Kaedah Mencari Barang Hilang Menurut Islam

Kaedah Mencari Barang Hilang Menurut Islam

Islam tidak menolak kebolehan syaitan atau jin yang mampu menyorokkan sesuatu barang termasuk batang tubuh manusia hingga tidak mudah bagi manusia biasa melihat dan menemuinya semula. Ini kerana sifat kemurahan Allah yang bersifat ar-Rahman yang berkuasa mengabulkan permintaan syaitan dan jin yang jahat sekalipun.

Misalnya permintaan syaitan untuk masuk ke dalam tubuh badan nabi Ayub a.s. dikabulkan Allah hingga Baginda a.s. menderita sakit selama 18 tahun. Ada ketikanya bukan barang yang disorokkan, tetapi kedua-dua mata manusia yang mencari barang tersebut yang ditutupkan oleh jin dan syaitan sehingga tidak dapat melihat jalan, rumah, sekolah, kapal terbang dan lain-lain objek yang besar yang berada di hadapannya.



Seorang yang sesat di hutan, ditemui berdiri di lorong yang biasa dilaluinya. Dia tidak nampak lorong tersebut kerana kedua matanya telah ditutupi oleh syaitan.

Islam Menolak Perangkap Syaitan

Syaitan yang berjaya meyakinkan ‘arraf, munajjim dan kahin dengan maklumat yang benar akan mudah memerangkap mereka dan masyarakat umum melalui cerita-cerita karut dan khurafat. Syaitan ini akan menetapkan pelbagai syarat dan kaedah pelik yang berlawanan dengan akidah dan syariah yang mesti dipenuhi untuk menemui semula barang yang hilang.

Amalan dan kepercayaan karut serta khurafat inilah yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Islam. Kononnya, apa sahaja barang yang hilang boleh ditemui dengan mudah sekiranya dibuat beberapa langkah seperti berikut:



Pertama, puja hajat iaitu solat hajat special oleh sekumpulan wali ghaib terpilih yang memerlukan kos yang tinggi hingga mencecah puluh ribu.

Kedua, dengan menyembelih dua ekor kambing hitam. Dagingnya dibuat kenduri untuk arwah emak ayah dan datuk nenek. Kedua-dua kepala kambing korban itu mesti diletakkan di atas dua rakit batang pisang dan dihanyutkan ke sungai. Kononnya, kedua-dua kepala itu akan dapat diterima oleh raja jin laut yang tinggal di kuala sungai itu.

Ketiga, dengan menunaikan pengeras iaitu derma kepada mana-mana masjid atau surau sebanyak RM2.25 yang boleh dimasukkan ke dalam tabung masjid atau surau. Kononnya, selepas itu barulah barang atau anak akan dijumpai sebab raja jin dan kumpulannya membuka semua hijab ghaib yang melindungi selama ini.

Hakikatnya, menerusi tiga upacara tersebut, mereka telah terhumban ke dalam perangkap syaitan yang mengerikan tanpa sedar. Apa yang menghairankan ialah mereka berasa bertuah kerana dapat melaksanakan tiga amalan yang baik yang menjanjikan kejayaan menemui barang atau orang yang hilang.



Ketiga-tiga amalan itu bukan sahaja karut dan khurafat, tetapi menyebabkan mereka syirik. Upacara penyembelihan dua ekor kambing dan menghanyutkan kepalanya adalah amalan menyemah atau buang ancak yang diharamkan. Begitu juga dengan pengeras. Walaupun kelihatan sangat remeh, tetapi mengandungi maksud tunduk dan taqarrub kepada syaitan.

Rasulullah s.a.w pernah menggambarkan dalam sebuah hadis, seorang mukmin yang memberi pengeras berupa bangkai seekor lalat kepada berhala, akan dimasukkan ke dalam neraka. Manakala seorang mukmin yang enggan memberi pengeras tersebut sehingga dibunuh, akan dimasukkan ke dalam syurga.

Macam-Macam Karut Marut

Kaedah karut dan penuh khurafat yang disebutkan di atas merupakan salah satu daripada seribu satu macam kaedah mencari barang yang hilang yang digunakan oleh pawang dan bomoh di Malaysia.



Kita temui banyak lagi kaedah yang lebih karut, lebih lucu, lebih bodoh, lebih tak masuk akal. Antara yang telah kita semua saksikan ialah aksi meneropong pesawat MH 370 yang dilakukan di KLIA. Kononnya melalui upacara tersebut, pandangan mereka dapat menembusi berbagai-bagai hijab ghaib angkara syaitan dan jin.

Kita tentu mengimbau semula kejadian sebuah helikopter yang terhempas di hutan Bario pada bulan Julai tahun 2004. Menurut dakwaan sekumpulan ahli nujum, kononnya mereka berjaya membantu menemuinya setelah berjaya memujuk syaitan dan jin yang menutupi bangkai helikopter itu dengan hijab ghaib kerana marah dengan pihak kerajaan yang membina projek empangan Bakun.

Ahli nujum tersebut mendakwa kononnya kejayaan itu dicapai setelah syarat yang ditentukan oleh syaitan dan jin yang mahukan sembelihan dua ekor kambing hitam ditunaikan.

Kaedah Terbaik Dalam Islam



Bagi mengelakkan manusia memilih ‘arraf, munajjim dan kahin sebagai penyelesaian kepada masalah manusia (termasuk masalah mendapatkan semula sesuatu yang telah hilang), Islam menyediakan kaedah alternatif yang terbaik. Terdapat banyak kaedah yang ditarbiahkan oleh para ulama yang berlainan.

Bagaimanapun, asas utamanya sama sahaja iaitu takwa dan tawakal. Firman Allah surah at-Tolaq: 2-3,

“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan jadikan untuknya jalan keluar (daripada apa juga masalah) dan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka. Sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka cukup sempurnalah Allah sebagai tempat pergantungannya, sesungguhnya urusan Allah tetap berlaku. Sesungguhnya Allah telah menjadikan ketentuan bagi setiap sesuatu.”

Seorang rakan penulis kehilangan semua wang ketika mengerjakan umrah. Dia tidak mahu menceritakan kejadian itu kepada rakan jemaahnya. Sebaliknya, segera mengerjakan solat sunat taubat dan solat sunat hajat serta berzikir dalam Masjidilharam.



Ketika berjalan keluar dari masjid, tiba-tiba muncul seorang Arab yang tidak dikenali menegurnya dan memeluknya. Kemudian orang Arab itu menghadiahkan segenggam wang. Dia dapati wang itu berjumlah dua kali ganda daripada wangnya yang hilang.

Kaedah Amalan Golongan Sufiyyah

Penulis ingin berkongsi amalan mencari barang yang hilang yang ditarbiahkan oleh sesetengah sufiyyah yang mengandungi beberapa langkah:

Langkah Pertama: Lakukan taubat yang merangkumi empat amalan:

.Membanyakkan istighfar;
.Mandi sunat taubat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhaj al-‘Abidin;
.Solat sunat taubat;
.Solat sunat awwabin iaitu bertaubat daripada dosa dalaman yang sukar disedari.

Sebaik-baiknya, semua amalan taubat tersebut terpimpin. Para sahabat Rasulullah apabila bertaubat, mereka akan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam surah an-Nisa’: 64,

“Sekiranya mereka yang telah menzalimi diri mereka sendiri (kerana melakukan dosa) datang menemui engkau (ya Muhammad), lalu mereka meminta keampunan kepada Allah, dan Rasulullah s.a.w. juga meminta keampunan daripada Allah untuk mereka, nescaya mereka akan dapati bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Langkah Kedua: Solat sunat hajat dua rakaat. Adalah baik jika pada rakaat pertama, selepas membaca surah al-Fatihah, dibacakan surah al-Insyirah; dan pada rakaat kedua pula dibacakan surah al-Ikhlas.

Langkah Ketiga: selesai solat hajat, bacalah ayat ke 16 daripada surah Luqman seberapa banyak yang boleh dengan tatacara yang berikut:

.Istighfar dengan menyebut Astaghfirullah sebanyak 70 kali.
.Membaca al-Fatihah sekali diniatkan supaya Allah sampaikan pahalanya kepada Rasulullah s.a.w., para guru kita dan semua umatnya yang soleh.
.Membaca ayat ke 16 daripada surah Luqman seberapa banyak yang boleh sambil membayangkan Allah memulangkan barang yang hilang kepada kita.
.Berzikir dengan menyebut terus seberapa lama yang mampu YA LATIF YA KHABIR

Langkah Keempat: Berzikir tahlil terus menerus seberapa lama yang boleh dalam keadaan muraqabah ma’iyyah sambil ditumpukan doa dalam hati: “Ya Allah hanya dengan rahmat-Mu, kehendak-Mu dan kekuasaan-Mu sahaja barang tersebut dapat ditemui”

Langkah Kelima: Buat nazar apa sahaja yang baik dan mudah dilakukan seperti puasa sunat sehari atau sebagainya

Langkah Keenam: Bersedekah setiap hari walaupun RM1.00

Langkah Ketujuh: Kekalkan diri dalam keadaan berwuduk

Langkah Kelapan: Sentiasa ingat kehendak dan keazaman makhluk tidak dapat mengatasi takdir Allah

Langkah Kesembilan: Sentiasa menjaga adab terhadap Allah iaitu mengingati nama-Nya, muraqabah wujud-Nya, keagungan-Nya dan kesempurnaan-Nya.

Langkah Kesepuluh: Berdoa secara khusus dengan membaca doa qunut sebanyak 13 kali sehari.

Pengalaman Penulis

Kes 1 : Seorang hamba Allah kehilangan motosikal berkuasa besar miliknya selama hampir enam bulan. Penulis ajarkan amalan di atas dan dia mengamalkan kaedah tersebut selama tiga hari tiga malam.

Dia menumpukan amalan tersebut di rumahnya dan tidak keluar rumah kecuali ada urusan penting. Selepas kira-kira 2 atau 3 minggu, ketika dia turun dari pejabat untuk balik ke rumah, dia terperanjat besar kerana motosikalnya berada di tempat yang biasa diletakkan berserta dengan anak kuncinya sekali.

Setelah diperiksa, dia yakin itu adalah motosikalnya yang hilang. Cuma nombor platnya yang telah ditukar. Ada kemungkinan orang yang mencurinya telah memulangkannya semula. Bagaimanapun hakikatnya, Allah yang memulangkan.

Kes 2
: Seorang jiran penulis yang kehilangan semua barang kemas warisan keluarga dapat menemui semula semua barang kemasnya sesudah dia terus menerus bertahlil selama kira-kira satu bulan. Pencuri telah memulangkan barang kemasnya di depan pintu rumahnya di dalam beg plastik berwarna kuning.

Demikianlah sedikit sebanyak kisah benar yang berlaku. Semuanya adalah gambaran bagaimana kekuasaan Allah untuk mengabulkan permintaan hamba-Nya. Ada di antara hamba-Nya yang meminta dengan jalan yang syirik, tetapi Allah tetap mengabulkannya. Ada juga hamba-Nya yang meminta dengan jalan yang diredhai-Nya, maka dikabulkan juga.

Semuanya adalah ujian untuk melihat sejauh mana manusia akan percaya dan beriman dengan ketentuan Allah. Bagi mereka yang menggunakan kaedah yang syirik lalu mendapat kembali barang yang hilang, maka tiada keuntungan baginya di akhirat, bahkan dia akan dimasukkan ke dalam neraka.

Manakala mereka yang kehilangan suatu milikan, lalu bersabar dan berikhtiar dengan cara yang Allah redha, maka Allah akan membalasnya dengan ganjaran yang lebih baik di dunia dan akhirat, sekalipun barang tersebut tidak ditemui. Wallahu a’lam

Oleh: Dr Hj. Jahid bin Hj. Sidek, Ahli Panel Pakar Tasawuf JAKIM dan Yang di Pertua Pusat Rawatan Islam Manarah

Kaedah Mencari Barang Hilang Menurut Islam


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Pakej, baucar diskaun Kempen Jom Cuti-cuti Malaysia di Shopee

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker