Bila PAS sama PAS berperang



Kata Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, 99.9% akar umbi partinya puas hati dengan keputusan PAS menggugurkan Khairuddin Aman Razali daripada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Namun jika “konsep” wala’ yang dipegang PAS diambil kira, sepatutnya 100% akar umbi berpuas hati dengan keputusan itu. Sayangnya tidak. Berdasarkan perkiraan yang diumum Hadi masih ada 0.1% yang tidak puas hati.

Tetapi 99.9% sudah cukup bagus. Mustahil untuk mendapatkan 100% walaupun ada konsep wala’ sebagai pegangan. Iyalah kita bercakap mengenai manusia biasa dalam parti politik biasa. Bukan nabi dan malaikat.

Oleh itu, menurut Hadi, tidak perlu PAS membuat penjelasan lanjut atau rasmi mengenai pengguguran Khairuddin meskipun beliau mengakui ada segelintir pemimpin parti mendesak.

“Dia belum dipecat, cuma digugurkan sahaja daripada AJK dan sebelum itu pun ada isu disiplin kita sudah nasihat dan buat tindakan awal,” kata Hadi yang dipetik FMT tempoh hari.




Bagi saya kata kuncinya “belum”. Hadi tidak berkata Khairuddin “tidak” dipecat. Sebaliknya memilih untuk beritahu Khairuddin “belum dipecat”. Apa maknanya?

Ini boleh menimbulkan bermacam-macam tanda tanya. Maaf jika saya dianggap “read too much into into it”. Ia mungkin “sekadar” pemilihan perkataan? Waullahualam

Apa pun kata Hadi “soal pengganti (Khairuddin) kita akan lihat jika ada keperluan sebab setakat ini parti berjalan macam biasa.”

Bagaimanapun timbalan beliau Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dipetik media berkata “Khairuddin dicadang dilantik oleh Presiden dan kemudian Presiden tarik balik pelantikan kerana selepas kita mesyuarat Presiden ada cadangan nama lain dan Khairuddin digugurkan.”

Hakikatnya ada perselisihan antara Khairuddin dan rakan-rakan dengan Presiden dan timnya. Ada puak dalam PAS. Lihat sahaja pertikaman lidah secara terbuka antara hulubalang presiden, Takiyuddin Hassan dan Muhammad Sanusi Md Nor, dengan Nik Abduh Nik Aziz, salah seorang rakan Khairuddin. Lebih daripada kias ketika menyerang walaupun nama orang yang diserang tidak didedahkan. Namun kita tidak perlu jadi “political genius” untuk tahu apa yang diperkatakan.




Khairuddin dan penggugurannya bukan isu utama. Isunya ialah ada konflik dalaman atau ‘perang saudara’ dalam PAS. Itu realiti. Mengapa ia terjadi, siapa di pihak benar siapa yang salah kita ketepikan buat waktu ini.

‘Perang’ PAS dengan PAS bukan sesuatu yang baharu, bukan pelik mahupun aneh. Ia pernah berlaku sehingga membawa kepada perpecahan dan terlahirnya parti serpihan.

PRN Johor: Pas mahu elak tiga penjuru

Pada 1977, tercetus krisis kepimpinan. Perbalahan antara Presiden PAS, Asri Muda, dengan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Nasir, yang digemari Umno. PAS ketika itu berada dalam BN dan memerintah Kelantan.

Akhirnya undi tidak percaya terhadap Mohamed dibentang di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Beliau tidak mendapat kepercayaan Dewan. Pelbagai peristiwa terjadi termasuk perisytiharan darurat dan sebagainya. Saya tidak cadang huraikan itu semua pada penulisan ini.

Untuk memendekkan cerita yang panjang, dinyatakan Mohamed keluar PAS dan menubuhkan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia atau Berjasa.




Pada 1982 pula Asri tersingkir jawatan Presiden PAS apabila tewas pada pemilihan parti. Berikutan itu, Asri keluar dan tubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia atau Hamim.

Pada 2015 berlaku pertempuran ‘golongan Islam konservatif’ dengan ‘kumpulan profesional’ atau ‘progresif’. Pada pemilihan parti kumpulan profesional tewas. Mereka tinggalkan PAS untuk menubuhkan Parti Amanah Negara.

Sekarang timbul lagi krisis dalam PAS yang kita bincangkan ini. Pada pemilihan parti November lalu golongan yang dikatakan tidak sehaluan dengan Presiden tersingkir. Termasuk Khairuddin, Nik Abduh, Zuhdi Marzuki, dan Mokhtar Senik.

Penolakan mereka dilihat penganalisis politik sebagai satu halangan ke atas gerakan antiPresiden. Kata pemerhati PAS, Mohd Sayuti Omar, golongan itu disingkir pada muktamar lalu kerana cuba membawa PAS ke jalan bertentangan dengan kehendak Presiden.

Pemecatan atau penggguran Khairuddin daripada jawatan AJK yang dilantik adalah kemuncak atau tanda kepada masalah dalam PAS kini. Ia juga menzahirkan, kata Sayuti, “bahawa ada pandangan berbeza dalam PAS yang boleh meretakkan parti.”




Takiyuddin kena belajar buang ego orang besar – Nik Abduh

Tentu itu ada kesannya ke atas PAS. Ada kemungkinan besar pada PRU15 kelak golongan anti-Presiden tidak akan dipilih oleh Presiden sebagai calon PAS bertanding di kerusi yang mereka sandang atau di mana-mana kerusi. Lazimnya Presiden pilih orang yang sehaluan dan senada dengannya.

“Mengenai kesan krisis yang ada sekarang, saya belum nampak ia akan sampai tertubuhnya parti baru seperti sebelum ini,” kata Sayuti – lantas menyambung “saya lebih cenderung untuk mengatakan kalau PAS gagal menangani permasalahan ini, kemungkinan mereka akan keluar PAS dan bergabung dengan mana-mana parti yang sealiran dan didokong oleh mereka.”

Kata beliau lagi “dalam hal ini saya nampak Umno menjadi pilihan mereka.”

“Ramalan” yang amat menarik. Logiknya berdasarkan keakraban golongan itu dengan Umno selama ini serta faktor-faktor lain. Soal sama ada Umno akan terima mereka dan apa manfaatnya kepada Umno dan mereka sendiri kita cerita lain kali.

Bila PAS sama PAS berperang


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Teguran Nik Abduh dibidas Sanusi



Leave a Reply

Your email address will not be published.