PRN Sarawak mungkin tengah Disember atau lebih awal

PRN Sarawak mungkin tengah Disember atau lebih awal, kata Annuar

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Annuar Rapaee berkata beliau menjangkakan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak akan diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Disember ini.

Beliau berkata perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya Proklamasi Darurat di Sarawak ditamatkan memberi laluan kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sekaligus menamatkan penantian untuk PRN12 yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

“Paling lambat saya rasa hari mengundi akan diadakan pada pertengahan bulan Disember. Tapi ianya boleh diadakan lebih awal daripada itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mengulas kebimbangan berlaku peningkatan kes Covid-19 semasa pilihan raya itu kelak, Annuar yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam merangkap Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu berkata aktiviti kempen harus diberikan tumpuan yang kritikal kerana penularan boleh berlaku.

“Penularan akan dapat dielakkan sekiranya tiada rapat umum. Buat masa ini, hanya 100 orang sahaja yang dibenarkan untuk menghadiri mana-mana perhimpunan dan bagi pilihan raya itu sendiri, ia tiada isu,” katanya.

Beliau berkata proses mengundi dilakukan dalam keadaan yang amat teratur walaupun bukan pada masa penularan Covid-19.

Katanya ketika masih dalam pandemik ini, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan proses mengundi teratur tiada sebab penularan Covid-19 tidak dapat dikawal.

“Mengundi ini bukan macam orang pergi ke pasar. Semuanya dalam keadaan teratur. Yang menjadi kerisauan ialah aktiviti berkempen melibatkan jumlah hadirin yang besar dan boleh menjadi tidak terkawal dalam soal pematuhan SOP,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka itu.

Annuar juga berkata sama ada mengundi atau tidak, SOP mencegah penularan Covid-19 harus diteruskan dan melalui pengamatannya, orang ramai sudah selesa bergerak ke mana sahaja yang menandakan bahawa mereka sudah membiasakan diri dengan pematuhan itu.

Menyentuh persiapan kempen jentera pilihan raya PBB DUN Nangka, beliau berkata pihaknya sudah mengadakan persiapan sejak tiga tahun lepas.

“Saya akan menggunakan pendekatan kempen secara digital dan multimedia. Kempen secara bersemuka bagi hadirin kurang 100 akan dijalankan secara minimum,” katanya yang turut melibatkan golongan muda dalam penyaluran bahan kempen melalui media sosial. FMT

PRN Sarawak mungkin tengah Disember atau lebih awal


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kalau lihat jasad Zulfarhan, saya tak boleh nak bayangkan – Hakim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker