Majlis Eropah tarik balik kempen promosi hijab

Majlis Eropah tarik balik kempen promosi hijab

STRASBOURG: Majlis Eropah menarik balik kempen mempromosikan kepelbagaian dalam kalangan wanita dan kebebasan memakai hijab, selepas ia mencetuskan polemik di Perancis.

Kempen dalam talian – dibiayai secara bersama Kesatuan Eropah – dilancarkan minggu lalu oleh sebuah institusi berpangkalan di Strasbourg dan mengundang tentangan daripada kumpulan berhaluan kanan di Perancis yang sedang mempergiatkan kempen menjelang pilihan raya presiden akan datang.



Imej di Twitter yang menunjukkan dua wanita sedang tersenyum dibelah separuh dan dicantumkan kembali, untuk menggambarkan seorang dengan rambutnya terdedah serta seorang lagi memakai tudung.

“Kecantikan dalam kepelbagaian seperti kebebasan berhijab.

“Tidakkah bosan jika semua orang kelihatan sama? Raikan kepelbagaian dan hormati hijab,” menurut slogan pada gambar berkenaan.

Pada awalnya tanpa disedari, kempen berkenaan disanggah kumpulan pesaing Presiden Emmanuel Macron yang merancang untuk bertanding pada pilihan raya presiden dan membantah secara keras pemakaian hijab atau tudung di tempat awam.



“Islam ialah musuh kebebasan. Kempen ini ialah musuh kebenaran,” kata wartawan politik, Eric Zemmour yang setakat ini belum mengesahkan pencalonannya tetapi beberapa kaji selidik menjangkakan beliau berupaya memasuki pusingan kedua menentang Macron.

“Kempen Eropah mempromosikan hijab ialah suatu skandal dan tidak wajar ketika jutaan wanita sedang berjuang menentang penghambaan,” tambah pemimpin berhaluan kanan, Marine Le Pen, pesaing utama Macron pada pengundian 2017.

Ketua wilayah Paris, Valerie Pecresse, dari parti berhaluan kanan yang berkemungkinan menjadi pesaing Macron turut mengakui terkejut dengan penganjuran kempen sedemikian, malah berpandangan bahawa hijab bukan simbol kebebasan sebaliknya kepatuhan.

Kerajaan pimpinan Macron turut berpendirian bahawa pihaknya menggesa Majlis Eropah untuk menarik balik kempen berkenaan.



Perancis ialah satu daripada tujuh negara anggota majlis terbabit yang bertindak sebagai penjaga Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

“Saya amat terkejut. Ia bertentangan dengan nilai yang dipertahankan Perancis, ia mempromosikan pemakaian hijab.

“Ini wajar diselar, malah Perancis sudah menyatakan pendirian jelas terhadap penganjuran kempen ini, justeru ia wajar ditarik balik,” kata Menteri Belia Perancis, Sarah El Hairy sambil mengesahkan Perancis mengemukakan nota bantahan mengikut saluran diplomatik.

“Kita sudah padamkan kenyataan di Twitter sementara mengkaji semula projek ini.



“Kenyataan di Twitter mencerminkan pendirian peribadi antara peserta bengkel projek itu dan tidak mewakili pandangan Majlis Eropah atau Setiausaha Agungnya,” kata jurucakap Majlis Eropah, Marija Pejcinovic Buric kepada AFP.

Majlis itu bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada keputusan menarik balik kempen berkenaan berikutan tekanan daripada Perancis atau sebaliknya. BH

Majlis Eropah tarik balik kempen promosi hijab


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU

Kalau lihat jasad Zulfarhan, saya tak boleh nak bayangkan – Hakim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker