Menang Melaka, menanglah PRU-15

WALAUPUN jam di dinding menunjukkan pukul 10 malam, sesi temu bual dengan Ahli Parlimen Alor Gajah yang asalnya untuk mendapat komen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah melarat ke isu-isu ekonomi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DATUK SERI MOHD. REDZUAN MD. YUSOF yang fikirannya tetap ligat dengan idea baharu bagi menarik kemasukan pelabur dan membangunkan ekonomi bumiputera menegaskan, jika pertandingan satu lawan satu, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu menang lebih dua pertiga PRN seterusnya menjadi tanda aras membentuk Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tidak berselindung, beliau turut meluah isi hati mengenai keadaan Bersatu sekarang yang disifatkan masih boleh kekal relevan.

Ketika temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM di Cyberjaya, malam kelmarin, kami sempat berseloroh, melihat kepada pengalaman dan potensi beliau yang sepatutnya menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) walaupun ironinya namanya telah digugurkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

MENGAPA 1 LAWAN 1

UTUSAN: Komen PRN Melaka?
MOHD. REDZUAN: Dulu masa dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), tagline (slogan) saya ketika PRU-14 adalah Menang Melaka, Menang Putrajaya. Jadi, kalau kita ambil dari situ, apa yang kita lihat hari ini di Melaka contohnya, ia akan menjadi petanda kepada Kerajaan Persekutuan dalam masa yang saya jangka tidak lama lagi.
Melaka akan menjadi satu model. Siapa menang PRN Melaka, peluang PRU-15 akan dimenangi kelompok atau gabungan itu. Tetapi kita tidak tahu setakat ini strategi Bersatu, sama ada kita mahu berlawan tiga, empat, lima atau enam penjuru.

Ataupun kita mahu mengadakan rundingan kerusi. Contohnya, kalau dinampakkan Keluarga Malaysia sebagai Kerajaan Persekutuan, di mana gabungan antara PN dan BN, yang mana Perdana Menteri dari UMNO. Kalau kita nak bawa formula begitu, mungkin terjadi pertandingan dua penjuru antara pembangkang dengan kerajaan.

Adakah itu satu keputusan yang akan dibuat oleh PN? Saya tidak tahu. Tetapi dapatan saya daripada perbincangan secara tidak rasmi, PN sanggup bertanding lebih tiga penjuru. Oleh sebab kita nak ambil kelebihan daripada apa yang telah dipamerkan oleh pemimpin UMNO sendiri di Melaka.

Runtuhnya kerajaan Melaka oleh UMNO itu sendiri (kemelut dalaman). Nampak tidak ada kesepakatan dalam UMNO, dalam kerajaan yang dipanggil kerajaan Keluarga Malaysia diterajui UMNO. Adakah ini menjadi satu keputusan kepada Bersatu dan PN sebagai satu alasan untuk PN bertanding secara solo? Tetapi kalau kita lihat akar umbi hari ini, dia punya reaksi berbeza-beza, tengok tempat itu sendiri.

Apa reaksi akar umbi?
Ada yang menampakkan sokongan kuat kepada BN, ada juga pemimpin masyarakat UMNO menyatakan apa yang dipamer itu (kemelut dalaman) tidak melambangkan kedudukan (sebenar) sebab UMNO ini kalau dilihatkan akar dia sudah mencengkam, cuma daun dia, ranting dia mungkin rapuh, daun pun gugur.

Jadi, macam-macam mereka boleh lakukan. Contoh, sekiranya UMNO membawa naratif masa kempen nak mentransformasikan UMNO itu sendiri, mereka menidakkan contohnya tidak mengetengahkan pemimpin-pemimpin sekarang ini yang dinampakkan membawa banyak kemungkaran di Melaka dan juga kluster mahkamah yang disebut-sebut hari ini. Itu mungkin menjadi satu manifesto yang boleh memenangkan UMNO. Tetapi kalau kita lihat hari ini, belum nampaklah.

Kita tidak tahu hala tuju sebenar UMNO, Bersatu atau PN dengan BN mahu bergabung atau tidak. Kalau kita berpecah, saya pasti gabungan PH iaitu PKR, DAP (menang) dan mungkin juga yang dinampakkan di Melaka golongan Bebas akan cuba membuat satu percubaan dalam masa mereka merancang, saya dengar untuk menghadapi PRU-15.

Jadi, Melaka mungkin jadi satu tapak percubaan. Apa pun the base (asas) dekat Melaka ini tak bertukar, dari sudut gabungan PH. Saya nampak begitu.

Adakah PH nampak kukuh?
Setiap parti ada kekuatan masing-masing termasuklah PH. Mengenai perspektif kekuatan PH, saya tidak tahulah mereka akan bertanding atas PH ataupun atas logo masing-masing. Dengarnya mereka akan bertanding atas logo masing-masing, atas dasar berjanji untuk tidak bertembung dan mereka akan buat pakatan selepas pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Tetapi kita kena ingat, rakyat kini lebih pandai menilai. Saya nampak mereka akan lebih cenderung kepada calon daripada parti itu sendiri.

Bolehkah BN, PN menang?
Model Melaka, kalau dia satu lawan satu, insya-Allah BN, PN akan menang besar. Dapatan saya, dalam 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ikut data PRU-14 tentang margin kemenangan itu sendiri, kalau digabungkan Pas, UMNO dan Bersatu, sekurang-kurangnya kita akan menang 22 daripada 28 kerusi, mungkin (menang) 23.

Sekurang-kurangnya, itu sudah dua pertiga tetapi terpulang kepada kepimpinan Bersatu, UMNO dan Pas untuk merealisasikan apa yang disebutkan tadi, untuk menang besar. Sebab kebanyakan DUN-DUN ini, semuanya majoriti Melayu.

KERJASAMA UMNO, PAS, BERSATU

Elok UMNO, Pas dan Bersatu bekerjasama?
Melihat sudut keadaan politik masa kini, saya konsisten. Saya selalu mengesyorkan UMNO, Bersatu dan Pas membentuk satu gagasan parti politik Melayu untuk masa depan orang Melayu itu sendiri. Hari ini, kalau kita ada perbezaan pendapat politik, kalau kita nak memerangi kemungkaran, kalau kita nak membetulkan keadaan, kita berpecah.

Seorang nak buat parti PKR lagi satu, Parti Kuasa Rakyat, satu lagi nak buat Muda (Ikatan Demokratik Malaysia), satu lagi nak buat macam-macam ideologi yang kita terima ini. Masing-masing membawa perpecahan dalam kalangan Melayu.

Setakat ini ada perjumpaan dengan pimpinan tertinggi UMNO?
Ada. Saya sendiri sebelum ini ada pertemuan dengan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sendiri, ada berjumpa dengan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara tidak tidak rasmi.

Tetapi saya tidak membawa mandat (Bersatu) untuk berbincang. Cuma bertukar pendapat, macam mana Melayu sepatutnya bersatu padu. Saya persoalkan kepada (Ahmad) Zahid sendiri, apa yang kita nak sebagai pemimpin.

Nak jadi Perdana Menteri, nak jadi menteri, nak jadi ketua bahagian, apa yang kita nak? Pemimpin hari ini kena sedar, kita sudah ketinggalan jauh ke belakang. Dalam politik sekalipun dan tak usah sebutlah, dalam pembangunan ekonomi.

Sebab kita masih lagi membawa politik yang mengundang kepada panglima perang. Di situlah, dinampakkan terutama orang-orang muda, satu politik yang generasi akan datang benci. Tetapi undi automatik 18 tahun ini, tidak sempat untuk PRN Melaka sebab rang undang-undang (RUU) belum dibentang.

Adakah isu memainkan peranan selain faktor parti?
Isu di Melaka yang besar hari ini melibatkan ketirisan dalam pengurusan negeri oleh puak-puak tertentu yang telah didedahkan oleh pemimpin UMNO itu sendiri yang menyebabkan DUN dibubar.

Pendedahan itu akan menjadi satu peluru, senjata kepada kita Bersatu untuk berkempen. Adakah ini menjadi satu ukuran atau penerimaan rakyat Melaka? Kita tidak tahu.

Saya sebutkan tadi, contohnya, kalau orang-orang yang terlibat ini bertaubat, membuat satu manifesto bertaubat, akan membetulkan segala kerosakan, ini mungkin menarik sokongan UMNO itu sendiri di akar umbi, kita tidak tahu.

Jadi, Bersatu, PN dan Pas kena lebih peka dengan keadaan di Melaka. Apakah yang kita nak bawa? Adakah setakat dengan laungan mereka ini sudah rosak, kita tidak tahu?

Nasihat saya kepada calon-calon yang bertanding, nasib rakyat kali ini betul-betul kita kena tunjukkan pembelaan dari segi dasar, pengagihan kekayaan ataupun pengagihan peluang untuk meraih kekayaan ekonomi dan sebagainya. Kalau tidak, kita akan terus ketinggalanlah. Isu itu kena diketengahkan.

SURVIVAL BERSATU DAN PN

Adakah Bersatu akan kekal relevan dalam politik negara?
Bila sebut kelestarian (berkekalan) ini, ada dua. Satu, nak melestarikan bendera, nak kibar bendera (parti), itu boleh kita kibar, panggil siapa-siapa pun, bayar duit, dia pegang bendera.

Tetapi nak melestarikan perjuangan amat sukar. Kalau dasar perjuangan itu lari, masing-masing nak mengejar jawatan dengan memanipulasikan keadaan, mencorakkan satu pengurusan yang cacamarba contohnya, maka susahlah kita nak lestari.

Bolehkah Bersatu dilestarikan?
Bersatu hari ini telah bertukar wajah. Contohnya, kalau dahulu saya sebagai seorang pengasas, kita sebut parti yang eksklusifnya berasaskan kaum, untuk berhasrat, mempunyai wawasan untuk menggantikan UMNO yang dinampakkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, yang diungkapnya, kereta sudah rosak, tidak boleh dibaiki.

Tetapi kita (Bersatu) mengambil keputusan melakukan perubahan daripada satu parti perjuangan khas untuk Melayu kepada parti yang berbilang kaum sebagai parti yang lebih inklusif. Jadi, pesaing kita sekarang PKR pun ada, DAP pun pesaing kita. Jadinya saya rasa, dengan adanya begitu, orang Melayu yang dinampakkan ketinggalan ke belakang, yang masih lagi merempat, yang tidak ada kedudukan ekonomi yang kukuh akan mencari-cari satu gerakan.

Mana kita ini pada masa akan datang? Jadi, kalau UMNO boleh memperbaiki keadaan, saya rasa UMNO akan kembali kuat dalam jangka masa panjang.

Buat masa ini memang sukar (UMNO berubah). Kena ada kesedaran dalam kalangan mereka untuk memastikan mereka kekal relevan untuk memperjuangkan orang Melayu.

PERUNTUKAN KERUSI

Bagaimana peruntukan kerusi kalau satu lawan satu?
Itu ikut hemah kepimpinan itu sendiri, tetapi saya dengar daripada cakap-cakap, UMNO akan kekalkan untuk apa yang dia sudah ada sekarang atau sebelum ini. Kerusi yang dimenangi sekarang akan dipegang.

Begitu juga Bersatu, kerusi dimenangi akan dipegang dan kita dua sahaja. Itu terpulang kepada rundingan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengagihan Kerusi. Saya tidak tahu sebenarnya. Tetapi pada saya, seeloknya itulah (bertanding di kerusi dimenangi) yang sepatutnya kita gunakan sebagai prinsip perbincangan. Lepas itu, kita ukurlah ranking untuk memastikan ada baki kerusi antara rakan-rakan.

Adakah ini boleh diterima UMNO? Parti itu mungkin nak lebih, dia nak kerusi yang dia kalah dahulu juga. Bersatu nak pergi mana? Nak ambil dua, empat, enam atau lapan? Dahulu kita bertanding enam kerusi, menang dua. Mungkin kita nak kekal, tetapi kena ingat masa PRU-14, Bersatu bergabung dengan parti-parti lain. Kita dapat tempat di mana pengundinya berbilang kaum, bukan kawasan orang Melayu.

Saya rasa cengkaman UMNO di kawasan orang Melayu sangat kuat. Sekarang Bersatu nak bertanding di kawasan orang Melayu, adakah mereka boleh terima Bersatu sebagai parti Melayu? Itu akan menjadi isu dan UMNO kata ini bukan parti Melayu, mungkin dia kata begitu, teruk kita kena hentam nanti. Sangat susah untuk meramalkan.

Apa dia kepimpinan Melayu nak? Kalau nak kekal, kita sepatutnya bergabung, letak ke tepi perbezaan pendapat, cari orang berintegriti, orang baharu, muka baharu, transformasi UMNO itu untuk bergabung dengan majoriti parti Melayu hari ini, walaupun kita baru tubuh sayap bersekutu (bukan Melayu) dalam Bersatu. Kepimpinan Melayu itu perlu untuk menjaga kedaulatan negara kita. Kita Melayu juga perlu terus memimpin kaum-kaum lain agar hak-hak mereka terpelihara.

Apakah nasib Bersatu selepas PRN Melaka?
Banyak penganalisis menyatakan PRN Melaka juga akan menjadi pengukur, di mana Bersatu selepas ini. Hari ini kalau kita lihat, Bersatu yang tinggal asal, lima orang wakil rakyat sahaja. Yang lain itu adalah penghijrahan daripada UMNO itu sendiri.

Kepada soalan adakah Bersatu kekal relevan, kita tunggulah PRN nanti. Dapatan saya, insya-Allah. Saya rasa boleh lagi dilestarikan sekiranya pemimpin yang diketengahkan itu boleh menyambung perjuangan yang telah diasaskan.

Ini adalah pendapat saya sebagai individu. Kita telah pun terlepas kepimpinan utama dalam kerajaan. Sekiranya PRN Melaka ini diletak sebagai penanda aras kepada PRU-15, jadinya kita perlu meletakkan nama-nama besar bagi memastikan kemenangan milik Bersatu. Bersatu akan nampak lemah sekiranya kita tersalah langkah atau strategi dan turut tewas dalam PRN Melaka.

Di Melaka, saya berpendapat politik dia berbeza daripada apa yang kita lihat di tempat lain. Akar umbi amat peka siapa yang mereka mahu pilih, sebab negeri kecil, kerapatan kejiranan dan komuniti sangat erat, dia tahu.

Interaksi dan dekatnya kita dengan hati rakyat Melaka ini amat penting untuk memastikan kita ini dinampakkan boleh mewakili mereka. Itu sebab faktor imej calon itu mustahak. Tetapi mana tempat yang totok atau kubu kuat UMNO, orang kata kalau letak monyet pakai skirt pun boleh menang. Itu memang sukarlah.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PRN Melaka: Calon jadi faktor kemenangan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker