Sudah tiada jalan BN, PN berunding

SHAH ALAM – Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpandangan sudah tiada jalan bagi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berkompromi dalam rundingan kerusi pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan 20 November ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, beliau secara peribadi berpendapat Pas juga berkemungkinan sukar berunding dengan UMNO dan BN dalam isu pengagihan kerusi pilihan raya.

Ujarnya, hal ini memandangkan Pas sudah memuktamadkan keputusan penggunaan lambang PN pada PRN Melaka dengan langkah itu secara tidak langsung sudah menutup sisa ruang perbincangan parti itu dengan UMNO.



Beliau turut melihat tiada lagi asbab untuk BN dan PN mewujudkan kesepakatan politik sebagaimana dicapai di peringkat kerajaan Pusat bagi mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru di Melaka.

“Apabila keputusan terakhir Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak lagi mahu bekerjasama dengan Bersatu, maka PN sejujurnya sudah tidak lagi memikirkan keperluan berunding dengan UMNO, sebaliknya kami terus menfokuskan kesiapsiagaan bersama rakan-rakan parti komponen lain.

“Di pihak Bersatu, saya sendiri secara peribadi sudah tidak berminat untuk bekerjasama dengan UMNO kerana pada saat kami sedaya upaya mahu berunding bagi mengelakkan perpecahan, mereka pula meminta perpecahan berlaku.

“Adalah pelik sekiranya UMNO di peringkat Pusat dan diwakili Perdana Menteri minta berunding, tetapi kepimpinan UMNO Melaka minta lain,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.



Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan rundingan pengagihan kerusi PRN Melaka di antara parti-parti dalam kerajaan susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan beliau diberi mandat oleh MKT UMNO untuk menjadi mediator bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

MKT UMNO dalam mesyuarat bulan lalu memutuskan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka, selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Khamis lalu, MKT UMNO dalam mesyuarat susulan berhubung persediaan PRN Melaka memutuskan parti itu bersedia bekerjasama dengan Pas dengan syarat parti Islam itu menggunakan lambang parti sendiri dan bukan PN.

Mengulas lanjut, Razali turut mendedahkan PN sebenarnya sudah bergerak jauh dalam proses perundingan kerusi pilihan raya di antara parti-parti komponen termasuk Pas dan Gerakan pada PRN Melaka.



Justeru, beliau berpandangan apabila Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk koalisi itu ‘jalan terus’ tanpa mahu menunggu keputusan pendirian BN, beliau secara tersirat sudah mahu menghentikan sebarang perundingan politik dengan BN.

“Justeru, bila Tan Sri Muhyiddin menyerahkan kepada Pas dalam soal rundingan kerusi dengan BN, Pas pula komited mahu guna lambang PN, jadi secara langsung parti itu boleh dianggap tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

“UMNO tidak boleh tuduh Pas amal sikap berpihak kerana Pas merupakan salah satu parti yang mengasaskan PN bersama Bersatu. Keputusan Pas mahu guna lambang PN sepatutnya bukan satu isu,” katanya.

Tambah Razali, pandangan peribadi beliau sangat jelas iaitu koalisi parti-parti kerajaan di peringkat pusat, sepatutnya diteruskan pada PRN Melaka.



“Tetapi dengan sikap UMNO dan BN yang suka membesar-besarkan hasrat bergerak solo dan enggan bertolak ansur dalam isu rundingan kerusi pilihan raya, Bersatu dan PN tiada jalan lain selain jalan terus. Kalau berlaku pertembungan, maka kita terima sahajalah,” katanya.

Sudah tiada jalan BN, PN berunding


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a




DAP dakwa jika letak ‘patung’ di Kota Laksamana pun boleh menang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker