Banjir ‘termenung’ resahkan penduduk Kampung Tehel

JASIN, 23 Nov — Setiap kali hujan lebat berlarutan lebih dua jam, ada debar dalam diri Nor Azli Lamin, 48, memandangkan bila-bila masa air Sungai Air Panas boleh melimpah sehingga menyebabkan banjir di Kampung Tehel di sini.

Malah, anak jati kampung itu yang mengusahakan perniagaan runcit di situ sejak lebih 15 tahun lepas sentiasa dalam keadaan gusar memikirkan kedainya akan ditengelami air sedalam kira-kira 0.3 meter setiap kali banjir kilat melanda.

Nor Azli mendakwa jika air pasang besar berlaku di laut yang menyebabkan pintu air di muara Sungai Duyong, kira-kira 15 kilometer dari perkampungan tersebut ditutup, menyebabkan perkampungan itu akan dilanda banjir ‘termenung’ sehingga menjangkau dua minggu.

Banjir ‘termenung’ merujuk kepada air banjir yang tidak dapat mengalir ke laut dan membanjiri sesuatu kawasan untuk satu tempoh masa yang panjang.



“Ini merupakan hari keempat banjir termenung melanda kampung ini sejak ia mula berlaku pada awal pagi Jumaat lepas. Sebelum itu, pada sebelah petang Khamis, hujan lebat berlaku sehingga ke tengah malam.

“Saya menutup kedai runcit pada pukul 10 malam Khamis lepas dan memang sentiasa bersedia untuk menghadapi banjir setiap kali hujan lebat berlaku, dan jangkaan kali ini tepat apabila air Sungai Air Panas yang terletak kira-kira 100 meter dari kedai mulai melimpah dan mengakibatkan banjir,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nor Azli berkata berikutan itu, beliau dan tiga pekerjanya mula mengemaskan barangan runcit yang terletak di rak bawah untuk diselamatkan ke tempat lebih tinggi.

“Ada sebahagian daripada barangan seperti beras dan barangan elektrik yang diletakkan di atas lantai gagal diselamatkan. Ini merupakan kali pertama banjir kilat yang menyebabkan air melimpah masuk ke dalam kedai walaupun lantai kedai sedikit tinggi daripada jalan kampung.



“Ini juga banjir kedua yang berlaku pada tahun ini dengan kali pertama berlaku pada bulan lepas. Saya risau keadaan ini akan sentiasa berulang dan memohon supaya pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah penduduk kampung terutama memperbesar Sungai Air Panas bagi menampung lebih banyak air ketika hujan,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Nor Shazreen Munirah Othman, 28, berkata ini kali pertama beliau berdepan dengan banjir kilat sejak mula berpindah ke kampung itu pada Januari lepas.

Sebelum ini, Nor Shazreen Munirah berkata beliau tinggal di kuarters Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jalan Kelubi di sini, bersama suami Muhd Firdaus Mohd Nayan, 30, dan anaknya Nur Khairunnisa, 3 tahun.

“Banjir kilat bulan lepas, air hanya masuk ke bahagian dapur sahaja tapi kali ini rumah digenangi air. Walaupun rumah terletak di kawasan sedikit tinggi namun tetap terkesan dengan banjir ini.



“Gerun juga dengan banjir ini memandangkan di belakang rumah ada kebun kelapa sawit milik penduduk. Ketika air mulai naik saya nampak ada beberapa ekor ular juga sedang menyelamatkan diri. Mujur haiwan berbisa itu tidak masuk ke dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abd Hakim Hamzah berkata banjir termenung di Kampung Tehel akan berlarutan beberapa hari lagi memandangkan paras air Sungai Duyong yang masih berada pada paras berjaga-jaga iaitu 1.33 meter pada pukul 4 pagi tadi berbanding paras normal 0.25 meter.

“Masalah utama banjir termenung di Kampung Tehel ialah kerana Sungai Duyong tidak mampu menampung aliran daripada sungai-sungai kecil seperti Sungai Air Panas dan Sungai Hulu Duyong.

“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Duyong baru-baru ini yang bernilai RM130 juta termasuk kos reka bentuk dan pengambilan tanah dan tender dijangka dibuka Ogos tahun depan selepas kerja-kerja pengambilan tanah siap,” katanya.
BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker