Tindakan Disiplin Terhadap Ku Li Wajar

SHAH ALAM – Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan sidang akhbar bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menolak Belanjawan 2021 akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan datang.

Ahli MKT UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu sewajarnya dikenakan tindakan disiplin kerana bersama-sama pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang disokong oleh parti.

“MKT telah membuat keputusan semua ahli Parlimen diwajibkan menyokong bajet dan itu tidak dilakukan oleh Tengku Razaleigh.



“Perkara ini melanggar etika parti walaupun Tengku Razaleigh sebenarnya tahu tentang perkara ini kerana dia adalah Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Li pada sidang akhbar bersama Dr Mahathir menyatakan beliau mampu menarik sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam undian Belanjawan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Jalaluddin turut menegaskan bahawa jawatan dipegang dalam parti tidak mengecualikan Ahli Parlimen Gua Musang itu dikenakan tindakan.

Mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyatakan Ku Li tidak patut dikenakan tindakan disiplin, Jalaluddin berpendapat sebaliknya.



“Sebagai ahli Parlimen dan ahli MKT, saya mempunyai pandangan yang berbeza tetapi pandangan saya berasaskan kepada tuntutan perlembagaan parti,” katanya.

Menurutnya, walaupun berbeza pandangan, Jawatankuasa Lembaga Disiplin UMNO seharusnya bersidang bagi membuat keputusan membabitkan isu Ku Li.

“Keputusan Jawatankuasa Lembaga Disiplin (UMNO) akhirnya akan dibentangkan oleh Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) selaku pengerusi jawatankuasa pengurusan dalam mesyuarat MKT untuk mendapatkan pengesahan. Proses itu perlu dilalui terlebih dahulu,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker