tak lama selepas jemput Bersatu masuk MN”.

Kata Najib, Umno berasa dikhianati selepas PN meletakkan calon untuk lawan BN di 17 kerusi Dewan Undangan pada PRN Sabah 2020.

“Pengkhianatan” itu, kata Najib, berlaku tidak sampai tiga minggu selepas pemimpin Umno dan PAS menghantar surat jemputan pada Ogos 2020 untuk mengajak Bersatu menyertai Muafakat Nasional. Menarik. Timbul elemen Bersatu. Kata Najib lagi, PN juga meletakkan calon Bebas di enam kawasan untuk memecahkan undi BN.



Menurut beliau, Umno telah melepaskan banyak “kerusi tradisional BN yang boleh dimenangi” kepada Bersatu. Ini sebahagian rundingan bahawa BN akan diberi jawatan Ketua Menteri jika ia menang.

Bagaimanapun, kata Najib, akhirnya calon Bersatu yang dilantik Ketua Menteri walaupun BN menang jumlah tertinggi kerusi.

“Jadi adakah kamu masih mahu guna propaganda Umno yang mungkir janji dan khianati MN serta PAS sebab tidak teruskan mengajak Bersatu menyertai MN?” tanya Najib.

Bertanya lagi beliau “sebab apa kita perlu bekerjasama dan berkawan dengan pihak yang niat sebenar yang mula-mula disorok adalah untuk tamatkan Umno?”



Masa Bersatu ditubuhkan pada 2016 oleh Dr Mahathir Mohamad atau Muhyiddin Yassin (terpulang versi mana yang anda temui kerana kedua-dua mengaku pengasas parti), “cita-cita” parti ialah untuk menggantikan Umno sebagai parti yang menjuarai “perjuangan Melayu”.

Benar, Bersatu tidak pernah secara terbuka menyatakan mahu menamatkan riwayat Umno tetapi dengan hasrat “menggantikan” dan “mengambil alih” peranan Umno mudah untuk difahami umum.

Ketika Bersatu menganggotai PH dan menjadi kerajaan persekutuan, Mahathir selaku pengerusi Bersatu menerima orang Umno khususnya Ahli Parlimen Umno yang melompat masuk partinya. Ini dilakukan meskipun parti lain dalam PH tidak menyenangi tindakan itu.

Namun, menurut pimpinan Bersatu waktu itu, untuk menjadi parti Melayu unggul, Bersatu mesti menerima masuk semua orang Melayu termasuk (khasnya?) pemimpin dan ahli Umno. Hakikatnya orang Umno yang menang kerusi PRU 14 dialu-alukan.

Itu, bagi Umno, satu tindakan tikam belakang (khianat). Apabila berlakunya Langkah Sheraton dan Muhyiddin menggulingkan Mahathir (kumpulan Mahathir sifatkan itu juga tikam belakang) “polisi” Bersatu memujuk orang Umno lompat parti diteruskan.

Maksudnya tikam belakang terhadap Umno diteruskan untuk Bersatu ‘melenyapkannya’. Itu pandangan Umno.

PAS sebagai parti lama dan berpengalaman tahu akan apa yang berlaku tetapi memilih untuk tidak menegur Bersatu. Membisu seribu bahasa dan enggan mengupas sama sekali “aduan” Umno mereka ditikam Bersatu. Dari belakang.

Sebaliknya, PAS memihak kepada Bersatu walaupun sudah kahwin dengan Umno. Ini juga Umno sifatkan satu tikam belakang. Khianat ke atasnya.

Bagi PAS pula, yang khianati MN ialah Umno kerana tidak mahu terima Bersatu. Menurut parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu, Bersatu mesti diterima masuk demi perpaduan.

Kalau ketika penubuhan MN bersama Umno dulu, PAS bercakap mengenai “perpaduan ummah” atau lebih tepat umat Islam dan orang Melayu, sekarang ia bercakap mengenai “perpaduan masyarakat majmuk “ untuk ‘menghalalkan’ penyertaan Bersatu.

“Kalau PAS dan Umno sahaja (dalam MN) perpaduan Melayu sahajalah. Mana kaum lain? Mana orang lain?” soal Hadi. Menarik kerana sebelum ini hujah seperti itu tidak kedengaran.

Apa pun, respon Umno khususnya Naib Presiden Khaled Nordin ialah pertanyaan sinis “mengapa tidak dijemput sekali DAP dan Amanah atas nama perpaduan untuk semua?”

Realitinya tikam-menikam – dari depan mahupun belakang – bukan sesuatu yang aneh dalam politik.

Sekarang Umno dilihat gah mencetuskan pilihan raya peringkat negeri dalam usaha “memaksa” PRU15 diadakan secepat mungkin, menurut pemerhati politik.

Selepas Sabah serta Melaka, kini PRN Johor menjelang dan ramai yang percaya pilihan raya Kedah akan menyusul.

Di Kedah, PAS menguasai kerajaan negeri. Namun kata seorang pemerhati politik yang pernah bertugas dengan pimpinan tertinggi BN, Umno ada cara untuk “membolehkan” PRN Kedah diadakan. Tetapi PAS dan juga Umno nafi PRN akan diadakan. Tidak ada sebab ia perlu diadakan kata mereka.

Hujah yang sama kita dengar sebelum PRN Melaka dan Johor. Di Malaysia kerap juga penafian menjadi kenyataan.

Andainya PRN Kedah diadakan atas ‘paksaan’ Umno, saki baki cubaan Umno dan PAS berbaik-baik (itu pun jika masih ada) akan pasti hilang terus. Mereka akan berperang.

Bagi saya, sengketa antara Umno dan PAS akan menyerupai sengketa zaman lalu yang mengakibatkan tercetusnya Amanah Hadi. FMT

PAS-Umno-Bersatu: Siapa tikam siapa?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Norjuma Habib bakal dikeluarkan waran tangkap

Bila kita tekan butang, dia marah

‘Kalau kena dengan TMJ senyap pula…’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker