Adegan rogol Raja Farah, Fauzi Nawawi minta maaf

Adegan rogol Raja Farah, Fauzi Nawawi minta maaf

Pelakon Fauzi Nawawi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pelakon Raja Farah selepas pendedahan babak rogol yang tular menerusi Twitter sejak semalam.

Dalam pendedahan yang dibuat menerusi program Rumah 107 tersebut, Fauzi bersama dua tetamu undangan lain, Fizz Fairuz dan Zul Huzaimy berkongsi tentang watak jahat lakonan mereka.

Apa yang mengundang kemarahan netizen, Fauzi berkongsi secara terperinci tentang babak rogol melibatkan Raja Farah dalam filem Anak Halal terbitan 2007.

Menyedari kesilapannya, Fauzi telah membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi sebuah video yang dimuat naik sekitar pukul 1 pagi tadi.

Menurut Fauzi atau nama sebenarnya, Mohd. Fauzi Mohd. Nawawi, 48, dia langsung tidak berniat untuk memalukan sesiapa dan mengaku apa yang berlaku adalah kesalahan sendiri.

“Apa pun saya mengaku memang salah saya, saya jahil, saya tidak baik dan sedang memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Buat mereka yang amat sensitif dan terkesan kerana video tersebut, suami Raja Farah, saya mohon maaf dari hujung rambut sehingga hujung kaki.

“Memang saya tiada niat langsung untuk memalukan sesiapa, kepada Raja Farah dan keluarganya, saya minta maaf,” kata Fauzi dalam nada kesal.

Dalam pada itu, Fauzi yang juga suami kepada aktres Lisdawati menerima kecaman netizen dengan hati yang terbuka dan berharap isu tular tersebut tidak lagi dipanjangkan mana-mana pihak selepas ini.

“Saya tidak mahu lagi perkara ini dipanjangkan. Kepada netizen yang amat prihatin terhadap perkara ini sampai sanggup maki saya, ibu, keluarga dan anak-anak saya, saya maafkan.

“Saya anggap anda semua terlalu prihatin dan sayangkan saya, sebab itu sanggup maki saya. Saya berterima kasih kepada mereka yang mengingatkan dan menegur kesilapan saya sama ada secara baik atau kasar, terima kasih, saya terima dengan rela hati,” ucapnya.

Tambah pelakon filem Munafik 2 itu, selepas sesi rakaman program yang berlangsung pada tahun lalu itu, dia sendiri telah menyedari kesilapannya dan memohon pihak penerbit serta produksi menyunting bahagian yang sensitif.

“Habis sahaja rakaman, saya sudah minta pihak penerbit dan produksi untuk potong yang mana sensitif. Semasa kami bersembang antara lelaki memang saya salah apabila tidak mengawal dan terlepas cakap nama Raja Farah.

“Bila terlepas cakap habis rakaman saya tersedar bahawa ada benda yang patut dipotong. Tetapi malangnya, program itu pun sudah ditayangkan dua kali, tidak tahu pula hari ini ditularkan semula di Twitter,” kata Fauzi.

Sementara Raja Farah dan suaminya, Iskandar Ismail yang menyifatkan isu berkenaan sangat memalukan. Mereka turut member respons dalam sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pelakon itu semalam.

Menurut suaminya, rakaman yang disiarkan dalam televisyen tersebut kemudian ditularkan adalah salah dari setiap sudut kerana tidak menjaga aib dan kehormatan wanita.

“Saya faham dia hendak cerita tentang karya seni dan bagaimana realistik pengalaman berlakon, kami faham kerana isteri saya pun berlatar belakang anak seni.

“Namun, untuk menamakan secara spesifik lagi pula tentang adegan yang saya rasa tidak patut dinyatakan demikian kerana itu tentang aib dan kerhormatan wanita,” kata Iskandar.

Jelas Iskandar lagi, perkara tersebut adalah salah dan tidak sesuai dari sudut budaya dan agama, apatah lagi wanita yang diceritakan itu telah berkahwin.

Sebagai seorang suami, Iskandar berasakan isu viral tersebut memalukan dan individu yang bercakap mengenainya umpama orang yang jahil.

Hal ini kerana, individu tersebut tidak mungkin mengungkap perkataan sedemikian terhadap ahli keluarganya sendiri.

“Kami tidak berharap permohonan maaf daripada orang yang berkata itu cuma, kami tidak mahu perkara ini menjadi fitnah dan berpanjangan.

“Kami mahu tutup isu ini dan berharap orang yang bercakap itu mungkin terlepas cakap, jahil atau teruja ketika bercerita. Mungkin sekarang dia berasa sesal dengan apa yang diucapkan. Jadi, kita berlapang dada dengan hal ini,” ujar Iskandar.

Dalam pada itu, Raja Farah turut mengakui terkesan dengan video viral berkenaan dan berharap Fauzi membuat permohonan maaf secara peribadi mahupun terbuka.

“Saya sangat terkesan dari segi buka aib dan rasa tidak dihormati. Sebagai isteri yang ada suami, saya akan pergi meminta pendapat daripadanya sebab ramai yang meminta untuk saya memberikan respon.

“Saya berharap tidak ada sebarang perbalahan dan tidak ada pihak yang cuba burukkan lagi keadaan kerana kami berlapang dada.

“Saya berharap pihak yang bercakap itu membuat permohonan maaf, jika tidak secara terbuka pun tidak apa, cari kami sampaikan permohonan maaf kepada kami. Kita faham sebagai manusia normal ada tersalah kata, saya harap perkara ini berakhir di sini,” kata Raja Farah.

Pelakon yang pernah membintangi filem Lagenda Budak Setan itu, mendirikan rumah bersama Iskandar pada 2015. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki, Imran Iskandar, 5, dan Ilham Iskandar, 2.

Perkahwinan tersebut merupakan yang kedua buat Raja Farah. Terdahulu pelakon itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria pada 2010 tetapi bercerai lima tahun selepas itu. Menerusi perkahwinan tersebut mereka tidak dikurniakan cahaya mata. K Online

Adegan rogol Raja Farah, Fauzi Nawawi minta maaf


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ieda Moin rimas jadi tempat pelepas nafsu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker